Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

KES HASUTAN KARPAL SINGH DIPINDAH KE MAHKAMAH TINGGI

KUALA LUMPUR, 26 Feb - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memindahkan ke Mahkamah Tinggi kes peguam Karpal Singh yang didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan semasa perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Akhtar Tahir memutuskan demikian setelah Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Mohamed Zaki Mohamed Yasin memberitahu bahawa Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah telah mengeluarkan sijil mengarahkan kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi.

Karpal Singh yang mewakili dirinya, memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak ada bantahan.

Mohamed Zaki memberitahu mahkamahbahawa tarikh sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi akan ditetapkan oleh mahkamah berkenaan selepas rekod kes itu dipindahkan.

Karpal Singh yang juga Timbalan Pengerusi DAP didakwa pada 14 Jan lepas mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta yang sama yang membawa hukuman maksimum denda RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun jika sabit kesalahan.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu yang didakwa dilakukan di Mahkamah Tinggi pada kira-kira pukul 9.10 pagi 10 Sept lepas.

Karpal Singh yang juga merupakan seorang daripada barisan peguambela Anwar, telah menyebut perkataan yang dikatakan menghasut itu semasa berhujah mengenai isu keracunan arsenik membabitkan Anwar.

Perkataan itu ialah:"Mungkin ada seseorang yang mahu menghapuskannya...malah sehingga ke tahap membunuh. Saya mensyaki bahawa beberapa orang di peringkat atasan bertanggungjawab bagi perkara itu."

Karpal Singh dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen dengan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Kes beliau dibantu peguam Gobind Singh Deo sementara Mohamed Zaki dibantu Timbalan Pendakwa Raya Jagjit Singh. Naib Presiden Majlis Peguam Mah Weng Kwai bertindak sebagai peguam pemerhati bagi badan itu.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com