Kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Chor Chee Heung di Parlimen 16 Februari lalu, (rujuk Berita Harian, 17 Feb. muka 5) yang mendakwa kerajaan tidak pernah menyekat kebebasan bersuara dan menyuarakan pendapat boleh dipertikai dengan mudah sekali dan dari satu sudut agak melucukan.
Bukti yang dikemukakannya, bahawa KDN memberikan 1,851 jenis penerbitan yang merangkumi majalah dan akhbar tempatan, sebagai tanda kerajaan mengamalkan kebebasan bersuara juga boleh dipersoalkan. Kita minta timbalan menteri berkenaan mengklasifikasikan segala majalah atau akhbar yang dibenarkan itu. Berapa majalah majalah hiburan yang hanya memaparkan budaya hedonisme, yang melalaikan pembaca dengan budaya bertaraf murahan, dan berapa banyak pula majalah atau akhbar yang diberikan laluan untuk menyuarakan pandangan kedua, yang tentunya berbeza dengan suara pemerintah. Yang pasti, jumlah majalah yang merasakan diri mereka bebas, tidak akan melebihi lima majalah, dan jangan lupa untuk bertanyakan mereka, apakah selama beroperasi mereka tidak pernah diganggu-gugat oleh KDN?
Kita juga menggesa pihak KDN menyenaraikan berapa banyak majalah atau akhbar yang telah ditarik balik Permit Penerbitannya, dan apakah kesalahan yang dilakukan mereka? KDN juga harus memberikan alasan munasabah ke atas penolakan terhadap majalah atau akhbar yang baru dipohon kerana selama ini penolakan itu tidak diberikan sebarang hujah. Yang jelas, ketelusan dan akauntabiliti hanya mainan kata.
Dari segi akhbar, selain Harakah -- yang bertaraf lidah rasmi parti dan tidak dibenarkan untuk dijual kepada bukan ahli PAS -- cuba KDN senaraikan tajuk-tajuk akhbar lain yang merasa bebas untuk mengkritik pemerintah? Akhbar mingguan, Eksklusif, terpaksa merombak semula isi kandungannya selepas ditegur oleh KDN, khususnya bagi mengimbangi berita yang condong kepada Barisan Alternatif dengan berita-berita Umno. Berita-berita tentang Umno terpaksa dimuatkan juga walaupun pemiliknya tahu pembaca mereka muak dengan berita-berita basi itu.
Pengurusan majalah Tamadun juga dalam dilema kerana bimbang permit mereka yang tamat pada April ini tidak perbaharui ekoran peringatan yang telah diberikan agar mengurangkan rencana yang memihak pembangkang. Soalnya, apa kena mengena pembangkang atau pemerintah, walhal laporan yang dibuat tidak pula mengandungi fitnah dan pembohongan. Mengapa pula tidak dihebohkan kandungan akhbar-akhbar utama (yang diterbitkan secara harian, bukan bulanan seperti Tamadun dan DETIK) yang lebih berpengaruh, yang menyiarkan berita-berita bohong dan putarbelit tentang parti-parti Alternatif.
Cukup mengkagumkan sekali, pegawai-pegawai KDN mempunyai banyak masa untuk mengira, mengukur dan menyukat secara terperinci kandungan berita ataupun analisis rencana dalam Eksklusif dan juga DETIK. Dalam surat KDN bertarikh 23 Oktober 1999, Tengku Mahmood Ismail merumuskan: “Rencana-rencana yang berunsur politik secara keseluruhannya disiarkan (dalam DETIK) sebanyak 90%, yang rata-rata rencana ini lebih difokuskan kepada politik pihak pembangkang, rencana mengenai ekonomi sebanyak 3%, rencana mengenai sosial sebanyak 3%, rencana mengenai pendidikan sebanyak 1% dan selebihnya meliputi penyiaran iklan-iklan.” Surat yang mesejnya sama juga dihantar kepada Eksklusif.
Kita mencabar KDN supaya bersikap lebih telus dan jangan cuba menegakkan benang basah. Umum maklum benar dengan amalan kebebasan akhbar di negara ini. Lihatlah nasib yang menimpa DETIK, majalah dua kali sebulan yang cuba menyalurkan pandangan yang tidak stereotaip sepertimana akhbar-akhbar harian yang ada. DETIK digantung tidak bertali. Kelulusan yang telahpun diberikan oleh KDN pada 9 Disember 1999 ditarik balik hanya dengan arahan lisan tanpa sebarang alasan. Prosedur yang dibuat mereka sendiri dilanggar dengan mudah demi kepentingan pemimpin atasan yang sentiasa takut dikejar bayang-bayang.
Jumlah hampir dua ribu jenis penerbitan yang diluluskan KDN tidak langsung menyumbangkan kepada pengertian sebenar amalan demokrasi dan prinsip kebebasan bersuara negara ini jika hampir 99.99% daripadanya tidak dapat mengamalkan prinsip kebebasan akhbar yang sebenarnya. Pemilik akhbar atau majalah berkenaan sentiasa dihambat budaya takut jika Permit Penerbitan mereka ditarik bila-bila masa oleh KDN jika menyinggung hati elit pemerintah.
Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi tidak boleh berlepas tangan dalam isu sepenting ini. Beliau harus bertanggungjawab dengan sikap rigid dan keras, serta double-standard KDN dalam memantau majalah serta akhbar di negara ini. Majalah hiburan separa lucah dibiarkan bebas dan subur membiak. Rupanya KDN di bawah pentadbiran Dollah lebih zalim berbanding di waktu Mahathir dahulu. Slogan mesra-rakyat adalah slogan munafik yang harus dikuburkan terlebih dahulu, sebelum Umno sendiri dikuburkan dalam pilihan raya akan datang.
Peminat DETIK,
Kuala Lumpur.