Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Presiden PAS hadapi select committee

KUALA LUMPUR : Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor kemungkinan akan dihadap ke Jawatankuasa Terpilih Parlimen (select committee) kerana enggan menarik balik tafsiran beliau terhadap kata-kata Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dalam temu bual beliau dengan majalah MASSA pada 14 Julai 1992:

"Apabila hukuman merejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan," sebagai menghina Islam.

Ketegasan dan keengganan beliau menarik balik ucapannya menyebabkan kes beliau kemungkinan akan dibawa kepada Jawatankuasa Terpilih selepas Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tetap meminta Ustaz Fadzil menarik balik kenyataan itu.

Select committee adalah satu jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Dewan Rakyat untuk membuat kajian terhadap disiplin dan status ahlinya.

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Zahir Ismail dan dianggotai oleh beberapa anggota lain termasuk Ketua Pembangkang, Ustaz Fadzil dan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dikatakan jika Ustaz Fadzil tetap dengan pendiriannya kerana menjaga maruah Islam ia boleh digantung sebagai Ahli Parlimen sehingga enam bulan.

Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nashzarudin Mat Isa ketika ditemui di Parlimen selepas itu dan diminta mengulas kejadian tersebut memberitahu PAS akan tetap mempertahankan maruah Islam dan perkara yang menghina Islam tidak boleh dianggap mudah walaupun Ahli Parlimen BN nampak lebih mempertahankan Perdana Menteri daripada nama baik dan kesucian Islam.

Ustaz Fadzil yang juga Ketua Pembangkang berkata: "Ini (ucapan) sangat memalukan umat Islam, kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja. Ini kenyataan yang menghina hukum Islam, bukan menghina PAS," ujarnya ketika membahaskan Ucapan Baginda Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat, Rabu lalu.

Beliau berkata demikian menjawab tuduhan Ahli Parlimen Parit Sulong, Ruhanie Ahmad dan Ahli Parlimen Rompin, Dato' Dr Jamaluddin Jarjis yang mendakwa PAS mempermainkan ayat-ayat al-Quran.

Jamaluddin juga berkata kepada Ustaz Fadzil, sebagai orang Melayu, Islam, tolong bezakan agama dan politik.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Dato' Mahadzir Mohd Khir kemudiannya bangun berkata dalam konteks mana ia dikatakan menghina Islam.

"Apakah itu sebagai pandangan ataupun beliau (Mahathir) telah berulang kali mengatakan menghina perkara itu," soalnya yang meminta Ustaz Fadzil menarik balik tuduhan itu.

Beliau, Jamaluddin, Ruhanie dan Ahli Parlimen Batang Lupar, Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudiannya menggunakan peraturan mesyuarat 36(6) mengarahkan Ustaz Fadzil menarik balik, sebaliknya Ustaz Fadzil bertegas dengan pendiriannya.

Haji Muhamad Sabu (PAS-Kuala Kedah) bangun menyelesaikan suasana tegang yang gagal diselesaikan Timbalan Yang Dipertuan Dewan, Dato' Lim Si Cheng, supaya pihak Dewan merujuk perkara tersebut kepada Jawatankuasa Terpilih.

"Biar select committee buat keputusan kalau Ketua Pembangkang kena minta maaf dan kena tarik balik. Sebab ini hal agama dan Timbalan Yang Dipertua pula semasa ini orang bukan Islam. Ini masalah yang cukup besar.

"Jadi, saya minta Ketua Pembangkang jangan tarik balik kerana itu kenyataan Perdana Menteri, bahkan dia ucap di Papar, Sabah: "Kalau laksana Hudud di Kelantan orang Melayu tidak akan maju sebab tidak ada kaki dan tidak ada tangan, orang Cina akan maju."

"Ucapan itu keluar dalam Utusan Malaysia semasa kami belum boikot dahulu kami baca. Jadi ini masalah agama, lebih baik rujuk kepada select committee untuk menentukan Ketua Pembangkang," katanya yang kemudiannya dipersetujui Lim Si Cheng.

Dalam pada itu, Jamaluddin masih mengharapkan Ustaz Fadzil menarik balik ucapannya semasa menyambung perbahasan selepas waktu rehat tengah hari. Bagaimanapun Ustaz Fadzil yang juga Ahli Parlimen Pendang tetap dengan pendiriannya.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com