KUALA LUMPUR, 1 Feb - Pakatan pembangkang dikenali sebagai Barisan Alternatif akan menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil bertujuan mengkaji sistem pilihan raya di negara ini, demikian menurut satu kenyataannya di sini hari ini.
Kenyataan itu menyebut keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat majlis pemimpin-pemimpin utama pembangkang yang berlangsung semalam.
Menurut kenyataan itu selain mengkaji, jawatankuasa tersebut juga akan mencadangkan beberapa perubahan kepada sistem pilihan raya yang diamalkan sekarang.
Pada mesyuarat itu juga pemimpin pembangkang memutuskan untuk menganjurkan beberapa kempen mengenai persoalan politik tanah air.
Antara yang hadir pada mesyuarat itu ialah Presiden PAS Datuk Fadzil Noor, Pengerusi DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden Keadilan Dr Chandra Muzaffar dan Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali.