MUQADDIMAH
Tun Yang Di Pertua, saya berdiri untuk
mengambil bahagian dalam perbahasan usul untuk mempersembahkan ucapan
dalam Dewan yang mulia ini dan pertama-tamanya merakamkan ucapan ribuan
terima kasih dan menjunjung kasih atas Titah Ucapan Tuanku pada pembukaan
Penggal Kedua Parlimen yang ke-Sepuluh ini.
Tun Yang Di Pertua, saya lafazkan
ucapan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan
segala pemeliharaanNya yang dengan Ri’ayahNya itu negara dan rakyat
seluruhnya, telah selamat menjalankan salah satu tugas besar dalam sistem
pemerintahan demokrasi berparlimen yakni pilihanraya umum ke sepuluh baru
baru ini tanpa apa jua angkara dan huruhara seperti yang telah
digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.
TAHNIAH KEPADA
UMNO/BN
Tun Yang Di Pertua, saya mengucapkan
tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Barisan
Nasional kerana memperolehi sekali lagi kemenangan majoriti 2/3 dengan
memenangi 148 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum yang lalu. Adalah
wajar juga untuk diperingatkan bahawa kepercayan dan mandat yang diberikan
oleh rakyat mestilah dihargai dan disyukuri oleh kerajaan. Pastinya
sebaik-baik cara untuk menunjukkan kesyukuran kepada rakyat dan membalas
jasa rakyat adalah untuk memberikan satu pemerintahan yang akan membela
hak rakyat serta memberikan keadilan dan perlindungan kepada kepentingan
rakyat sementara seterusnya membangunkan negara.
Kemenangan besar ini juga sepatutnya
menggembirakan UMNO/BN dan menyedihkan kami Barisan Alternatif. Namun apa
yang berlaku adalah disebaliknya. Setelah melalui satu tempoh euporia yang
singkat, pemimpin dan ahli BN/UMNO bermurung dan saling menuding jari,
yang muda kepada yang tua, yang lelaki kepada wanita, mengesyakki sesama
sendiri, tuduhan sabotaj oleh orang paling rapat dan pendedahan berbagai
pekong yang menyebabkan kami semua terhibur dan terkadangkali jadi gusar
(kerana kesan dan impak kepada ekonomi dan pasaran saham!). Kami yang tak
menang ini pula berasa bersyukur atas apa yang kami capai dan dapat kami
rakamkan perasaan kami ini dalam bentuk perpaduan yang makin kukuh dalam
Barisan Alternatif.
TAHNIAH KEPADA
RAKYAT KERANA BERANI MEMBUAT PERUBAHAN.
Tun Yang Di Pertua, ucapan syabas kita
rakamkan kepada rakyat amnya, dan secara khususnya pengundi di negeri
Kelantan dan Terengganu kerana cukup berani membuat satu penegasan dan
anjakan yang besar dalam pendirian politik mereka. Ucapan tahniah juga
saya rakamkan kepada pakatan Barisan Alternatif kerana bukan sahaja dapat
mengekalkan kuasa di negeri Kelantan Darul Naim bahkan menambahkan
pemerintahannya di sebuah lagi negeri yakni di negeri Terengganu Darul
Iman. Di samping itu, tahniah juga kepada rakyat di negeri lain yang
memberi kemenangan beberapa kerusi kepada Barisan Alternatif di negeri
masing-masing yang boleh dijadikan sebagai asas mencapai kemenangan lebih
besar dalam pilihanraya akan datang.
KEMEROSOTAN
KEYAKINAN DAN UNDI RAKYAT KEPADA UMNO/BN.
Tun Yang Di Pertua, mengimbaskan
kembali keputusan pilihanraya ke-10 baru baru ini, kalaupun Barisan
Nasional mengekalkan 2/3 majoriti di Parlimen, ternyata bahawa kemenangan
42 kerusi Parlimen Barisan Alternatif atau 45 kerusi Parlimen pembangkang
seluruhnya dengan 2 negeri yang telah berada dalam pemerintahan Barisan
Alternatif sekaligus menunjukkan kemerosotan populariti dan penghakisan
keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional. Di lihat dari kayu
ukur undi popular (dengan izin popular vote), jelasnya bahawa Barisan
Nasional mengalami kemerosotan undi popular dari jumlah 65% pada
pilihanraya ke sembilan (1995) kepada 56.1% pada pilihanraya ke-10
baru-baru ini. Analisis dan post-mortem yang terperinci telah pun
didedahkan oleh beberapa pihak samada di dada akhbar luar negara, akhbar
perdana atau alternatif akan kemerosotan kepercayaan dan peralihan
sokongan rakyat keseluruhannya dan orang Melayu khususnya daripada
UMNO/Barisan Nasional kepada Barisan Alternatif. Antara penulisan terawal
yang menerbitkan analisis post-mortem pilihanraya, di Asian Wall Street
Journal (Leslie Lopez, 2hb,1999), ada menegaskan bahawa UMNO memerlukan
perubahan budaya untuk terus kekal berkuasa. Beliau antara lainnya,
memetik kata-kata Abdul Razak Baginda (Ketua Eksekutif Malaysian Strategic
Resource Centre, MSRC), “bahawa meskipun BN menang, tapi UMNO kalah kerana
UMNO telah kehilangan sokongan masyarakat Melayu”. Kalau
dulunya UMNO mempunyai 94 kerusi parlimen, ia hanya ada 71 sekarang ini.
Hakikat ini diakui sendiri oleh pihak Barisan Nasional seperti pengakuan
yang dibuat dalam penulisan YB Kota Tinggi (Syed Hamid Albar) dalam Utusan
Malaysia baru baru ini, (26hb Januari) yang menyebutkan “bahawa ramai
calon Barisan Nasional dari UMNO menang kerana sokongan yang diberikan
oleh pengundi bukan Melayu.” “Yang anehnya”, kata beliau lagi, “ terdapat
kawasan kawasan di mana jumlah undi yang diperolehi oleh calon UMNO kurang
dari jumlah ahli UMNO di kawasan tersebut”. Ya, Tun Yang diPertua, memang
cukup aneh.
UMNO SUDAH MELEPASI
ERA RELEVANSINYA DALAM PERJUANGAN MEMERTABATKAN AGAMA, KEDAULATAN
UNDANG-UNDANG DAN NEGARA.
Tun Yang di Pertua, sudah terlalu
banyak pihak yang menuntut supaya satu pemikiran semula perlu dilakukan
oleh UMNO secara introspektif dan ikhlas. Diberitakan yang paling mutakhir
adalah dalam seminar “ Politik Malaysia di dalam Abad ke-21” yang
dianjurkan oleh Malaysian Strategic Resource Center (MSRC) sebuah
tink-tank kerajaan Barisan Nasional. Antara yang merakamkan pandangan
mereka termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif MSRC sendiri yang menyimpulkan
bahawa “UMNO has become quite irrelevant” (menyebutkan sambil memohon izin
dari peserta seminar) kecuali berlaku satu pemikiran semula (dengan izin
‘a rethinking’).
Tun Yang Di Pertua, selaku Ketua
Pembangkang saya juga ingin merakamkan bahawa UMNO sedang mengakhiri era
relevansinya khususnya dalam konteks politik kontemporari dalam alaf baru.
Saya ingin menyebutkan satu ungkapan dalam jurnal “Current History” yang
mengiklankan dengan izin ; “ If you are not current, you are history”.
(Kalau anda tidak terkini, anda adalah sejarah).
Perjuangan Nasionalisme khususnya
Kebangsaan Melayu adalah asas dan ideologi yang menunjangi perjuangan
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dalam menuntut Kemerdekaan.
Dengan ideologi ini UMNO telah mempelopori tuntutan kemerdekaan dari pihak
penjajah British, lalu mewariskan seluruh sistem pemerintahan demokrasi
liberal berparlimen ala-Westminster ini kepada kerajaan UMNO/Perikataan.
