PULAU PINANG, 1 Feb - Pengerusi DAP kebangsaan Lim Kit Siang hari ini meletakkan jawatannya sebagai anggota jawatankuasa DAP negeri Pulau Pinang.
Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan di sini berkata bekas ketua pembangkang itu menghantar surat peletakan jawatan menerusi faksimili ke pejabat DAP negeri di sini.
Lim dilantik sebagai anggota jawatankuasa DAP negeri sempena konvensyen parti negeri pada 23 Jan lepas. Chow berkata dalam surat satu perenggan itu, Lim cuma menyebut bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai anggota jawatankuasa DAP negeri atas alasan kesuntukan masa dan mahu memberi peluang kepada orang lain untuk berkhidmat.
Lim juga menghargai sokongan yang diberikan kepadanya, kata Chow. Menurutnya DAP negeri akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perletakan jawatan oleh Lim itu.