Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

PAS sedia perintah negeri lain : Haji Abd Hadi

KUALA TERENGGANU, 15 Feb (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berkata PAS bersedia untuk memerintah negeri lain yang masih dikuasai Barisan Nasional (BN) di Semenanjung jika diberi peluang untuk berbuat demikian.

Hadi berkata, pihaknya akan membuktikan perkara ini dengan melaksanakan pemerintahan yang adil dan saksama bagi semua kaum di Terengganu, selepas mereka diberi mandat untuk memerintah negeri ini pada pilihan raya umum yang lalu.

"Kini menjadi tanggungjawab kerajaan PAS untuk membantu rakyat Terengganu, khususnya golongan miskin, memperolehi semua keperluan mereka tanpa mengira kaum," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, berkata kerajaan pimpinannya akan memberi keutamaan kepada rakyat miskin di negeri tersebut dalam melaksanakan apa jua projek pembangunan.

Bagaimanapun, katanya, di segi tanggungjawab kepada parti pemimpin PAS di negeri ini bergerak secara kolektif dan mengambil kira kepentingan dasar perjuangan parti itu tanpa mengira semangat kenegerian.

"Kami bergerak berdasarkan manifesto PAS dan Perlembagaan parti bagi memastikan matlamat perjuangan kita menegakkan sebuah negara Islam dapat dicapai," katanya.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan sesetengah pihak bahawa PAS hanya memperjuangkan kepentingan kaum atau golongan tertentu sahaja, adalah gimik politik semata-mata.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com