Dengan kefahaman ideologi ini juga UMNO telah menolak gagasan “Malayan
Union” tajaan Dato Onn Jaafar. Tidak kurang mendapat tentangan adalah
perjuangan yang berteraskan agama sebagai ideologi yang dipelopori oleh
Hizbul Muslimin yang hanya mampu bertahan beberapa bulan sebelum
pengharamannya lantas disusuli dengan penubuhan Parti Islam SeMalaysia
PAS dalam tahun 1951.
Dengan kefahaman ideologi sempit nasionalisme
bangsa (‘asobiyah qaumniyah) ini juga, bertaut dan bersatunya partai
partai politik berteraskan ras dan perjuangan bangsa masing-masing
khususnya UMNO, MCA dan MIC. Ini telah mewarnai sejarah politik Gelombang
Pertama dalam tahun 50an, 60an dan 70an. Kerajaan UMNO/Perikatan telah
membangunkan negara dalam era pasca merdeka itu dengan bertunjangkan
kefahaman nasionalisme.
Tun Yang DiPertua, mungkin ideologi
Kebangsaan Melayu atau Nasionalisma (yang berbeza dengan semangat
patriotisme) ini telah memainkan peranannya dalam perjuangan menuntut
kemerdekaan dan pembangunan dalam beberapa dekad yang lalu. Kini
nostalgia ini telah kehilangan daya juang dan daya tariknya kerana realiti
dan zaman telah berubah. Telah ada dua generasi pengundi yang lahir dalam
era 6oan dan 70an yang tidak hidup dalam suasana perjuangan
kemerdekaan. Sementara itu zaman sudah berubah dengan begitu pantas
terutama dalam saingan dunia teknologi maklumat yang menyaksikan ledakan
ilmu, pengetahuan dan lonjakan kesedaran nilai dan kemanusiaan
sejagat. Psikologi dan pemikiran golongan ini khususnya agak jauh
berbeza dan tidak mudah diterapkan nostalgia perjuangan politik zaman
silam. Perjuangan menuntut kemerdekaan sebagai asas penyatuan
negara-bangsa Malaysia itu sendiri sudah agak usang dan tidak bermaya
lagi. Rakyat amnya dan golongan yang berpendidikan (bermaklumat)
khususnya, juga cukup peka dengan angin perubahan dan jatuh-bangun
pemerintahan yang berlaku bukan sahaja dirantau Asia Pasifik ini bahkan di
seluruh dunia. Dalam suasana sebegini pastinya politik
perkauman (Racial Politics) yang menjadi teras dan budaya politik
pelbagai partai (muti-party syatem) sejak kemerdekaan lagi, sudah
ketandusan tarikan dan relevansi. Pemikiran dan fahaman warisan penjajahan
ini sudah terlalu lapok tambahan pula diresapi dengan segala kepincangan
pengurusannya yang menginstitusikan penyelewangan, ketidakadilan dan
penyalahgunaan kuasa samada dalam politik mahupun amalan pengurusan
ekonomi dan pembangunan, dalam bentuk yang ‘disahkan’ dan ‘dilindungi’
oleh institusi institusi dan agensi pemerintahan.
Lantas terbit satu terminologi baru
dalam dunia perundangan di Malaysia dengan istilah pemerintahan “Rule by
Law” (Pemreinthan Undang-Undang) dan bukan “Rule of Law” (Keluhuran
Undang-Undang) yang diistilah oleh bekas Ketua Pembangkang saudara Lim Kit
Siang. Kini, masyarakat tampak jelas dan menyaksikan sendiri
bagaimana proses perundangan telah dipergunakan untuk “membetulkan yang
salah” dan sebaliknya “mempersalahkan yang betul”, “mangsa menjadi
penjenayah sementara penjenayah dianggap wira yang dibela”. Paling
anehnya, kesemuanya mengikut Process of Law (Proses Undang-Undang) atau
Rule by Law. Sebagai contohnya, amalan pendakwaan dan hukuman terpilih
(selective prosecution) seolah-olah menjadi sebahagian dari ciri
perundangan di Malaysia hari ini. Rakyat maseh tertanya-tanya apakah
tindakan yang akan diambil oleh pihak mahkamah terhadap laporan polis yang
dibuat oleh DS Anawr Ibrahim terhadap kes Dato Paduka Rafidah Aziz yang
menghadapi 5 kes rasuah, Tan Sri Eric Chia dalam kes skandal Perwaja
melibatkan hampir RM 10 bilion. Juga kita ingin apakah tindakan pihak
polis terhadap laporan tentang Tun Daim Zainuddin yang menerima wang dari
tiga tokoh koporat sementara beliau maseh merupakan Menteri Kewangan
ketika itu. Begitu juga kes Tan Sri Rahim Tamby Chik atas empat kes rasuah
yang dilaporkan oleh DS Anwar Ibrahim mengikut maklumat bekas YB Kota
Melaka Lim Guan Eng..
Zaman terus berubah. UMNO terus
ditelan dek usia zaman. Kekuatannya satu ketika dahulu telah menjadikan
ianya terperangkap dalam paradigma kuasa hegemoni yang seterusnya
mengongkongnya. Mungkin UMNO gagah satu masa dalam sejarah. Namun,
seumpama dinasur (dinosaurs) yang besar dan gagah satu ketika dalam
sejarah, ia hanya dapat disaksikan kini dalam museum. UMNO yang juga gagal
mengikuti peredaran zaman dan tuntutan realiti baru alaf baru, juga sedang
menempah kesudahan yang mirip dinasur. Yang diperlukan oleh UMNO kini
bukan hanya sekadar menukar beberapa ‘spare-parts’ yang telah terlalu
‘lama’ bahkan yang diperlukan adalah satu ‘overhaul’ yang menyeluruh
bermula dari di segi dasar dan matlamat perjuangan hinggalah kepada
persoalan kepimpinan.
Kita jangjakan akan menyaksikan perhimpunan bulan Mei akan datang
nanti, sebagai usaha dari pihak akar umbi untuk membuat perubahan
kepimpinan yang dirasakan oleh parti telah menjadi liabiliti dan petualang
kepada proses rejuvenasi (keremajaan atau mengawetmudakan atau
tajdid/ihya’) UMNO kembali. Sekali lagi UMNO akan bergolak sekaligus
mengesahkan jangkaan ramai bahawa parti akan cuba menyingkirkan kepimpinan
yang bertanggungjawab akan kemerosotan keyakinan rakyat terhadap UMNO.
Mungkin telah sampai masanya untuk kepimpinan UMNO sedar bahawa orang
Melayu samada orang berpartai atau pun tidak, sudah tidak lagi boleh
menerima fahaman Kebangsaan atau Nasionalisma Melayu sebagai teras
perjuangan. Telah berlalu politik perkauman. Kini, mereka, khususnya orang
Melayu mahukan Islam di mertabatkan dan tidak di hina serta rakyat amnya
dahagakan Keadilan dan mahukan pemerintahan yang telus (Transparent) dan
boleh dipertanggungjawab (Accountable).
PILIHANRAYA PALING
KOTOR DALAM SEJARAH TANAH AIR.
Tun Yang Di Pertua, saya sengaja
membawa isu pilihanraya ini ke pengetahuan Dewan yang mulia ini kerana
pilihanraya adalah antara simbol penting dalam amalan demokrasi
berparlimen. Adalah menjadi satu tanggungjawab seluruh pihak khususnya
pihak eksekutif dan kehakiman untuk mempastikan bahawa pengendalian
pilihanraya mestilah bebas dan adil (dengan izin free and fair) dan
benar benar menepati kepentingan negara dan rakyat teramai. Dalam
perspektif itu rakyat juga turut mempertikaikan keputusan kerajaan UMNO/BN
yang sewenang-wenang membubarkan parlimen yang sedang dalam sesi yang
membincangkan Belanjawaan 2000 bahkan sekaligus menyanggah kepentingan
rakyat samada dari sudut perhitungan peperiksaan pelajar-pelajar SPM dan
STP, musim tengkujuh dibeberapa buah negeri dan penafian kepada 681,000
pengundi baru andainya dibuat juga pilihanraya umum pada akhir tahun
1999.
Tun Yang Di Pertua, Dewan ini ingin
merakamkan bahawa pilihanraya umum ke-10 baru baru ini, seperti yang
pernah dijanjikan oleh Pengerusi Barisan Nasional, telah pun menjadi
pilihanraya yang paling kotor dalam sejarah politik tanah air.
Penyalahgunaan agensi kerajaan yang keterlaluan berlaku secara berleluasa
seperti Kementerian Penerangan dan semua media perdana, akhbar, radio dan
TV yang berkempen secara menggila untuk UMNO/BN secara yang tidak pernah
disaksikan dalam sejarah pilihanraya. Taktik kotor memburuk-burukkan
pimpinan alternatif merupakan sajian harian serta ancaman dan ugutan akan
berlakunya huruhara seandainya Barisan Alternatif menang, merupakan sajian
harian semua media perdana selepas hari penamaan calon. Media perdana juga
memfokaskan ancaman terhadap kaum Cina dan India terhadap momokan negara
Islam dan perlaksanaan hukum hudud. Kakitangan kerajaan pula menjadi
sasaran ugutan supaya tidak belot dan menyokong pembangkang. Ada Menteri
yang mengugut akan menghalau guru-guru yang menyokong pembangkang ke
pulau-pulau. Ada yang pengusaha teksi yang akan kehilangan permit teksi
mereka jika menyokong pembangkang. Inikah yang dikatakan
demokrasi?
Tun Yang Di Pertua pihak Barisan
Nasional mungkin perlu diperingatkan bahawa adalah hak dan kebebasan
rakyat untuk membuat pilihan yang bebas tanpa perlu diganggu-gugat dengan
ancaman belot dan tidak bersyukur seandainya mereka memilih Barisan
Alternatif untuk memerintah negara. Ini adalah tuntutan asas kepada amalan
prinsip berdemokrasi yakni kebebasan memilih, menyatakan pendapat dan
pandangan yang berbeza (dengan izin ‘the right to choose and to dissent).
Perkara inilah yang mampu mengelakkan autokrasi dan mengekalkan dinamisme
demokrasi berparlimen. Semua ini adalah penghayatan penyemak dan
pengimbang (check and balance) dalam amalan demokrasi dalam sistem
berbagai parti (dengan izin multi-party system). Rakyat mestilah diberikan
hak dan kebebasan, paling tidaknya empat tahun sekali tanpa rasa gusar dan
takut, dan diancam dengan tuduhan tidak patriotik atau menderhaka kepada
negara kalau mereka berbeza pandangan dan pilihan dari kehendak parti
pemerintah yang ingin mengekalkan status-quo (dengan izin).
SURUHANJAYA
PILIHANRAYA PERLU PEMBERSIHAN DAN ‘OVERHAUL’.
Tun Yang Di Pertua, seperkara lagi
yang perlu disebutkan di segi ini adalah kekecewaan rakyat terhadap
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), yang jelasnya tidak dapat membela
kepentingan dan hak rakyat teramai. Meskipun telah diperingatkan beberapa
kali oleh berbagai pihak akan kepentingan untuk menjamin ketelusan,
kebersihan dan keadilan pilihanraya, rakyat cukup kecewa kerana masih
terdapat kewujudan ‘pengundi hantu’, seperti yang dapat dibuktikan di
Sabah, pertindihan pengundi yang memegang kad pengenalan yang sama, dan
nama pengundi yang telah mati yang masih tersenarai dalam daftar pengundi.
Laporan dan pendedahan telah dibuat oleh beberapa pihak parti alternatif
akan kewujudan puluhan ribu pengundi dalam daftar pemilih di beberapa
Kawasan Parlimen tertentu, yang mempunyai kad pengenalan yang tidak boleh
disahkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara.
Kekecewaan rakyat juga berpunca dari
kegagalan SPR untuk mengendalikan kemasukan pengundi baru seramai 681,000
yang akhirnya dinafikan hak untuk melaksanakan tanggungjawab mereka
mengundi kalau pun telah berdaftar hampir lapan bulan yang lalu. Ini cukup
berbeza dengan pengurusan pengundi baru di negara negara maju seperti New
Zealand yang mengadakan pilihanraya umumnya baru-baru ini tetapi
mengizinkan pengundi baru untuk mengundi walaupun baru berdaftar beberapa
hari sebelum pilihanraya. Ini baru dikatakan kecanggihan! Perlaksanaan
pengurusan maklumat kita masih ditahap yang terkebelakang meskipun kita
banyak menyebut dan beretorik mengenai pengurusan bestari. Saya menyeru
supaya dilaksanakan sistem pendaftaran ahli secara berterusan sepanjang
tahun, dan memanafaatkan keupayaan IT dengan mula memikirkan pendaftaran
secara ‘on-line’. Sepatutnya, dengan kerjasama yang erat dengan Jabatan
Pendaftaran Negara, pendaftaran pemilih secara aotomatik apabila rakyat
mencapai umur tertentu boleh dilaksanakan.
Seperkara lagi yang kita ingin
cadangkan ialah menurunkan had umur menjadi pemilih kepada 18 tahun. Amat
tidak manasabah jika anak muda kita yang umur 18 tahun kita hantar
untuk menjadi anggota keselamatan mempertahankan sempadan negara tetapi
tidak ada hak untuk memilih kerajaan mereka. Kedua-dua tanggungjawab ini
sebenarnya sama penting. Berilah hak ini kepada mereka.
Tun Yang di Pertua, selaku Ketua
Pembangkang Barisan Alternatif saya ingin melanjutkan cadangan Ketua
Pembangkang yang lepas pada tahun 1995 supaya ditubuhkan sebuah
Jawatankuasa Parlimen yang diketuai oleh seorang Ahli Parlimen Pembangkang
untuk mengkaji penyalahgunaan serta penyelewangan-penyelewangan yang
berlaku dalam pilihanraya umum ke–10 baru baru ini bukan sekadar untuk
mencari kesilapan mana-mana pihak akan tetapi untuk mempastikan supaya
pilihanraya ke-11 akan datang tidak akan mengulangi segala penyelewangan
supaya ia dapat dijadikan pilihanraya yang paling bersih, bebas dan adil.
Seandainya cadangan pada tahun 1995 diterima, pasti kekotoran yang
dijanjikan oleh Perdana Menteri tidak berlaku.
PENCEMARAN KELUHURAN
PERLEMBAGAAN MENGOTORI PEMBUKAAN ALAF BARU AMALAN DEMOKRASI
BERPARLIMEN.
Tun Yang Di Pertua, seolah-olah apa
yang telah berlaku pada suasana pilihanraya tempoh hari tidak cukup untuk
menunjukkan sikap angkuh dan autokratik kerajaan Barisan Nasional, maka
berlaku pula apa yang kami maksudkan sebagai pencabulan kedaulatan
perlembagaan oleh pihak Barisan Nasional dalam pengendalian persidangan
Penggal Pertama Parlimen ke-Sepuluh pada 20 hb Disember 1999 baru baru
ini. Peristiwa penuh kontroversi itu yang pastinya akan merupakan sejarah
hitam dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini, tidak
semudah-mudahnya dapat diselesaikan dengan pungutan suara ramai ahli
parlimen.
Demokrasi boleh diertikan dengan
pemerintahan suara ramai (dengan izin majority rule) selama suara ramai
itu mendukungi prinsip keluhuran perlembagaan. Sebaik sahaja suara
majoriti sudah tidak lagi mendukungi keluhuran dan kedaulatan perlembagaan
dan ruh perlembagaan (dengan izin “constitutionalism”) maka demokrasi dan
suara majoriti telah bertukar menjadi kezaliman majoriti ke atas minoriti
(dengan izin “tyranny of the majority over the minority”). Itu bukan lagi
demokrasi tetapi autokrasi atau kuku-besi!
Tun Yang Di Pertua, jelasnya dalam
pengalaman persidangan pertama parlimen ke Sepuluh, wujud kontroversi yang
perlu ditangani dengan lebih cermat serta memerlukan kajian yang lebih
ilmiah dan mendalam. Tanpa mengulangi penghujahannya secara terperinci,
adalah nyata kedudukan isu ‘caretaker government’ sekaligus ‘caretaker
Prime Minister’ serta bidang kuasa dan tanggungjawaban mereka adalah
begitu kabur sekali.
Sikap bermudah untuk membelakangi
perlembagaan dan peraturan persidangan adalah amat dikesali dan merupakan
cara dan tabiat angkuh pihak kerajaan Barisan Nasional yang tidak layak
bagi mereka yang mendakwa mendukungi Kedaulatan Perlembagaan. Dewan yang
mulia ini merakamkan supaya peristiwa hitam ini diabadikan rakamannya dan
akan terus menjadi isu pertikaian dalam perundangan perlembagaan
(constitutional law) di negara ini bahkan disemua negara yang mengamalkan
demokrasi berparlimen ala-Westminster, selama tidak dicari penyelesaian
yang muktamad di mahkamah undang-undang (dengan izin, court of law).
Cadangan pihak pembangkang supaya perlembagaan dan peraturan persidangan
parlimen tidak dilanggari dengan menangguh persidangan pertama kepada 29
hb Disember setelah kabinet baru bersidang pada 15 Disember supaya semua
peruntukan perlembagaan dan peraturan persidangan dapat dipatuhi telah
ditolak. Persidangan khas parlimen boleh juga dipanggil pada 30 dan 31
Disember untuk meluluskan rang-undang perbelanjaan luar jangka sebanyak RM
18 bilion untuk perbelanjaan kerajaan selama beberapa bulan
pertama.
Dewan Negara juga boleh dipanggil
bersidang secara luar biasa (emergency) pada 31 hb. Disember untuk
meluluskan rang undang-undang perbelanjaan luar jangka supaya kesemuanya
dapat diluluskan sebagai berkuatkuasa secara sah, sebelum masuknya alaf
baru tahun 2000.
MENGEMBALIKAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG DAN KELUHURAN PERLEMBAGAAN.
Tun Yang di Pertua, kesemua senario
politik tanah air mutakhir ini yang dicirikan dengan kehilangan kewibawaan
kuasa kehakiman, kuasa legislatif yang hanya menjadi peranan
‘rubber-stamp’ kepada pihak eksekutif yang terlalu kuat dengan kuasa 2/3
majoriti yang terlalu lama serta keruntuhan keluhuran perlembagaan dan
kedaulatan undang-undang, perampasan hak hak asasi rakyat dengan akta akta
represif (seperti ISA, OSA, Akta Polis, dll), yang diperuntukkan dalam
perlembagaan negara dan pengisytiharaan Hak Asasi Bangsa Bangsa Bersatu,
adalah mirip suasana yang telah digambarkan oleh Datuk Dr Rais Yatim
dalam bukunya “Kebebasan di Bawah Kuasa Eksekutif di Malysia yang
diterbitkan dalam tahun 1995. (dengan izin-“Freedom Under Executive Power
in Malaysia – A Study in Executive Supremacy). Apakah beliau akan kekal
mendukungi kebenaran yang beliau perjuangkan satu masa dahulu ataukah
kesemua adalah baik sekadar untuk memberi beliau gelaran seorang Doktor
Falsafah dalam undang-undang ?? Apapun jawaban dari Menteri di Jabatan
Perdana Menteri itu, hakikatnya tetap sama bahawa rakyat masih menantikan
reformasi dan pemulihan kedualatan undang-undang yang pertama-tamanya
dicabuli pada tahun 1988 dalam krisis kehakiman yang paling buruk di dalam
sejarah perundangan tanah air yang akhirnya menyebabkan Ketua Hakim Negara
pada ketika, Tun Salleh Abbas serta dua hakim Mahkamah Agong dilucutkan
jawatan.
Tun Yang Di Pertua, izInkan saya
mengingatkan di dewan yang mulia ini beberapa petikan dari buku tersebut
yang menyinggung persoalan kuasa eksekutif yang dipergunakan secara
sewenang-wenangnya hingga memaksa badan kehakiman serta parlimen menjadi
hilang kebebasan dan kewibawaan.
“Serangan-serangan yang pada masa yang
sama melengkapkan pihak eksekutif dengan kuasa-kuasa menggerunkan ini
telah mengganggu mekanisme penyemak dan pengimbang (check and balance)
yang begitu penting dalam satu sistem yang mendakwa dirinya demokratik dan
berpandukan kedaulatan undang-undang..”
Beliau antara lain membuat kesimpulan bahawa…”
Badan kehakiman telah kalah dalam pertarungan mengawal kuasa eksekutif
yang secara terus meminda urusan dan status-quo badan kehakiman menerusi
cara yang diperlihatkan oleh kuasa eksekutif Malaysia ini memang sesuatu
yang jarang berlaku dan cara serangan ke atas badan kehakiman dalam tahun
1988 tidak berlaku dalam dunia demokratik bebas…”
ERTI DAN IMPLIKASI
KEPUTUSAN PILIHANRAYA UMUM YANG LALU.
Tun Yang di Pertua, adalah mustahak
untuk disebutkan di Dewan yang mulia ini bahawa kemerosotan sokongan
rakyat terhadap Barisan Nasional dalam pilihanraya juga perlu dilihat dari
perspektif penolakan dan bantahan rakyat terhadap beberapa perkara dalam
senario politik pra-pilihanraya. Sekaligus ia menunjukkan protes dan
penentangan rakyat terhadap isu penghakisan kebebasan sistem kehakiman,
ketidakadilan agihan kekayaan negara, amalan rasuah, kronisme dan
nepotisme, pemborosan dan kepincangan pengurusan pembangunan negara,
ketidakadilan dan kezaliman politik khusunya terhadap beberapa
peribadi termasuklah kes bekas YB Kota Melaka saudara Lim Guan Eng dan
kemuncaknya terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Anwar
Ibrahim, serta begitu banyak tangkapan di bawah ISA dan Akta
Polis.
Pilihanraya yang lalu secara jelas
telah mengisyaratkan kepada kita bahawa rakyat sudah tidak boleh lagi
menerima pola politik perkauman, pemikiran dan ‘mindset’ purba dan
ketinggalan - ‘outdated’ (dengan izin) dan stail kepimpinan yang terlalu
autokratik dan menekan dan represif. Bagi orang Melayu khususnya,
kecintaan pada agama Islam menyebabkan mereka tidak boleh menerima
ketidakadilan, kezaliman dan pemerintahan yang tidak menghormati mertabat
agama, penghinaan terhadap hukum Islam dan Sunnah Rasulallah bahkan
mertabat kemanusiaan itu sendiri.
Keadilan juga diertikan dengan
keadilan agihan kekayaan negara, pengelakan pemborosan sumber kekayaan
negara dan pembangunan yang berhemat dan seimbang. Orang bukan Islam juga
mahukan keadilan sejagat dan mereka mahu melihat keadilan itu
dilaksanakan. Tegasnya penurunan undian khususnya kepada UMNO/BN adalah
membayangkan juga penolakan rakyat terhadap beberapa polisi pembangunan
kerajaan BN khususnya program penswastaan yang jelas membawa kesan dan
beban yang parah kepada rakyat yang menanggung kos yang tinggi untuk
perkhidmatan yang tidaklah jauh lebih baik dari sebelum era penswsataan.
