Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

NOSTALGIA MENGIMBAU RASA – MAKA TESERLAH LAH KONSPIRASI MEGA

SELEPAS Subuh tadi, saya melayari Laman-lamanWeb Reformasi yang acapkali telah dikemaskini oleh sdr-sdr. Webmaster yang berusaha.

Gambar Mengimbau Nostalgia

Tidak disangka-sangka di Laman Tranung Kite Cyberlink, saya melihat satu paparan tajuk rencana sederhana panjang berbunyi “DOA IKAN-IKAN SE LAUTAN” oleh seorang netter yang menggelarkan diri “Pelapor Tua”.

Selain dari kandungan rencana yang mencuit hati itu, apa yang amat menarik kepada saya ialah paparan gambar Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad yang menyerikan rencana tersebut.

Gambar beliau itu menunjukkan seorang dalam keadaan “helpless”, bagai seorang yang sedang terkapai-kapai – mengimbau meminta ditolongi; seolah-olah beliau sedang tenggelam dihanyut arus deras. Matanya merah dengan tititan air bening dengan 1000 harapan semoga ada insan yang mahu menolongnya.

Memang gambar itu satu nostalgia mencemaskan. Lantas ia membawa kita kembali mengingati peristiwa kebeberapa tahun silam bagaimana Dr. Mahathir Mohammad tersedak-sebak berlinang airmata sewaktu berucap di auditorum besar di Perhimpunan Agung UMNO di PWTC.

Betapa kesal dan sedih tidak terhingga beliau dengan gejala “Politik Wang” yang sedang mencengkam UMNO pada waktu itu. Beliau sedih dengan gejala perpecahan UMNO akan membawa “perpecahan” kepada kedaulatan orang Melayu. Dan beberapa saranan lain yang akhir beliau tersebak…menangis!!

Dewan yang dihadiri lebih dari 2,000 Perwakilan senyap sepi. Yang kedengaran hanya desikan hidung beberapa orang perwakilan WANITA UMNO yang sedang teresak-esak!! Satu suasana sayu menyelurubungi Dewan.

Sebuah Drama

Kita yang menonton melalui TV di rumah-rumah melihat peristiwa itu sebagai satu “Drama Minggu Ini” yang penuh dengan adegan sensasi. Tapi, drama kali itu memaparkan seorang pucuk pimpinan sebuah parti politik sedang menceritakan apa akan jadi kepada negara, bangsa dan ugama jika “wang” dijadikan simbol keberdayaan merangkul kuasa dalam berpolitk.

Tepat!! Memang tepat lagi jitu. Apa yang Dr. Mahathir perjelaskan adalah benar. Sebagai seorang rakyat, kita merasa saranan beliau mengenai keburukan kesan “Politik Wang”, memang benar!!

“Wang” adalah daki dunia yang telah menyiksa banyak orang sejak zaman berzaman. Kerakusan terhadap wang menghancurkan kesejateraan, andainya ia disertakan dengan nafsu yang tidak terbendung. Kebendaan yang tidak disertakan dengan niat “kerana Allah” pasti akan berkesudahan dengan kemusnahan keluarga, masyarakat dan negara.

Tetapi, malangnya Dr. Mahathir Mohammad tidak pula berkhutbah di “mimbar” podium di pentas Perhimpunan itu mengenai kebusukan “FITNAH” dan gejala “aib-mengaib” melalui “KONSPIRASI”…!!

Apa yang menyebabkan UMNO hebat bergolak sekarang adalah gabungan faktor “Politik Wang” dan “Fitnah” yang sedang melanda parti itu. Gabungan kedua-dua punca maksiat ini sudah melimpah keluar UMNO, menular merosak-punahkan budaya hidup orang Melayu dan orang Islam di negara ini.

“Jangan” Yang Bukan Jangan

Mungkin Dr. Mahathir mengingatkan para Perwakilan partinya supaya JANGAN melakukan maksiat itu. Memang wajar seorang ‘bapa’ mengingatkan anak-anaknya. Kalau tidak bapa siapa lagi. Alhamdulillahhh, syukur nikmat!!

Tetapi, setelah beberapa tahun menjelang, terlihat bagai layar direntang bahawa sesungguhnya Dr. Mahathir adalah bagai “bapak ketam menyuruh anaknya berjalan lurus..!!”.

Kini, kita sebagai orang Melayu, sebagai orang Islam, sebagai warga negara berbangsa…telah melihat dengan hati yang penuh sugul bagaimana Dr. Mahathir sendiri berkonpirasi sesama sekongkolnya menggunakan “Wang dan Fitnah” untuk menjatuhkan seorang serikandi rakyat yang gigih bersusah payah menegakkan kewibawaan bangsa dan ketelusan pedoman.

Insan kerdil berjiwa besar inilah pula yang telah dianiaya melalui fitnah dan seksaan zahir batin, dimalu dan aibkan, dicerca-hina, dihukum-dizalimi tanpa lunas-lunas yang adil-saksama – oleh Dr. Mahathir sendiri. Kini merengkoklah beliau dipenjarakan oleh sepasang tangan!! Tangan itu adalah tangan Dr. Mahathir Mohammad sendiri!!

Ya, tangan Datuk Seri Dr. Mahathir sendiri – Presiden parti UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia yang serba BOLEH!!

