www.malaysiakini.com
‘Ein Azmi
9pm, KHA: Skim insurans kesihatan anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dibantah oleh beberapa pertubuhan seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Inisiatif Kesihatan Warga Malaysia (CHI). Skim yang akan bermula Jun depan itu membenarkan pencarum KWSP membayar setiap tahun yuran jagaan kesihatan mereka. Bagaimanapun, MMA membantah skim komersial KWSP-LIAM itu dan sebaliknya mencadangkan skim pembiayaan kesihatan peringkat kebangsaan yang tidak berasaskan keuntungan. Sementara CHI pula bimbang sebarang skim yang berorientasikan keuntungan akan mendiskriminasikan golongan tua dan berisiko tinggi.
"Skim yang tidak bertujuan mencari keuntungan akan menggalakkan perpaduan dan keadilan sosial," kata Presiden MMA Dr P. Krishnan dalam satu laporan akhbar hari ini. MMA mencadangkan satu kaedah yang dinamakan "sistem insurans kesihatan berasaskan masyarakat" (community-rated health insurance).
Skim anjuran KWSP-LIAM membenarkan pencarum tabungan simpanan pekerja itu memilih bayaran premium paling rendah untuk 13 jenis penyakit kritikal - seperti pemindahan organ, pembedahan pintasan koronari, barah, koma, ketumbuhan otak, dan meningitis - hingga premium paling tinggi untuk 36 jenis penyakit.
Premium itu berjumlah dari RM30 setiap tahun (RM10,000 dibayar selepas pemeriksaan bagi umur 35 tahun dan ke bawah) hingga RM20,034 setahun (RM100,000 dibayar selepas pemeriksaan bagi kumpulan umur 65-70 tahun) dikenakan mengikut tahap umur seseorang pencarum KWSP. Pencarum wanita diberikan potongan 30 peratus bagi penyakit-penykit itu kerana ia jarang menyerang jantina itu. Seramai lima juta pencarum tabung itu layak mengambil skim tersebut.
Bagaimanapun, MMA mencadangkan satu kaedah insurans yang menggunakan asas "jumlah kos jagaan kesihatan sepatutnya dibahagikan dengan jumlah penduduk negara ini dan diberikan subsidi oleh kerajaan." Bagi setiap pekerja, menurut cadangan MMA, majikan dan pekerja terbabit sama-sama menyumbang untuk kos perubatan. Bagi kakitangan awam, orang di bawah tanggungan dan mereka yang tidak mampu sepatutnya dibiayai oleh kerajaan. Sementara mereka yang bekerja sendiri harus menanggung kos perubatan mereka sendiri.
Skim insurans yang berasaskan keuntungan selalunya mengenakan bayaran yang semakin tinggi apabila usia seseorang pencarum itu meningkat tua. MMA mencadangkan premium insuran itu sepatutnya sama bagi semua orang tanpa mengira usia, jantina atau status kesihatan.
Penyelaras CHI, Dr Chan Chee Khoon pula melahirkan rasa kesal tabungan KWSP, sebagai jaminan sosial pekerja di negara ini, "digunakan sebagai Kuda Trojan untuk menginstitusikan risiko kesihatan seseorang sebagai asas membeza-bezakan bayaran premium kepada golongan tua dan berisiko tinggi."
"CHI menggesa [kerajaan] mengharamkan insurans berasaskan keuntungan dalam bidang jagaan kesihatan, atau sekurang-kurangnya peraturan yang ketat mestilah dikenakan, dalam pembayaran premium dan melarang perbezaan berdasarkan risiko kesihatan," katanya dalam satu kenyataan pada 20 Januari lalu sebagai mengulas skim KWSP-LIAM.
Setiausaha Politik Ketua Pembangkang, Dr Mohd Hatta Mohd Ramli pula berkata skim KWSP-LIAM itu adalah satu usaha ke arah penswastaan khidmat kesihatan di negara ini.
"Khidmat kesihatan perlu diberikan percuma kepada rakyat,"jelas Hatta kepada malaysiakini hari ini apabila dikemukakan isu skim kesihatan itu. Beliau berpendapat kerajaan mempunyai peruntukan bagi membiayai khidmat kesihatan percuma kepada seluruh rakyat, terutama golongan yang tidak berkemampuan.
Menurut beliau lagi, jagaan kesihatan adalah tanggungjawab negara yang tidak boleh diabaikan. Hatta turut membidas kualiti khidmat kesihatan di sesetengah pusat perubatan yang masih tidak ada perubahan walaupun telah diswastakan.
Kerajaan sering menggunakan alasan bahawa beban yang ditanggungnya dalam khidmat kesihatan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Dalam satu kertas kerja bertajuk ‘The Future of Health Services in Malaysia’ (Masa Depan Khidmat Kesihatan di Malaysia), Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri berkata, "kajian-kajian [sejak pertengahan 1980-an] menunjukkan jagaan kesihatan semakin meningkat berasaskan keperluan dan peningkatan teknologi."
Beliau juga menyebutkan kerajaan terpaksa meningkatkan 58 peratus perbelanjaan kesihatan antara tahun 1986 hingga 1996 tetapi kualiti jagaan kesihatan sektor awam tidak meningkat kerana kekurangan tenaga pakar. Sektor swasta, menurutnya lagi, menggunakan 55 peratus tenaga pakar kesihatan di negara ini pada tahun 1995.
Bagaimanapun, ‘kelentong’ kerajaan ini dibantah oleh Dr Chan dari CHI. "Kajian menunjukkan perbelanjaan kesihatan kerajaan Malaysia [berbanding jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar] pada 1980-an lebih rendah daripada kebanyakan negara Asia yang dianggap miskin seperti India, Papua New Guinea," katanya dalam satu kertas kerja bertajuk ‘Privatisation and the Health Care Sector’ (Penswastaan dan Sektor Jagaan Kesihatan).
Menurut kajian Bank Dunia pada 1993, kata Dr Chan lagi, perbelanjaan jagaan kesihatan dari pihak kerajaan Malaysia semakin menurun, daripada 3.35 peratus KDNK pada 1980 kepada 2.30 peratus pada 1995. Sedangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan satu piawaian sejumlah 5 peratus daripada KDNK mestilah untuk perbelanjaan kesihatan.
Oleh itu, CHI dalam manifestonya kepada pengundi dalam pilihanraya umum November lalu mencadangkan empat langkah: menghentikan semua usaha ke arah pengkorporatan dan penswastaan jagaan kesihatan; meningkatkan gaji kakitangan jagaan kesihatan dalam sektor awam; menubuhkan Suruhanjaya Siasatan ke arah reformasi menyeluruh dalam isu ini; dan mewujudkan Majlis Kesihatan Kebangsaan untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam penggubalan dasar-dasar kesihatan umum.