Penswastaan jelasnya telah berjaya untuk memperkayakan orang-orang dan
kroni tertentu hasil dari ketidaktelusan cara pemberian kontrak yang tidak
terbuka bahkan di perolehi secara “yang kita pun tidak tahu”.
Pengkorporatan universiti, perkhidmatan awam, seperti jalan dan lebuhraya,
elektrik, air dan telekomunikasi kesemuanya membawa kos yang tinggi kepada
rakyat disamping harga barangan harian yang melambung tinggi sementara
harga hasil pekebun kecil (getah), petani (padi) dan nelayan (ikan) tidak
mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Apa yang mendatangkan kemarahan rakyat
khususnya orang Melayu dalam pilihanraya baru-baru ini ialah sudahlah Dato
Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat apa apa pembelaan secara adil dalam
media perdana, sebaliknya pula liputan penulisan, tayangan gambar dan
pendedahan iklan yang dibuat kesemuanya memburuk-burukkan lagi imej beliau
sebagai pencetus kekecuhan, huruhara sementara masih memainkan lagu lama
mengenai salah laku seks dan rendah moralnya. Jelas taktik kotor untuk
memburuk-burukkan pemimpin alternatif telah membawa akibat sebaliknya
(dengan izin ‘backlashed’) kepada UMNO/ BN kerana cukup keterlaluan
(dengan izin ‘over-killed’). Perkara ini terpaksa diakui hatta dalam
penulisan Abdul Razak Abdullah Baginda, CEO Malaysian Strategic Resource
Centre (MSRC), sebuah kumpulan Think-Tank kerajaan, dalam penulisannya
yang diterbitkan oleh New Strait Times. Kata beliau..”overt display of
propaganda merely puts people off”…propaganda yang keterlaluan menjemu dan
memualkan rakyat.
Tun Yang diPertua, adalah sukar untuk
mensabitkan pemerhatian yang dibuat samada merupakan pola dan trend yang
akan berkekalan atau pun merupakan fenomena sementara. Pun begitu apa yang
jelas adalah wujudnya trend pemikiran rakyat yang semakin matang, berani
dan sukar untuk dibelenggu dengan khurafat pemikiran kononnya hanya
UMNO/BN yang mampu mentadbir dan memimpin. Kemasukan golongan profesional
dan intelek dari semua lapisan kaum dan masyarakat yang menyokong parti
parti alternatif khususnya PAS dan Parti Keadilan Nasional, jelas
menujukkan bahawa seandainya UMNO/BN kekal dengan sikap dan pemerintahan
autokratik maka fenomena ini pasti akan kekal sebagai satu trend yang akan
mencirikan landskap pemikiran politik rakyat Malaysia di alaf baru
ini
KEGAWATAN EKONOMI
YANG BELUM PULIH TERUS MENGHANTUI KEPIMPINAN NEGARA.
Tun Yang diPertua, negara telah
mengalami satu episod keruntuhan ekonomi secara mendadak bersama-sama
dengan ekonomi beberapa negara lain diAsia Tenggara bermula Julai 1997.
Apa pun punca faktor keruntuhan ekonomi yang maseh dianalisis hingga kini,
yang pastinya ialah ia berpunca dari berbagai sebab atau
‘multi-factorial”. Adalah mustahak untuk kerajaan mempelajari dari
kesalahan dan kepincangan pengurusan ekonomi negara yang telah
mengakibatkan merudumnya ekonomi yang sepatutnya tidaklah serapuh dan
semudah digugat seperti yang telah terjadi (berbanding dengan negara jiran
seperti Singapura). Kalau pun tidak dinafikan peranan serangan spekulator
mata wang, akan tetapi serangan terhadap mata wang negara telah dibuat
kerana mereka mengesani kelemahan dan kesempatan, bukan kerana mereka
Yahudi atau kita orang Islam.
Tun Yang DiPertua, dengan kata lain
juga adalah mustahak untuk kerajaan mengenalpasti antara sebab yang
menjadikan ekonomi negara menjadi terdedah kepada serangan spekulator.
Kesemua faktor-faktor kelemahan dan kesan buruk termasuk “overinvestment”
(pelaburan berlebihan), pelaburan disektor yang tidak produktif, pelaburan
yang bertindih dan tidak effisien, overgearing (pinjaman yang
berlebihan), amalan kapitalisme kroni, nepotisme dan rasuah dalam
amalan penswastaan lantas mencetuskan fenomena ekonomi membelon, fenomena
ekonomi meruap (overheating) sehingga runtuh pasaran saham dan matawang
serta institusi perbankan dan kewangan. Sebagai contohnya hutang
negara adalah dianggarkan sebanyak RM161.3 bilion atau 57.4% dari KNK
(GNP). Hutang yang ditanggung oleh pihak awam (Kerajaan Pusat, sector awam
dan agensi negeri) adalah sebanyak RM 72.5 bilion. Selain adalah hutang
pihak swasta. Retoriknya adalah kita tidak mahu meminjam dari luar (cth
World Bank) tapi pada waktu yang sama kita tahu bahawa belanjawaan defisit
terus menuntut supaya kita meminjam dari luar.
Peliknya dalam suasana seperti itu,
YAB PM menjelaskan sedikit masa dahulu ketika ditanya tentang projek
projek mega-mewah kerajaan, jawapan diberi adalah kita buat kerana kita
mampu. Memanglah Malaysia semua Boleh ! Tapi ingatlah sikit, ini bukan
Duit UMNO! Ini wang rakyat !! Bayaran hutang sahaja adalah 15.5%
dari jumlah perbelanjaan operasi dan meningkat kepada 18.5% pada tahun
1999 dan akan meningkat pada tahun 2000. Contohnya, perbelanjaan berbilion
ringgit dengan projek seperti Putrajaya, KLCC dan KLIA dianggarkan
menanggung bayaran faedah dari pinjamannya sudah sampai kepada beberapa
juta RM sehari.
Tun Yang DiPertua, persoalannya ialah
apakah senario buruk ini dapat diminimakan kalaupun tidak dapat dielakkan
samasekali seandainya ekonomi negara telah diurus dengan pruden (bijak),
berhemat dan lestari – berterusan (al-istimrariyah -
sustainable).
Kawalan modal dan mata wang yang kita
lakukan jelas adalah tindakan yang dibuat setelah merudum atau dengan kata
kata lain “ setelah kerbau keluar kandang, barulah kita nak tutup pagar”.
Setelah berbondong-bondong pengurus dana keluar dengan wang mereka baru
kita kenakan kawalan modal. Kesan buruk dari kawalan modal dan mata wang
terhadap ekonomi negara hingga kini maseh belum dapat dikenalpasti secara
kuantitatif. Impak negatif akibat polisi kawalan modal kepada keyakinan
pelabur asing dan juga tempatan sukar untuk dinilai dalam suasana
pemulihan hari ini. Mengintegrasi ekonomi kepada ekonomi global juga
memerlukan masa untuk dibaikpulih. Meskipun tanda-tanda pemulihan seumpama
lebihan dagangan (trade surplus) untuk tiga suku pertama tahun lalu
menunjukkan kenaikan sebanyak 35% berbanding tahun sebelumnya, perkara
adalah sukar untuk diambil sebagai petunjuk sebenar pemulihan terutama
kerana faktor sebenar yang memacu lebihan dagangan adalah ‘kelemahan
ringgit’. Pada waktu yang sama kerajaan cuba menggalakkan keperluan
domestik (domestic demand) dengan mengizinkan perbelanjaan defisit yang
besar (massive defisit spending).. Adalah tidak sukar untuk menyimpulkan
bahawa ini adalah sekadar strategi jangka-pendek.
Salah satu petanda kepada pemulihan
keyakinan pelabur asing adalah dilihat di segi permohonan pelaburan modal
asing. Mengikut laporan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan
Industri bahawa untuk tahun yang ketiganya negara mengalami kemerosotan
pelaburan modal dalam sektor industri pembuatan sebanyak 26% kepada hanya
RM14 bilion.
Menterinya juga pantas memberi alasan
bahawa kerajaan lebih memilih (choosy) dan juga menyebutkan bahawa
kekurangan pelaburan ini tidak ada sangkut-paut dengan kes Datuk Seri
Anwar Ibrahim. (kita tak tanya pun!!).
Tun Yang Di Pertua, apa yang lebih
mustahak lagi untuk negara sekarang ini adalah supaya segala kesilapan dan
kepincangan lama tidak diulangi. Kita perlu belajar dari kesilapan lama
supaya tidak mengulangi kitaran lama. Projek projek mega-mewah berbilion
ringgit seperti Putrajaya, KLCC, KLIA dbsnya sememangnya melonjakkan KDNK
(GDP), akan tetapi apakah ianya membawa kepada erti pembangunan
sebenarnya. Apakah kesan “multiplier-nya” dari sudut perangsangan
pembangunan dan penumbuhan kegiatan ekonomi dalam berbagai sektor yang
lain. Hujjah YAB PM satu ketika dahulu bahawa lebih besar lebih murah kos
pembinaannya tidak menepati asas logik hatta dalam bidang ekonomi
sekalipun. Perbelanjaan berbilion ringgit dengan projek seperti Putrajaya,
KLCC hatta KLIA sendiri adalah tidak begitu jelas dari sudut pulangan
kesan multipliernya dan pendapatan investmentnya. Kerajaan tidak perlu
mendabek dada menunggu pujian akan tindakan ‘bijak’ mereka menangani
kegawatan ekonomi kerana kerajaan adalah antara punca keruntuhan itu
sendiri. Sesungguhnya, ekonomi global sememang agak sukar untuk difahami
khususnya di segi pengaliran masuk-keluar kapital dan dana. Seperti mereka
pernah keluar berbondong bondong (capital flights) dahulu, tidak ada sebab
megapa fenomena itu tidak boleh berulang seandainya kita sendiri
mengulangi kepincangan pengurusan ekonomi negara dengan amalan sumbang
kronisme, nepotisme dan rasuah khususnya dalam mentadbir khazanah negara
seperti syarikat gergasi korporat negara umpama Petronas. Pengurusan
korporat (corporate management) semua entreprise kerajaan bahkan juga
semua dana dana negara samada dalam KWSP, Tabung Haji, SOCSO dan
sebagainya mestilah lebih telus supaya tidak disalahgunakan oleh mana-mana
pihak termasuk pihak kerajaan untuk menyelamatkan mana-mana syarikat yang
sedang tenat yang mempunyai hubungan rapat dengan ahli pimpinan parti
pemerintah.
Begitu juga sayugia dingatkan dalam
urusan penyatuan perbankan (bank merger) prinsip yang sama perlu
diperhatikan dan dilaksanakan supaya matlamat penyatuan benar benar
tercapai bukan sekadar alasan dan hujjah untuk memenuhi agenda politik dan
kepentingan bisnes orang orang tertentu. Kelemahan pengurusan institusi
perbankan dan kewangan di negara ini adalah terlalu masyhur dengan
contohnya BBMB, sebuah bank gergasi yang akhirnya memerlukan 3 kali
suntukan dalam tiga tahun dengan jumlah RM 4.7 bilion. Begitu juga
keadaannya institusi perbankan yang lain seperti Sime Bank, RHB Bank,
AMMB, MBF Finance dsbnya. Maka pergabungan institusi perbankan dan
kewangan untuk menjadikan kita lebih besar dan berdaya-saing mestilah
benar-benar mengikut metodologi yang wajar dan berhemat dan bukan
sebaliknya memenuhi agenda politik pihak tertentu. Pendirian dan ketetapan
mengenai perkara ini telah kami dalam pimpinan BA sarankan dan terbitkan
sedikit masa lalu dengan pendekatan “Multi-Tier Banking System” di mana
berbagai saiz bank diizinkan untuk terus wujud tetapi saling sokong
menyokong satu sama lain ( complement one another). Memang diakui bahawa
ada bank kecil yang lebih berkesan dari sudut pengurusan dan perniagaan
mereka.
Perlu diwujudkan jawatankuasa parlimen
untuk memantau pengurusan dana negara ini dalam melahirkan ketelusan,
‘good governance’ dan pengurusan ‘best practise’ yang hingga hari ini
hanya tinggal slogan dan retorik ahli akademik pengurusan dan orang
politik semata-mata.
GOLONGAN YANG TERUS
TERPINGGIR DALAM ARUS PEMBANGUNAN
Tun Yang DiPertua, saya ingin mengajak
Dewan yang mulia ini untuk benar-benar memerhatikan golongan yang agak
terpinggir dalam arus pembangunan negara kerana kemiskinan. Saya sedar
bahawa kemiskinan juga membawa erti dan derjat yang berbeza-beza samada
kemiskinan (poverty), kemiskinan mutlak (absolute poverty) dan
ketermiskinan (hard-core poverty).
Oleh itu saya syorkan bahawa untuk menentukan
pendapatan garis kemisikinan bagi setiap golongan ini juga tidak boleh
boleh digunakan garis yang sama sepertimana rumitnya juga perbezaan
diantara kemiskinan yang terdapat di luar bandar dan kemiskinan di bandar
dan mengikut sektor ekonomi dan pekerjaan. Pastinya garis ini perlu
mengambil kira perbezaan di Semenanjung yang berbeza dari Sabah dan
Sarawak dari segi indeks harga pengguna, komposisi perbelanjaan, dan
sebagainya.
Tun Yang diPertua, adalah tidak wajar
bagi sebuah negara yang mempunyai wawasan untuk menjadi negara maju,
tetapi pada waktu yang sama, maseh mempunyai penduduk dalam paras
ketermiskinan dan kemiskinan mutlak. Adalah lebih mengaibkan lagi bagi
sesebuah negeri yang mempunyai royalti sebanyak RM500 juta setahun akan
tetapi tersenarai sebagai negeri ketiga paling ramai penduduk yang dalam
paras kemiskinan. Sementara kita mengiktiraf usaha kerajaan untuk membasmi
kemiskinan sejak dari Dasar Ekonomi Baru sehingga tempuh Dasar Pembangunan
Nasional, Dewan ini ingin merakamkan kepentingan untuk menegaskan
keperluan untuk benar benar mempastikan keberkesanan setiap program yang
dilancarkan supaya memenuhi matlamat program seperti program PPRT, AIM,
Yayasan Basmi Kemiskinan dsbnya. Usaha sama dengan badan badan bukan
kerajaan (NGOs), pihak swasta dan korporat hendaklah di perbaikki dan
dipergiatkan. Targets untuk membasmi kemiskinan mutlak dan ketermiskinan
mestilah dirancang dalam masa terdekat dan mengurangkan kadar kemiskinan
di bawah 5% menjelang tahun 2002.
Disamping projek projek seperti PPRT
yang berfungsi sebagai ‘penggenap pendapatan’, pendekatan ‘mengajar mereka
menjala ikan’ berbanding dengan ‘membekal mereka ikan yang dijala’ adalah
perlu diberi penekanan. Satu perkara yang penting untuk mereka berdikari
adalah untuk menaikkan semula ‘self-esteem’ atau jatidiri ketua
keluarga dengan mengangkat erti sebuah keluargaan dengan pertama
memungkinkan mereka memilikki sebuah rumah yang menasabah dari sudut kos
dan jumlah bilik.
Ini hanya akan mampu mereka milikki ketika pihak kerajaan (Pusat
atau Negeri) mempunyai ‘political will’ untuk melaksanakan projek
perumahan rakyat teramai dengan skema pinjaman yang cukup mesra rakyat dan
secara 0% faedah dan dengan harga yang menasabah. Seperti kerajaan boleh
mengadakan dana berbilion ringgit (dana harta dan dana modal) untuk
menyelamatkan syarikat yang naza dahulu dalam era kegawatan, maka kerajaan
juga seharusnya cukup mampu untuk membuat komitmen perumahan untuk rakyat
teramai, mengatasi masalah golongan setinggan dan kakitangan kerajaan am
rendah yang maseh tidak memilikki rumah. Peruntukkan dana beberapa bilion
ringgit dan pelan tindakan yang komited adalah perlu untuk menyelesaikan
perumahan rakyat dalam masa 5 tahun.
