KUALA TERENGGANU, 7 Feb - Kerajaan PAS Terengganu tidak berhasrat menambahkan ekuitinya dalam Perwaja Steel Sdn. Bhd di Teluk Kalong, Kemaman bagi menyelamatkan syarikat itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan PerindustrianNegeri, Mustaffa Ali berkata, sebaliknya Kerajaan Negeri akan menyerahkan tanggungjawab itu kepada Kerajaan Pusat bagi membina semula Perwaja yang telah mengalami banyak kerugian.
"Pusat (kerajaan) mesti bina semula Perwaja kerana itu tanggungjawab mereka dan kita akan ikut saja," katanya pada majlis dialog ahli profesional bersama exco kanan Kerajaan Negeri di sini, malam tadi.
Tiga lagi exco kanan yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar Wan Abdul Mutalib Embong, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah, Harun Taib dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi negeri, Yahaya Ali.
Mustaffa berkata ekuiti sebanyak 19 peratus dalam Perwaja sekarang sudah memadai dan Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk menyuntik modal baru ke dalam Perwaja selepas ini.
Perwaja Steel dilapor menanggung kerugian terkumpul berjumlah RM2.9 bilion didakwa kerana penyelewengan dalam syarikat itu dan kes itu masih dalam siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR).