KUALA LUMPUR, 16 Feb - Pendakwaan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini membantah tindakan pembelaan untuk memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai saksi.
Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail berkata beliau membuat bantahan itu berdasarkan persoalan kebolehterimaan keterangan Dr Mahathir dalam perbicaraan itu, mengikut Seksyen 136 Akta Keterangan 1950.
Hakim Datuk Arifin Jaka berkata beliau akan mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak berhubung perkara itu esok sebelum memutuskan sama ada Perdana Menteri harus dipanggil sebagai saksi.
Anwar, 52, dan Sukma, 39, kini membela diri terhadap tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar, 39, di pangsapuri Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bukit Bandaraya Bangsar di sini, pukul 7.45 malam, antara Januari dan Mac 1993.
Sukma, ahli perniagaan juga menghadapi tuduhan bersubahat dengan Anwar meliwat Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail pada masa dan tempat yang sama.
Sukma telah memohon mahkamah mengeluarkan sapina terhadap Perdana Menteri pada Oktober lepas untuk menjadi saksi pembelaannya bagi kes liwat itu.
Terdahulu, peguam Sukma, Gobind Singh Deo, memberitahu mahkamah bahawa pembelaan mahu Dr Mahathir memberi keterangan tengah hari esok selepas saksi mereka, DSP Zull Aznam Harun, selesai memberikan keterangan.
Gobind Deo berkata beliau telah memaklumkan kepada Abdul Gani supaya memberitahu Dr Mahathir mengenai perlunya kehadiran beliau di mahkamah esok. dan Abdul Gani menjelaskan bahawa beliau telah menyampaikan permintaan itu ke pejabat Perdana Menteri dan ia telah diterima oleh pegawai di sana.
Pada peringkat ini, Abdul Gani menyatakan bantahan beliau berhubung perkara itu.
Peguam utama Anwar Christopher Fernando berkata Dr Mahathir telah disapina dalam kapasiti peribadinya dan beliau perlu hadir di mahkamah.
Apabila Gobind meminta pendakwaan memberi jaminan mengenai kehadiran Perdana Menteri esok, Abdul Gani memberi jaminan bahawa Dr Mahathir akan datang pada sesi tengah hari esok.
Gobind berkata pembelaan tidak mahu meminta mahkamah mengeluarkan waran tangkap itu.
Mengenai bilangan saksi yang akan dipanggil pembelaan, Fernando berkata mereka mungkin memanggil empat lagi saksi selain Dr Mahathir.
Pada perbicaraan sebelum ini, Fernando telah memberitahu mahkamah bahawa pembelaan akan memanggil semula Azizan.
Apabila Arifin mencadangkan pembelaan memanggil Azizan dahulu sebelum Dr Mahathir, Fernando berkata pembelaan akan memilih mengikut urutan dan mereka akan memanggil Azizan pada masa yang sesuai.