KUALA TERENGGANU, 1 Feb - Petronas memberi jaminan untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan Terengganu yang kini di bawah kepimpinan PAS.
Pengurus Besar Wilayah Pantai Timur Petronas Abdul Jalil Hassan berkata sebagai sebuah syarikat, Petronas ditadbir secara profesional dan akan terus memberikan sumbangan kepada pembangunan di negeri itu.
"Kita memerlukan antara satu sama lain untuk kepentingan negara, malah kerajaan PAS sendiri telah memberi jaminan untuk mewujudkan kerjasama dengan agensi kerajaan persekutuan di negeri ini," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan aidilfitri anjuran syarikat itu di sini hari ini.
Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang dan beberapa Anggota Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.
Mengenai peruntukan syarikat itu terhadap program-program anjuran kerajaan negeri pula, Abdul Jalil berkata sebagai sebuah syarikat profesional, peruntukan dan sumbangan yang diberikan oleh Petronas kepada kerajaan PAS sekarang tidak berubah seperti yang diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) lepas.
"Tidak ada sebab untuk disekat (peruntukan) dan ia untuk kebajikan tetapi mungkin cara penyaluran berbeza sedikit memandangkan ada program-program yang diubah sedikit," katanya.
Ketika ditanya mengenai kebakaran kecil di kilang penapisan Petronas pada 16 Jan lepas, Abdul Jalil berkata siasatan berhubung kejadian itu telah selesai.
Bagaimanapun, katanya, beliau belum melihat laporan mengenainya.
Katanya pemeriksaan terhadap semua kilang milik Petronas yang beroperasi di negeri itu sentiasa dijalankan untuk memastikan kadar keselamatan sentiasa berada di tahap yang baik.
"Setiap tahun kita buat pemeriksaan dan sekiranya terdapat peralatan yang perlu ditukar, kita tukar dan keselamatan sentiasa dipertingkatkan," katanya.
Dalam kejadian 8.10 malam itu, kebakaran dilaporkan berlaku di kilang Petronas Penapisan (Terengganu) Sdn Bhd di Kertih, yang melibatkan unit penapisannya yang memproses bahan bakar.
Bagaimanapun kebakaran dapat dikawal pada pukul 8.30 malam oleh Unit Bomba Petronas.