KUALA TERENGGANU : Kerajaan Terengganu akan cuba sedaya upaya bagi memberikan kemudahan rawatan percuma kepada rakyat.
Menteri Besar, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, usaha ini adalah selaras dengan janji dalam manifesto pilihan raya umum lalu.
Dalam manifesto PAS pilihan raya umum lalu di bawah program umum dinyatakan bahawa PAS akan membina dan mengurus pusat-pusat rawatan selaras dengan tuntutan Islam dan rawatan percuma kepada golongan miskin dan menaikkan taraf kesihatan rakyat jika memerintah negeri ini.
Sehubungan itu, jelas Menteri Besar, rawatan percuma itu diberikan kepada mereka yang layak menerimanya.
"Masa penjajah dahulu boleh buat, kenapa selepas merdeka tak boleh buat," katanya pada persidangan media selepas menyampaikan hamper hari raya kepada para pesakit di Hospital Kuala Terengganu di sini, Khamis lalu.
Ditanya mengenai hospital di bawah kerajaan Pusat, beliau berkata: "Di sana ada bidang kuasa kerajaan negeri, ada Exco yang berkaitan."
Beliau menegaskan, kerajaan negeri akan berusaha sedaya mungkin bagi memenuhi hasrat itu kepada rakyat.
"Kerajaan akan pastikan sedaya upaya yang dapat untuk memberikan rawatan percuma kepada rakyat," ujarnya.
Ketika ditanya berhubung cuti hari Sabtu minggu ketiga yang akan dilaksanakan oleh kerajaan Pusat, beliau berkata, kerajaan negeri telah mendahului dengan cuti dua hari seminggu.