Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

PAS MENANG UMNO TEWAS

KECEMERLANGAN, kejayaan dan keunggulan sebenar-benarnya perjuangan sesebuah organisasi atau sesuatu projek itu biasanya terletak pada beberapa faktor. Ada faktor yang tersurat dan ada faktor yang tersirat.

Antara faktor yang menonjol dan ketara ialah pertama kesahihan dan keunggulan wawasan atau objektif perjuangan, kedua kemudahan atau prasarana yang paling minima digunakan dan ketiga ialah kejayaan yang luar biasa.

Menyingkap sejarah perjuangan Muhammad Rasulullah s.a.w. ternyata faktor-faktor utama ini begitu menyerlah sekali. Cita-cita atau tujuan utama Rasulullah s.a.w begitu jelas dan ketara sekali iaitu merealisasikan syiar dan syariat Islam kepada seluruh dunia dan alam ini. Dan objektif itu tidak pernah berubah semenjak dulu hinggalah sekarang.

Begitu juga dengan kemudahan atau prasarana yang dipergunakan oleh Rasulullah s.a.w yang serba minima dan sering pula menghadapi berbagai kekurangan dan tekanan dari berbagai pihak untuk menyekat perjuangan Rasulullah s.a.w. tapi dengan kekerdilan dan kekurangan prasarana itulah kejayaan perjuangan Rasulullah s.a.w begitu luar biasa dan lebih pula membawa makna kejayaan dan kecemerlangan yang sebenar: bukan kejayaan atau kecemerlangan yang pura-pura dan dibuat-buat.

Paling tepat ketiga-tiga faktor ini ialah bila mana kita cuba bandingkan perjuangan dan hasil perjuangan Barisan Nasional, terutama Umno, dengan perjuangan Barisan Alternatif, terutama PAS, dalam pilihan raya yang baru lalu. Dari segi objektif atau wawasan perjuangan, ternyata wawasan Umno begitu keliru dan sering berubah kerana dasar pragmatisme yang menjadi landasannya selama ini.

Kini wawasan itu sendiri telah mencemarkan hati nurani Umno sehingga pemimpin utamanya meminta agar Umno kembali ke asalnya kerana Umno sedar bahwa satu daripada sebab mengapa Umno begitu merosot dalam pilihan raya yang baru lalu ialah disebabkan keliru dan menyimpangnya objektif perjuangan Umno yang asal.

Meminta Umno kembali ke perjuangan asal memang mudah tapi bukan mudah untuk direalisasikan kerana Umno sendiri sudah tak percaya lagi kepada wawasan asalnya; malah ahli-ahli yang kaya-raya dan yang berkuasa sekarang ini takut pula untuk kembali ke wawasan asal.

Takut kalau-kalau kemudahan dan kesenangan material yang sekarang ini melimpah ruah dalam kantung Umno akan mengalir ke lain kantung.

Ternyata dilihat dari segi faktor yang pertama, Umno sebenarnya kalah dalam pilihan raya yang lalu disebabkan wawasannya yang kelabu dan keliru sehingga pemimpin-pemimpin terpaksa mengajak Umno balik ke pangkal jalan.

Lagi sekali bukan senang hendak balik ke pangkal jalan bila terlajak perjuangan kerana makna wawasan asal bukan lahiriah, bukan luaran tapi batiniah dan dalaman.

Perjuangan utama Umno yang asal ialah membela bumiputera, menegakkan Islam dan menegakkan kebudayaan Melayu. Dan ketiga-tiga objektif ini lahir dari perjuangan dalaman, perjuangan berdasarkan kesedaran dan keinsafan; berbeza dengan wawasan sekarang yang rata-rata adalah pengisian tembolok diri, tembolok para kroni dan tembolok suku sakatnya.

Oleh itu dari segi faktor utama iaitu objektif atau wawasan pokok perjuangan, Umno sudah kalah dan sudah jauh menyimpang dari landasan awal. Oleh sebab itulah majoriti pengundi Melayu tidak lagi menyokong Umno.

Yang menyokong Umno hanya pengundi-pengundi yang sudah mabuk dengan benda dan ingin bertambah kenyang saja tanpa lagi memperhitungkan nilai murni dan metodologi yang sahih.

Apa saja dilakukan untuk tujuan lahiriah itu termasuk kerelaan menghakiskan keinsanan, kerelaan berada dalam kezaliman dan sebagainya.

Aspek perjuangan yang sebenar bagi mereka sudah tak ada lagi. Dan kalau pun masih wujud objektif yang unggul itu, ianya hanya bayangan-bayangan dalam igauan semata-mata. Mereka tak boleh kembali ke asal lagi kerana diri mereka sudah lain dari yang lain.

Mereka mungkin masih Melayu dan masih bermegah dengan panggilan Melayu dari segi slogannya tapi sebenarnya jiwa mereka bukan Melayu lagi. Mereka sendiri tak tahu siapa mereka.

Dan ini tidak menyusahkan mereka kerana selama ini Umno telah membawa mereka ke landasan yang lain iaitu landasan yang hanya mementingkan harta benda, pangkat dan gelaran, kuasa politik dan hidup mereka hanya berkisar pada gaya moden yang sekali imbas nampak terpesona tapi kosong iaitu mengejar kemewahan, hilang rasa keinsanan, bermegah sama sendiri dan asyik merasakan diri sendiri itu besar, ego dan sombong sehingga tidak ada lagi rasa malu dalam hubungan dengan Allah, semasa insan, alam dan diri mereka sendiri.

Mereka tidak pernah sedarkan diri kerana para pemimpin mereka memang ingin supaya mereka tidak perlu sedarkan diri lagi. Buat apa lagi mereka perlu sedarkan diri mereka sebagai Melayu sebenar, sebagai muslim sebenar kerana perut mereka sentiasa kenyang dan segala kemudahan hidup moden mudah diperolehi.

Mereka hanya disedarkan agar selalu mencari peluang menjadi bertambah kaya, sanggup membuat fitnah dan aniaya terhadap sesiapa bangsa asalkan kuasa dan harta kekal dalam genggaman mereka. Mereka tidak pernah insaf dan tak sanggup memaafkan musuh mereka.

Contoh yang paling jelas ialah selepas Ramadan dan Aidilfitri baru-baru ini, sepatutnya Ramadan dan Aidilfitri meninggalkan bekas kepada mereka, insafkan mereka. Maafkan saja apa yang tersalah tapi ternyata mereka meneruskan juga dendam kesumat mereka sehingga melupakan hikmah dan barakah Ramadan dan Aidilfitri.

Faktor terhakisnya objektif perjuangan ini perlu disedari kembali oleh Umno dan perlu bertindak menghakiskan kepimpinan yang bertanggungjawab menghakiskan objektif asal itu, tapi ternyata tidak demikian. Mereka bukan takut tapi mereka sudah berada dalam budaya Umno yang lain dari yang asal. Dan mereka berseronok berada dalam budaya baru itu.

Oleh sebab itulah bilamana demokrasi rata-rata terancam dalam Umno, terutama dalam pemilihan pucuk kepimpinan, tak ada siapa yang sanggup bersuara untuk menjiwai kembali demokrasi itu kerana jiwa Umno yang asal sudah tak hidup lagi dan tak boleh dihidupkan lagi.

Kebelakangan ini kita terdengar suara cuba menentang arahan untuk membunuh demokrasi itu, tapi seperti biasa, bila terdengar saja suara tentangan yang sihat itu, maka terdengarlah berderainya suara-suara yang menentangnya pula. Dan suara-suara itu, anehnya, terdiri dari golongan-golongan yang sudah pun mangli dalam sistem dan budaya baru Umno yang selaras dengan tuntutan gaya hidup moden yang telah menjadi "trade mark" Umno kini.

Faktor kehakisan objektif atau wawasan perjuangan yang menjadi faktor kemorosotan Umno dalam pilihan raya yang baru lalu ini, berbeza jauh kalau dibandingkan dengan kemantapan objektif atau wawasan perjuangan BA khususnya PAS.

Dari segi kesahihan objektif perjuangan, PAS tidak pernah menyeleweng dari landasan asalnya iaitu tetap dengan objektif menuntut syair dan syariat Islamnya meskipun berbagai tekanan dan tohmahan dari Umno terhadap perjuangannya.

Baru-baru tohmahan itu iaitu Umno mengatakan bahawa PAS menganggap dirinya Agama Islam sedangkan selama ini PAS tidak pernah mengatakan PAS itu agama Islam tapi PAS hanya sebuah parti politik yang berlandaskan Islam.

Tapi demikianlah yang benar tetap benar sehingga faktor kesahihan objektif perjuangan PAS telah difahami oleh rakyat terbanyak. Rakyat memang sedar bahawa untuk mencapai objektif yang murni itu memang bukan mudah tapi demikianlah perjuangan untuk menegakkan syariat Islam di mana-mana pun.

Dan akhirnya ternyata faktor kesahihan objektif perjuangan itu akhirnya terbukti lagi kesahihannya bila mana dalam pilihan raya yang baru lalu PAS telah memperlihatkan kebenarannya dengan mengekalkan pemerintahan di Kelantan, kembali memerintah Terengganu dan juga memperlihatkan kemenangan beberapa kerusi Adun dan Dewan Rakyat dalam beberapa buah negeri.

Dan salah satu faktor kemenangan ini, antara lain, ialah kesahihan objektif perjuangan. PAS tidak pernah meminta ahlinya kembali ke objektif asal kerana PAS tidak pernah menyelewengkan objektif asal itu.

Para ahlinya sudah faham dan matang dengan objektif asal itu walaupun berbagai tekanan dari berbagai sudut dikenakan. Ini berlainan dengan Umno yang sudah terbabas dari perjuangan asal dan para pemimpinnya terpaksa mengajak para ahlinya balik ke objektif asal meskipun para ahli itu sendiri pun tak tahu lagi apa dia objektif asal itu kerana sudah bergelumang dalam kemabukan budaya hidup baru yang kononnya serba canggih, serba lazat tanpa lagi sedar bahawa tak lama lagi gaya hidup baru itu bukan saja akan terus menghakiskan objektif asal Umno tapi langsung akan menghakis Umno buat selama-lamanya.

Tanda-tandanya kehakisan itu sudah pun memperlihatkan berbagai wajahnya di mana-mana sekarang ini, terutama pada wajah-wajah kepimpinan yang sudah pun kehakisan objektif perjuangan dan kehakisan keperibadian diri sendiri.

Oleh sebab itu, berdasarkan kepada faktor kesahihan dan kemantapan objektif perjuangan ini saja pun, ternyata bahawa yang memang dalam pilihan raya yang baru lalu itu ialah PAS. Yang kalah ialah Umno kerana majoriti orang Melayu tak lagi yakin dengan objektif perjuangan Umno.

Dato Prof. Shahnon Ahmad
http://members.tripod.com/harakah/index.html



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com