Makin perbicaraan Kes DS Anwar dilanjutkan, makin bercuangan jari-jari menuding menghala ke muka Dr. Mahathir sebagai pengatur agenda Konspirasi Politik menjatuh dan mengaibkan Anwar. Ramai yang nampak bahawa Anwar adalah mangsa Konspirasi jahat yang berniat tersembunyi.

Walaupun Kerajaan menafikan tidak terlibat, tetapi UMNO tidak mampu menafikannya. MKT UMNO tersepit. DAN Mahathir adalah Presiden UMNO yang mengendalikan MKT dalam perbicaraan di makkamah MKT ala “kangaroo” pada 3 September 1998 itu.

Soalan Terjawab

Bertanya kita sekarang: “Airmata apakah yang dihamburkan oleh Dr. Mahathir di Perhimpunan dulu?”.

Soalan itu sudah mulai terjawab dalam Pilihanraya ke-10 yang lalu. Orang Melayu yang memegang Islam sebagai aqidah rohani mereka sudah pun mulai menjawabnya. Kita lihat rakyat Kelantan dan Terengganu mengangkat pena dan menconteng “garisan penamat” kekuasaan UMNO/BN di negeri itu. Rakyat di Kedah, Perlis dan Pahang telah beransur-ansur insaf dan melakukan gerak yang sama. Kita lihat Selangor dan Perak juga telah menunjukkan wadah dan keinginan yang sama. UMNO/BN sudah terpuruk!!

Sebenarnya, Dr. Mahathir sendirilah yang menconteng arang ke muka sendiri. Terbukti, beliaulah orang yang sebenarnya berkiblatkan “Politik Wang dan Fitnah”. Maka amalan terkutuk itu bagai “keris menikam diri sendiri”. Apakah satu alasan lain yang ada kepadanya dalam daya membela diri di Perhimpunan bulan Mei nanti, tidak ada siapa yang tahu!

Tetapi, ramai yang menduga bahawa kelicikan beliau sebagai “tukang karut” yang pintar mengalih pandangan rakyat, makin nampak bahawa beliau telah berusaha berhempas-pula meningkatkan lagi gejala “Politik wang dan Fitnah” – bukan saja terhadap lawannya dalam parti sendiri, tetapi juga telah menghalakan 1001 tuduhan yang jelek-jelek terhadap parti lawan.

Beliau tidak sedar bahawa beliau sedang mencabar dua entiti yang sedia berdepan dengan beliau. Yang satu adalah elemen dari dalam Parti sendiri, dan yang kedua ialah parti lawan yang terdiri dari umat-umat yang INSAF dan REDHA..!! Kedua-dua pihak itulah yang sedang mencabar kewibawaannya – bagai musuh “dua penjuru”!!

Kemudi Di tangan Rakyat

Mungkin Dr. Mahathir lupa bahawa dalam politik, kemudi menentukan kepimpinan adalah di tangan rakyat. Kebenaran pula adalah di tangan Allah swt. Gabungan kedua-dua faktor ini telah mulai memperlihatkan betapa keangkuhan manusia semudah itu luntur dan punah-ranah semata-mata mereka yang bergelar “pemimpin” melupakan kedua-dua ‘kuasa’ itu.

Namrud dan Firaun adalah dua makhluk yang direjam Allah dengan azab seksa. Kuasa dan hartanya tidak berlanjutan bermanfaat ke anak-cucu. Karun juga tidak diketahui dimana kuburnya.

Hitler membunuh diri dan dibakar rakyat bangkainya. Caucescue dan isterinya terdampar dipinggir tembok dengan urutan peluru menebusi rongga-rongga di tubuh yang tinggal kaku. Shah Iran, Marcos dan Mobutu mati dalam buangan. Kini Soeharto menjalani zaman tua penuh pedih, sedih dan kecewa hampa….!!

Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.Jika rakyat sudah membenci, tidak ada jalan yang terbuka melainkan turun takhta. Jika enggan, anda akan dipaksa turun. Paksaan bukan suatu sejarah yang diingin oleh sebarang pemimpin yang berwibawa. Kerana, yang akan ditulis dalam sejarah bukan lagi beliau sebagai seorang ‘statesmen’. Mereka akan dilukis dengan wajah-wajah seorang pengkhianat bangsa, negara dan ugama.

Kemudi di tangan rakyat. Sepintar-pintar manusia, ramai lagi yang lebih pintar. Jika rakyat sudah sefahaman, sebagai nasib Louise ke-16 dan Marie Antoinette – mereka yang bermewah-mewah di Mahligai kencana akhirnya menyerahkan kepala dicelah himpitan mata kapak jilid!!

Mungkin garis penamat karier politik Mahathir sudah makin hampir. Jika lidah yang petah sudah kelu, suara yang lantang sudah serak, otak yang pintar sudah beku… orang sudah tidak memandang diri sebagai jagoan; maka pada waktu itu, “airmata buaya” tidak berguna lagi. Tiada ringgit dapat menebus dosa. Tiada rakan yang akan mendampingi diri.

Mungkin “DOA IKAN-IKAN SE LAUTAN” itu cuma pengindah bahasa, tetapi doa umat yang dihina amat didengari Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Kerana itu adalah janji Allah swt.; lambat-laun pasti ia akan tersahut jua. Maka akan terciptalah sebuah sejarah. Sejarah bangsa mengembalikan KEMERDEKAAN RAKYAT!!

Mungkin masanya sudah terlalu hampir!!

Arbaini Haji Mohd. Hatta
Taman Sentosa, Dungun.
Terengganu.

12 Februari, 2000.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com