Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Umno punca perpecahan : Nik Aziz

SETIU, 22 Feb (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata pelbagai masalah yang dihadapi umat Islam di negara ini, termasuk perpecahan disebabkan fahaman politik yang berbeza, dapat diselesaikan jika pemimpin Umno sanggup menerima al-Quran dan Hadis sebagai sumber rujukan.

Beliau berkata, pemimpin Umno dan PAS perlu mengadakan muzakarah dan menjadikan al-Quran dan al Hadis sebagai rujukan mereka bagi menentukan kebenaran, bagi kepentingan umat Islam.

"Sejak dulu lagi kita (pemimpin PAS) menganjurkan supaya muzakarah diadakan bagi menyelesaikan pelbagai masalah dan rasa tidak puas hati antara kedua-dua pihak.

"Dan dalam muzakarah itu kita perlulah merujuk kepada al Quran dan al Hadis yang menjadi sumber rujukan umat Islam," katanya.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata pemimpin PAS mahu muzakarah diadakan supaya mereka dapat mengetahui bahagian ajaran agama mereka yang dikatakan menyeleweng daripada akidah Islam.

Beliau berkata, tindakan sesetengah pemimpin Umno melemparkan tuduhan kononnya pemimpin PAS menyeleweng daripada Islam adalah tidak wajar kerana ia tidak bersandarkan kepada bukti yang kukuh.

Selain itu, katanya, Terengganu yang kini sudah berada di bawah pentadbiran PAS dan Parti Alternatif akan menjadi rujukan kepada negeri lain kerana lebih banyak program berasaskan Islam dilaksanakan.

"Sebelum ini Kelantan menjadi rujukan negeri lain kerana banyak program yang berpandukan ajaran Islam dan tidak bercanggah dengan syariah dilaksanakan selepas PAS memerintah Kelantan," katanya.

Beliau turut meminta rakyat supaya bersabar dan memberi masa kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan pelbagai program seperti yang terkandung dalam manifesto pilihan raya.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com