Rakyat teramai dan golongan miskin dan
termiskin ini juga akan mendapat akses kepada infrastruktur yang lebih
menasabah sementara anak anak mereka juga mendapat pembelaan yang lebih
dari sekolah yang mereka punyai akses berbanding dulu. Bukan sekadar di
peringkat rendah dan menengah bahkan pendidikan di peringkat pengajian
tinggi juga perlu diberi perhatian agar benar benar mereka mampu
mengeluarkan keluarga mereka dari terjumlah dalam angka statistik golongan
termiskin. Sekaligus pendidikan anak anak mereka akan lebih terjamin
serentak membawa mereka keluar dari belenggu keciciran dan sindrom
kejahilan maklumat dan pengetahuan. Kadar kemiskinan di kalangan orang
asli juga masih tinggi sebagai contohnya suku kaum Penan yang tidak
menikmati langsung faedah pembangunan. Ini memerlukan satu perancangan
jangka panjang yang menyeluruh dan integrated perlu disusun untuk
mengeluarkan mereka dari cengkaman kemiskinan.
Tun Yang diPertua, adalah diharapkan
bahawa pendekatan rawatan atau curative ini yang akan merupakan bentuk
penyelesaian ‘integrated’ adalah dirasakan lebih wajar, serious dan
konsisten dengan retorik kita untuk mebasmi kemiskinan di negara
ini.
Kalau kita
gagal membuat komitmen sedemikian maka benarlah dakwaan sesetengah pihak
yang menyebutkan bahawa golongan rakyat termiskin dan teramai ini sengaja
dikekalkan kewujudannya supaya mereka tetap akan memandang kepada parti
pemerintah untuk mendapatkan subsidi dan imbuhan. Mungkin syarat yang
tersirat adalah terus menerus berikan sokongan dan bersyukur kepada
kerajaan yang membela atau ‘membela’ mereka
PENANGKAPAN BARU
TIDAK MENUNJUKKAN SIKAP LAPANG DADA BN.
Tun Yang DiPertua, saya ingin
menyebutkan bahawa seolah-olah kerajaan UMNO/BN tidak peka langsung
kepentingan untuk mewujudkan suasana harmoni dan perpaduan, maka kita
saksikan baru baru ini pengulangan sikap autokratik dan represif kerajaan
sebaik sahaja selepas pilihanraya dengan penangkapan dan pendakwaan 5
orang termasuk Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Encik Karpal Singh,
Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Hajjah Marina Yusuf, Ketua Pemuda
Parti Keadilan Nasional, Encik Ezam Mohd. Nor, Ketua Pengarang Harakah, En
Zulkifli Sulong dan pencetak Harakah Encik Cheah Lim Thye. Seharusnya
sesuai dengan slogan perpaduan dan dalam usaha mengembalikan keharmonian,
maka cara kekerasan adalah tidak wajar samasekali untuk digunakan bagi
memupuk keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan pihak keselamatan kalaupun
memang ada peruntukan akta lain disamping ISA untuk mendakwa mereka
seperti Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Akta Rahsia Rasmi. Tekanan yang
dibuat ke atas akhbar Harakah mutakhir ini contohnya, adalah sangat tidak
demokratik dan menyanggahi kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan
yang berbeza. Apapun dari sudut kelemahan yang terbit dari cara penjualan
dan sebagainya, masih boleh diatasi dengan wajar tanpa tindakan
pengharaman akhbar tersebut.
Tun Yang Di Pertua, peristiwa ini pula
diikuti dengan penangkapan 11 orang awam yang ditangkap dalam perhimpunan
aman pada 25 hb Januari yang lalu ketika berkumpul untuk memberi sokongan
kepada Encik Mohd Ezam Mohd Noor, YB Azmin Ali, Kartunis Zunar dan 4 orang
lain yang didakwa dihadapan Mahkamah Majistret. Sementara kesemua
pendakwaan ini berlaku dalam kadar pengurusan yang pantas dan lancar,
rakyat masih hairan dan tertanya-tanya akan kes-kes rasuah yang telah
mempunyai bukti kukuh (dengan izin prima facie) melibatkan para-para
menteri dan bekas Ketua Menteri. Ternyata sekali lagi amalan pendakwaan
terpilih, penghukuman terpilih dan penangkapan terpilih adalah bukti
kehilangan kewibawaan dan kebebasan pihak kehakiman yang hanya boleh
bertindak dengan kebenaran pihak eksekutif lebih tepat lagi Perdana
Menteri.
HARAPAN RAKYAT
TERHADAP KEADILAN DAN PEMBELAAN KERAJAAN BARISAN ALTERNATIF DALAM MENGISI
ASPIRASI RAKYAT.
Tun Yang di Pertua, saya merakamkan
ucapan ribuan terima kasih dan menjunjung kasih terhadap YDP Sultan
Terengganu akan peranan baginda untuk mempastikan kelancaran peralihan
pemerintahan kerajaan sesuai dengan kehendak rakyat dalam pilihanraya yang
lalu. Justeru itu, kerajaan Barisan Alternatif, pimpinan PAS di negeri
Terengganu bersama-sama dengan rakan Alternatif telah pun berusaha untuk
memperkotakan janji-janji kami dalam menifesto pilihanraya yang lalu
dengan menghapuskan cukai pintu dan tanah, menghapuskan pembayaran tol,
bekerja 5 hari seminggu serta perlaksanaan 3 bulan cuti bersalin. Kalau
pun kita sedar akan segala usaha jahat pihak media perdana untuk
memburuk-burukkan prestasi kerajaan Terengganu, namun kita tahu rakyat
menyambut baik segala usaha pembelaan rakyat dan memaafkan apa jua
kekeliruaan atau kekurangan yang terbit dari penyelewengan penyampaian
media khususnya tentang isu kharaj. Rakyat sedar akan tuntutan kerja yang
perlu digemblengkan untuk menggerakkan pembangunan negeri Terengganu yang
mesti bermula dengan usaha pembersihan sebeleum Pelan Tindakan Induk
pembangunan negeri dapat dilancarkan dengan berkesan.
Dalam pada itu, kita juga mahu
kerajaan baru ini bermula dalam keadaan meyakinkan setiap lapisan
masyarakat. Penubuhan Jawatankuasa Hisbah oleh Kerajaan Negeri Terengganu
harus dilihat secara positif dan bukan untuk mencari keaiban mana-mana
pihak. Seandainya Kerajaan Negeri mengambil langkah menyiasat sebarang
bentuk penyelewengan dalam kerajaan sebelum ini, ianya tidak boleh
dianggap sebagai langkah membalas dendam tetapi adalah untuk
menyempurnakan tugasnya kepada rakyat.
Tun Yang DiPertua, merujuk kepada
Titah YDP Agung, saya ingin untuk menyambut cadangan bahawa Fatwa Palsu
perlu dibenteras. Mungkin Menteri yangv telah membangkitkan perkara ini
kurang ,emyedari bahawa mengikut Enakmen dan Aklta Pentadbiran
Undang-Undang Isalm di Malaysia, abahawa hanya fatwa yang dikeluarkan oleh
Mufti yang telah diwartakan sahaja yang dia nggap sah sebagai Fatwa. Maka
PAS secara khususnya ingin untuk diberi keterangan akan Fatwa yang didakwa
dikeluarkan oleh pihak Parti Islam SeMalaysia, PAS. Jika ia tidak dapat
dibuktikan maka PAS meminta supaya menteri memohon maaf secara terbuka
atas dakwaan dan tuduhan yang mengelirukan dan palsu ini.
