Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Kerajaan Terengganu kaji semula perjanjian dengan Terangvest

KUALA TERENGGANU, 15 Feb (hrkh) - Kerajaan PAS Terengganu akan mengkaji semula perjanjian dengan syarikat Terangvest Sdn Bhd bagi memastikan butiran perjanjian yang dibuat dengan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia negeri, Haji Mustafa Ali, berkata langkah itu bertujuan membolehkan kerajaan negeri mengawasi pelaksanaan projek memajukan Taman Safari di Dungun kerana ia melibatkan kawasan pembalakan yang luas.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu pemaju projek berkenaan melanggar perjanjian yang dimeterai sebelum ini dan melakukan pelbagai kegiatan di kawasan itu sesuka hati mereka.

"Buat masa ini kita mahu pelaksanaan projek berkenaan diberhentikan buat sementara waktu supaya pihak kerajaan dapat menilai semula perjanjian yang dibuat sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perhutanan negeri sudah mengarahkan pemaju projek tersebut menghentikan semua kegiatan di kawasan berkenaan.

"Selepas kajian semula projek berkenaan dilakukan barulah kita akan membuat keputusan berhubung masa depan projek berkenaan," katanya.

Mustafa berkata, berdasarkan laporan awal pihaknya mendapati ada butir-butir perjanjian yang tidak ditepati oleh syarikat yang memajukan kawasan tersebut.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri tidak bercadang untuk menambah kemudahan padang golf di negeri ini kerana keperluan yang sedia ada telah mencukupi.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com