Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Lim Kit Siang Tak Jadi letak Jawatan

PETALING JAYA, 13 Feb - Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang hari ini mengumumkan yang beliau akan terus bersama DAP dan akan meneruskan perjuangan politiknya.

"Saya telah memutuskan untuk terus berjuang dalam arena politik Malaysia dan meneruskan komitmen saya untuk Malaysia yang baru daripada segi keadilan, kebebasan, demokrasi dan pemerintahan yang baik," kata beliau dalam persidangan berita mengenai rancangan masa depannya di ibu pejabat parti itu di sini.

Lim, 59, antara antara ahli politik Malaysia yang paling lama berkhidmat berkata, beliau telah memikirkan dengan mendalam semua pandangan dalam memutuskan sama ada beliau harus meletakkan jawatan sebagai pengerusi kebangsaan DAP dan bersara daripada arena politik Malaysia.

Lim telah meletakkan jawatan setiausaha agung DAP pada 1 Dis, iaitu jawatan yang telah dipegangnya hampir 30 tahun sebagai menerima tanggungjawab terhadap kekalahan teruk parti itu pada pilihan raya 29 Nov lepas. Bagaimanapun beliau dilantik sebagai pengerusi kebangsaan parti itu kemudiannya.

Sambil menyatakan terima kasih kepada semua yang telah memberikan pandangan kepadanya, Lim berkata majoriti anggota parti dan maklumbalas awam yang diterimanya menunjukkan beliau masih mempunyai peranan penting dalam politik Malaysia dan oleh itu beliau perlu teruskan perjuangannya bagi keadilan,kebebasan, demokrasi dan pemerintahan yang baik.

Bekas ketua pembangkang itu berkata, terdapat undi percaya sebulat suara daripada Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan juga sokongan kukuh daripada jawatankuasa-jawatankuasa negeri, cawangan dan anggota-anggota.

Mengenai berapa lama beliau akan aktif dalam politik, beliau berkata ia sampai perjuangan politiknya tidak lagi releven kepada rakyat dan negara.

"Tetapi mungkin satu yang saya dapat katakan iaitu saya tidak akan meninggalkan politik sebelum Mahathir (Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad) yang saya rasa pasti akan menamatkan penggal kelimanya sebagai Perdana Menteri.

"Saya akan berada untuk melihat siapa yang akan menjadi Perdana Menteri kelima Malaysia yang mungkin berlaku pada 2003 atau 2004," katanya.

Lim juga berkata beliau masih muda jika dibandingkan dan baru diambang uncak kerjaya politiknya jika dibandingkan dengan personalti politik lain.

"Presiden China Jiang Zemin berusia 74 tahun sementara Perdana Menteri Jepun Keizo Obuchi berusia 63...dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berusia 74 tahun," katanya.

Lim berkata, DAP kini dalam fasa lebih penting perjuangan politiknya iaitu membentuk politik yang berkaitan dengan persoalan keadilan, kebebasan, demokrasi dan pentadbiran baik.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com