KUALA TERENGGANU, 1 Feb - Kerajaan PAS Terengganu telah memberi masa dua bulan untuk premis-premis perjudian empat nombor ekor dan Sports Toto di negeri ini menutup operasi masing-masing, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Hashim.
Menurutnya secara rasmi premis-premis perjudian itu ditutup pada hari ini iaitu 1 Jan 2000 apabila kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui lesen premis mereka yang tamat 31 Disember 1999.
Secara rasmi semua premis ditutup pada 1 Jan 2000 tetapi kerajaan negeri memberi masa dua bulan untuk mereka menyelesaikan pelbagai masalah termasuk berkaitan dengan pekerja.
Mazlan berkata tempoh dua bulan itu telah diminta oleh pengusaha-pengusaha premis perjudian itu sendiri.
Terdahulu, Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang berkata kerajaan negeri memerlukan sedikit masa sebelum membuat keputusan untuk menutup premis perjudian di Terengganu.
Terdapat tiga premis perjudian Sports Toto dan dua premis empat nombor ekor yang beroperasi di sekitar bandar Kuala Terengganu dan satu premis empat nombor ekor di Dungun dengan keseluruhan pekerja berjumlah 30 orang.
Lesen kesemua premis perjudian itu akan tamat tempoh pada 31 Dis 1999. Mazlan berkata kerajaan negeri hanya akan mengambil tindakan tegas termasuk meminta bantuan daripada polis dan menutup premis berkenaan sekiranya terdapat pengusaha premis yang degil dan masih beroperasi.
Terdahulu, Haji Abdul Hadi yang mempengerusikan mesyuarat Exco pernah berkata kerajaan negeri akan menghantar para pegawai ke premis-premis perjudian itu untuk berbincang mengenai pekerja Islam yang diambil bekerja di situ.