Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Peluang Ku Li tamat zaman gurkha

BESUT, 22 Feb (Hrkh) - Kalangan pemerhati politik menyifatkan Perhimpunan Agung Umno Mei ini adalah pentas terbaik bagi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk menamatkan kedudukannya sebagai gurkha dalam parti tersebut.

Ahli Parlimen Besut, Encik Hassan Mohamed, berkata ramai pihak berpendapat bahawa Ku Li patut sedar kedudukan sebenar beliau dalam persada politik tanah air dan menyahut cabaran untuk bertanding jawatan tertinggi Umno pada perhimpunan akan datang.

"Saya sendiri tercari-cari sebab dan alasan mengapa Ku Li menang dalam pilihan raya umum lalu sedangkan ramai calon lain di Kelantan yang berjawatan menteri (Menteri Pembangunan Usahawan, Dato' Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato' Annuar Musa) kalah kepada calon Barisan Alternatif).

"Kini, barulah saya sedar hikmah di sebalik kemenangan Ku Li itu ialah bagi membolehkan beliau diberi peluang untuk bertanding pada perhimpunan agung Umno tidak lama lagi," katanya kepada Harakah.

Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan itu pernah membuat kenyataan kononnya beliau lebih suka berada di dalam Umno sebagai gurkha selepas diterima semula menjadi ahli parti itu apabila Parti Semangat 46 dibubarkan.

Ku Li disebut-sebut akan bertanding sama ada jawatan Presiden atau Timbalan Presiden Umno pada perhimpunan parti tersebut Mei depan.

Bagaimanapun, Khamis lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa Ku Li tidak berhasrat untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada perhimpunan itu.

Hassan berkata, pemerhati politik tidak akan menerima kenyataan Ku Li berhubung perkara itu kerana ia disifatkan sebagai strategi bekas pemimpin parti tersebut.

"Saya berpendapat Ku Li akan bertanding jawatan tertinggi Umno kerana beliau mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian dan mendapat sokongan.

"Pertandingan beliau dengan Dr Mahathir (Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad) adalah pusingan akhir antara kedua-dua tokoh itu yang mahu disaksikan oleh pelbagai pihak," tambahnya.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com