Kita juga bersetuju supaya masjid
tidak dipolitikkan dan kekal sebagai mimbar yang menganjurkan perintah
Allah SWT –Al-Amru bilMa’ruf wa Nahyu annil Mungkar. (kes khutbah Dato’
Hamid Zainal Abidin dimasjid negara). Masjid harus menjadi tempat untuk
menegur segala kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita termasuk amalan
judi, riba’, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya. Apa yang berlaku
di Masjid Negara sebelum pilihanraya yang lalu itulah contoh bagaimana
mimbar masjid dipolitikkan sehingga menimbulkan pepecahan
jamaah.
ALAF BARU MENUNTUT
GAYA KEPEMIMPINAN BARU YANG DEMOKRATIK, ADIL DAN TELUS.
Tun Yang Di Pertua, adalah mustahak
untuk saya tegaskan di Dewan yang mulai ini, bahawa dalam mengharungi alaf
baru ini yang tentunya akan membawa banyak perubahan dan realiti baru
dalam kehidupan, adalah mustahak untuk kita seterusnya mempunyai daya
saing yang tinggi dan ciri kepemimpinan yang berprinsip tetapi tetap
kontemporari.
Tun Yang Di Pertua, bagi pihak Barisan
Alternatif dan pembangkang secara keseluruhan, kami akan terus memainkan
peranan untuk mengembalikan amalan demokrsai berparlimen secara sihat
dengan memainkan peranan “penyemak dan pengimbang” (dengan izin check and
balance) samada dalam parlimen ataupun di luar parlimen. Adalah menjadi
harapan rakyat untuk menyaksikan polisi dan dasar dasar yang dikemukakan
dan diluluskan oleh pihak kerajaan (eksekutif dan kabinet) menepati
kehendak dan hasrat rakyat untuk pembangunan negara dipandu dengan lebih
bijak dan baik. Perubahan polisi secara mendadak dan ad-hoc adalah tidak
menepati samasekali ciri pengurusan yang baik (good governance) dan
berwawasan terutama dalam perkara yang mempunyai impak dan natijah yang
agak jangka jauh.
Menteri Pendidikan dalam amanatnya
baru baru ini yang menyentuh tentang dasar pendidikan negara telah
mendedahkan keperluan melakukan ‘overhaul’ terhadap dasar yang telah
menguasai bidang pendidikan generasi muda kita selama ini. Kita tersentak
kerana selama ini anak-anak kita seolah-olah berada dalam sistem yang
sedang mengalami ujian makmal, yang belum tahu samada memberikan kesan
baik ataupun tidak.
Dari satu sudut, pendedahan Menteri
Pendidikan baru itu memang bertempat, kerana kita sendiri sedang
menyaksikan kelahiran generasi anak-muda yang keluar dari sistem
pendidikan ini yang nipis pegangan agama, jahil berbahasa Al Quran, rendah
moral dan akhlak, leka dengan budaya hedonisme serta gagal menguasai
bidang-bidang professional yang mereka ikuti. Kami meminta pendekatan
rasional yang berasaskan kepada kajian ilmu dan bukti (knowledge and
evidence-based) dalam mana-mana pembikinan dasar pada masa akan datang.
Janganlah sampai kita ditertawakan kerana sentiasa merangka sesuatu yang
baru setiap kali bertukar menteri.
Perubahan polisi bahasa baku misalnya
yang bermula di Jabatan Perdana Menteri baru baru ini telah mengheret
Kementerian Penerangan yang akhirnya meninggalkan kesan kejutan negatif
kepada isu bahasa Kementerian Pendidikan yang telah membelanjakan berjuta
ringgit untuk perlaksanaan pemakaiannya lebih 10 tahun yang lalu. Lebih
buruk lagi apabila kita mengetahui bahawa pihak-pihak yang sememangnya
telah diamanahkan untuk menjaga perkembangan Bahasa iaitu Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) sendiri dan tokoh-tokoh bahasa yang lain tidak dirujuk
sebelum membuat keputusan sebegini. Apakah ini antara sebab yang
membuatkan ahli-ahli professional dalam negara kita ini beralih kepada
Parti Alternatif apabila mereka mula menyedari sumbangan mereka tidak di
iktiraf dan dihargai. Saya tidak mengatakan bahawa mereka ini akan
menentang sebarang cadangan kerajaan tetapi adalah lebih manis dan
diplomatik jika para Menteri ini menundukkan sedikit kepala mereka kepada
rakyat dan memberikan peluang untuk mereka memberi sumbangan
positif.
Tun Yang diPertua. Masih dalam isu
Bahasa Baku. Kita lupa bahawa hasrat untuk membakukan Bahasa Malaysia
adalah sebahagian ikhtiar untuk menyatukan umat dalam gugusan kepulauan
Melayu Nusantara serta mengeratkan hubungan dalam berbagai bidang melalui
pendidikan dan pertukaran maklumat. Hasrat yang tersirat ini amat baik
dalam konteks hubungan ASEAN dan dunia umat Melayu. Apakah rakan kita di
Indonesia tidak terguris apabila kita seolah-olah mahu menjarakkan diri
daripada mereka dalam isu yang ada kaitan dengan budaya dan bahasa orang
seberang? Fikirkanlah.
Kajian ilmu dan bukti (knowledge
and evidence-based) yang sama juga perlu digunakan dalam semua aspek
pembangunan negara terutama yang menyinggung pembangunan dasar dan alam
sekitar, industri sumber asli yang tidak boleh diganti
–‘not-replenishable’ seperti minyak dan gas, dan emas dan timah seperti
juga polisi yang berhemat dan berjangka jauh perlu diperhatikan dalam
membangunkan projek projek mega-mewah yang akan pastinya meninggalkan
berbagai kesan dan impak kepada ekonomi dan alam sekitar. Hasrat untuk
menjaga satu kepentingan awam tidak membolehkan kita membuat keputusan
yang menjejaskan kepentingan awam yang lain. Pembinaan projek
hidroelektrik Bakun, yang alhamdulillah telah dihentikan, merupakan satu
contoh yang harus menyedarkan kita. Kemusnahan alam sekitar serta
pemindahan manusia yang akan menimbulkan kesan psikologi yang mendalam
hampir berlaku jika tidak disekat tempohari oleh usaha yang tidak kenal
jemu oleh pencinta alam dan rakyat yang masih waras. Kini minat kita
beralih kepada satu projek yang lebih kecil tetapi mempunyai impak yang
sama iaitu pembinaan empangan Sungai Selangor. Alternatif seperti
pengurangan pembaziran penggunaan air, menghentikan kehilangan air dalam
sistem sedia ada melalui pembaikpulihan sistem, menambah loji pembersihan
serta perancangan pembangunan yang sistematik boleh menolak
keperluan menenggelamkan sebahagian lembah Sungai Selangor.
Tun Yang Di Pertua, perjuangan untuk
mengembalikan kewibawaan amalan demokrasi yang selama ini telah terhakis
adalah prasyarat untuk negara melonjak ke tahap pembudayaan negara-bangsa
yang lebih cemerlang dan sejahtera di masa-masa akan datang. Izinkan kami
memainkan peranan ini dengan tidak ada gangguan dan kekangan samada
berbentuk undang-undang mahupun tekanan psiko-sosial dari peranan media
perdana yang perlukan reformasi dalam masa yang terdekat
ini.
Harapan semua ahli parlimen alternatif
dan pembangkang adalah untuk memperbetulkan penyelewangan dalam apajua
bidang dan bentuk yang telah berlaku samada perundangan, kehakiman,
politik, ekonomi, pengurusan ekonomi dan pembangunan, penswastaan,
pendidikan dan sosio-budaya masyarakat dan negara.
Tun Yang diPertua, saya mohon
menyokong.
Yang Berhormat Dato’ Fadzil
Mohd. Noor
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia