Mengikut Nafsu Iblis
Demikian juga pertiswa 'mata lebam' yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengakuan Rahim Nor sendiri yang terang-tertang memukul beliau. Hingga hari ini Rahim bebas dan tidak dikenakan sebarang apa jua tindakan. Padahal, seorang bebal secara tiba-tiba menempeleng seorang lain pasti akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
Kes Sukma dihukum 6 bulan penjara atas tuduhan yang termaklum menimbulkan persoalan undang-undang apabila Azizan yang dituduh atas petuduhan yang sama masih bebas.
Ummi Halfidah yang terang-terang membuat tuduhan palsu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan setelah pihak pendakwa tidak berjaya membuktikan kebenaran kes berasaskan tohmahan 'wanita mithali' kesayangan Mahathir itu; wanita ini tidak dikenakan sebarang tuduhan dibawah 'slander' atau 'fitnah'. Wanita ini bebas bercakap dimana-mana dan kepada siapa jua.
Mana-mana rakyat yang meneliti prosiding kes perbicaraan Datuk Seri Anwar pasti dapat melihat bagaimana Hakim Paul Augustine bukan saja selaku Hakim malah lebih bersikap seorang Pendakwaraya. Ini menyebabkan peguambela Datuk Seri Anwar merasa tidak ada ruang untuk mengemukan bukti-bukti dan saksi-saksi untuk mendapat pembelaan yang adil dan saksama.
Sebaliknya, sekarang Regim Mahathir melalui kuncu-kuncu talibarut terdiri dari pemimpin UMNO telah menderetkan peguam-peguam mereka untuk menyaman barang siapa yang mentohmah dan memfitnah Dr. Mahathir, UMNO, dan Kerajaan. Ini menunjukkan bahawa Mahathir adalah juga UMNO, dan Kerajaan. Beliau adalah 'Kebal'. Peguam Negara sendiri telah menakut-nakut dan meng'intimidasi' rakyat seolah-olah beliau juga adalah 'kebal'.
Ini menjelaskan bagaimana sebuah Regim Diktator beroperasi. Segala-gala keputusan "Mesti" dirujuk kepada si "Diktator" itu. Samada keputusan itu berlandaskan undang-undang yang saksama atau sebaliknya, itu bukan jadi masalah. Yang penting ialah, "arahan" dan "keputusan" Diktator itu mesti "sah dipelakukan". Jika tidak, pegawai yang pertanggungjawabkan akan menerima padah.
Siapa Yang Kebal Sekarang?
Rakyat yang prihatin kini sudah dapat merumuskan dengan mudah bahawa sebenarnya kekebalan raja-raja sudah dipindahmilik oleh Mahathir "kepada dirinya dan untuk dirinya". Proses pemindahan itu dilaksanakan dengan cara yang paling halus atas perancangan Dr. Mahathir dan kuncu-kluncu 'think-tank'nya yang sekongkol.
Kini, melalui proses undang "cacamarba" dan perbicaraan yang memihak dan dipilih-pilih, maka barang siapa yang cuba menjejaskan kepentingan Dr. Mahathir dan dituduh oleh "Dr. Mahathir, UMNO, dan Kerajaan" pasti akan menerima hukuman mengikut selera Mahathir sendiri.
Ini menjelaskan bahawa Malaysia sekarang adalah dibawa pemerentahan sebuah REGIM yang mentadbir secara DIKTATOR, yang mempunyai status seorang PRESIDEN (melampaui kuasa raja Berperlembagaan). Dengan perkataan lain tanpa disedari umum, bagi Regim Diktator Mahathir, Malaysia adalah sebuah Republik dan Dr. Mahathir adalah Presidennya.
Soalnya, adakah ini struktur Demokrasi yang diperjuangkan oleh datok-nenek kita yang mengasaskan UMNO sewaktu membantah Malayan Union dulu? Apakah tepat untuk mengkaitkan "UMNO Mahathir" dengan "UMNO warisan datok-nenek kita"?
Sekarang cuba tanya diri anda: Apakah Krisis Perlembagaan yang dicetuskan oleh Dr. Mahathir (kununnya untuk memberi rakyat kuasa) tetapi sebaliknya rakyat yang melaungkan demonstrasi dibelasah oleh FRU atas arahan Mahathir. Kemudian, mereka diheret ke mahkamah dan didenda beribu-ribu ringgit. Adakah itu selaras dengan konsep demokrasi? lnikah yang dikatakan demokrasi amalan Regim ini?
Perjuangan Sebenar Rakyat
Hari ini Mahathir dan seluruh pemimpin UMNO/BN telah mencari lunas-lunas bagi menakut-nakutkan rakyat dengan membangkitkan sentimen perkauman yang dangkal dan menjijikkan. Isu "Malaysian Malaysia" telah ditafsirkan mengikut selera Mahathir dan digunakan untuk meniupkan sentimen perkauman dan keugamaan.
Adalah amat tragik sekali jika seorang pemimpin mengambil sikap kunu yang sudah lapok-usang lagi tidak bertamaddun dengan menggembar-gemburkan sentimen perkauman dan menakut-nakutkan rakyat melalui isu perkauman dangkal, membalikkan jarum jam kebelakang - semata-mata kerana gagal mencari ikhtiar politik kerana telah bankrup idea dan kehabisan modal politik.
Kegagalan Regim Mahathir makin ketara apabila semua kuncu-kuncu kabinet Regim ini tidak dapat mencari modal yang lebih meyakinkan selain dari mengulang-ulang 'kokok-kokok sumbang' walaupun rakyat tidak langsung mempedulikannya. Sebaliknya, rakyat makin sedar bahawa Regim ini sudah kehabisan modal.
Semua ini adalah sebahagian dari konspirasi dan pakatan terancang Regim ini yang bermaksud memecahkan keteguhan ikatan gagasan perpaduan Pembangkang yang padu dan kian mengancam kesukutauan UMNO, MCA, MIC dan GERAKAN yang kian rapuh. Namun rakyat tidak dapat berganjak dari keinginan "Menegakkan KEADILAN dan menumbangkan KEZALIMAN" Regim Mahathir. Isu yang dibangkitkan oleh Regim Mahathir itu sebenarnya adalah berstatus "Non Issue' semata-mata. Suatu taktikan murahan!!
Apa yang lebih afdhal bagi rakyat ialah, setakat ini Regim Mahathir "tidak mampu" mempamerkan "KEADILAN", mengikis Rasuah dikalangan Pemimpin dan Menteri-menteri UMNO/BN (termasuk keluarga dan kroni Mahathir sendiri).
Mahathir gagal malah tidak mahu langsung mengheret mereka kemuka pengadilan dan menghukum mereka. Beberapa kes yang terang tidak diketengahkan dan jika ada yang diketengahkan akan berakhir dengan 'bebas dan tidak bersalah'.
Rakyat nampak jelas: berpuluh-puluh pemimpin UMNO/BN, menteri-menteri dan kakitangan kerajaan yang rasuah dan menyelewengkan harta rakyat hingga kaya raya (melibatkan suku-sakat Mahathir sendiri). Malangnya perkara itu didiamkan saja.
Soalnya, Demokrasi apakah dibawah Regim Mahathir jika tuntutan rakyat dikesampingkan dan suara rakyat ditindas hingga rakyat menumpahkan darah dibelasah oleh 'soladu upahan' pilihan Regim ini? Inikah keadilan 'Demokrasi' Mahathir dan Regimnya?
Jawapan bagi kesemua soalan itu makin menjelaskan bahawa Dr. Mahathir melalui UMNO/BN sudah terkeluar dari garis dan arus Demokrasi dunia bertamaddun. Jika dibiarkan Regim ini mentadbir negara, rakyat akan hidup berbudayakan konsep pemerentahan 'Diktator Feudalisma', saban hari hidup dengan rasa takut, tidak bebas bersuara menuntut hak, tidak terlindung oleh undang-undang yang saksama.
Sementara itu, pemimpin Regim ini akan berbuat sesuka hati merancang bagi mengaut harta rakyat semahu hati dan mengenyangkan tembolok suku-sakat dan kroni mereka.
DASAR EKONOMI "BARUA"
Pada hematnya, mereka itu jugalah orang-orang yang akan mempersetankan Dasar Ekonomi Baru. Pada mulanya dasar itu diharap untuk mengangkat taraf kehidupan dan ekonomi orang Melayu, memastikan supaya orang Melayu tidak akan terus meminta-minta (subsidi) seumpama rakyat dibawah penjajahan sebelum negara ini dimerdekakan.
Malangnya, selama 18 tahun Dr. Mahathir mengetuai Kerajaan, secara halus Mahathir berjaya menukar konsep dan pelaksanaan 'Dasar Ekonomi Baru' menjadi "DASAR EKONOMI BARUA". Hanya segelintir "Barua-Barua' Mahathir (terdiri dari anak-anaknya, suku-sakat dan kroninya saja) yang dapat menikmati kekayaan negara. Dalam keadaan tersepit, sekali lagi rakyat dipaksa menebus kerugian 'barua-barua' itu melalui simpanan tetap rakyat (EPF, Tabung Haji, dll).
Cuba tanya diri anda, "Siapakah sebenarnya yang menjadi penjajah sekarang?". Tak lain dan tak bukan ialah bangsa kita sendiri. Mereka adalah petualang dan 'barua-barua' politik Mahathir yang belindung dibalik tabir UMNO/BN (yang kununnya) sebagai parti yang mewarisi perjuangan menagih Kemerdekaan yang (kununnya) penentang MALAYAN UNION.
Sesungguhnya itu hanyalah suatu 'truism' dan 'methos' belaka hasil ciptaan Dr. Mahathir, pemimpin UMNO yang sekongkol dan UMNO 'Baru' yang dicorak dan ukir halus oleh Mahathir untuk kepentingan dirinya sendiri, anak-anak dan suku-sakat serta kroninya (barua-barua)!!
Pencarian Klon
Memanglah sulit bagi Dr. Mahathir untuk mencari seorang 'clone' untuk menjadi pengganti beliau. Ini semata-mata bersebab dari kecurigaan Mahathir bahawa tidak ada seorang pun diantara pemimpin UMNO yang ada, sanggup memikul 'biawak hidup' keluarga dan kroni Mahathir.
Kerana itu Mahathir mengharapkan Daim Zainuddin yang sama rakus sebagai calun paling sesuai untuk menggantikan beliau. Bersama Daim, Mahathir sedang memperhebatkan promosi usul supaya salah seorang anak kandungnya mendapat tempat utama dalam UMNO/BN dan Kerajaan. Ini yang menyebabkan Mahathir sentiasa berdalih seribu cara apabila soal 'pengganti'nya dikemukakan!!
Keadaan yang tidak menentu kini menyebabkan Mahathir sungguh-sungguh "takut mati"! Oleh itu, Mahathir terpaksa merangka sebuah 'Dinasti' kepimpinan terdiri dari anak-anaknya. Mungkin Mahathir akan "terbersin" dari liang lahad apabila harta kekayaan anak-anaknya habis dikikis oleh Daim Zainuddin sendiri (sebelum rakyat merampas dan memulangkan kepada khazanah rakyat).
Kuasa Rakyat
Berfikirlah anda sekarang. Bagi mengatasi ketandusan politik dan kewibawaan orang Melayu, demi kepentingan masa depan anak-cucu; rakyat perlu keluar dari kepompong UMNO bikinan Mahathir yang sudah taksub kuasa dan tamak harta (untuk kepentingan kekayaan suku-sakatnya). Dalam waktu yang sama, rakyat akan dibebankan dengan hutang beratus bilion oleh Regim ini yang hanya mampu dibayar tiga generasi rakyat kemudian.
Sesungguhnya, kuasa merobah ditangan rakyat. Jika rakyat gagal bersepadu, maka rakyat jugalah yang akan menerima padah. Akan ramai lagi jaguh-jaguh pejuang rakyat akan berbondong-bodong dihumbankan kedalam penjara senasib dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Adakah orang Melayu insaf keserikan hidup dibawah pentadbiran "Penjajah"? Eloklah berfikir sebelum menentukan pilihan.
(Datuk) Anti Penjajah Baru