Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

PEMUDA PAS BANTAH MONOPOLI TABUNG HAJI

KUALA LUMPUR, 22 Feb - Dewan Pemuda PAS Pusat membantah tindakan Tabung Haji yang didakwanya memonopoli semua urusan haji bagi umat Islam di negara ini dengan peraturan ketat termasuk menghalang mereka menunaikan haji melalui agensi lain.

Ketuanya Mahfuz Omar berkata tindakan memperkenalkan pasport hijau Tabung Haji telah memulakan monopoli yang menyekat hak rakyat untuk membuat pilihan dalam urusan ibadat haji.

Katanya Tabung Haji sebaliknya menghalang rakyat yang memiliki pasport merah Jabatan Imigresen dan telah memperolehi visa haji daripada Kerajaan Arab Saudi daripada menunaikan ibadat haji.

"Kerajaan sepatutnya membenarkan mana-mana umat Islam di negara ini menunaikan haji secara sah walaupun tidak melalui Tabung Haji jika mereka telah memperolehi visa haji daripada Kerajaan Arab Saudi," katanya dalam memorandum yang diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdul Hamid Othman di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mahfuz berkata kerajaan wajar membenarkan syarikat lain mengendalikan urusan haji dengan menetapkan beberapa syarat tertentu dan bukannya menghalang mereka daripada memberikan khidmat kepada umat Islam.

PAS juga tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan menghantar pegawai Jabatan Imigresen ke Arab Saudi untuk memastikan tidak ada rakyat Malaysia menggunakan pasport merah untuk urusan haji.

Beliau berkata, tindakan itu bukan sahaja menyulitkan jemaah dan meningkatkan kos haji tetapi turut menjejaskan kewibawaan kerajaan Arab Saudi.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com