Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

PROJEK JAMBATAN PASIR MAS : SIASAT IBRAHIM ALI

Badan Pencegah Rasuah (BPR) diminta menyiasat projek pembinaan jambatan ketiga Pasir Mas – Kota Bharu, Kelantan yang dianggar menelan belanja RM166 juta. Ahli-ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat patut membawa perkara ini ke Parlimen. Kenapa kita sangsi dan pertikaikan projek ‘tajaan’ Ibrahim Ali ini?

Sebelum pilihanraya ke-10 baru-baru ini, Dr. Mahathir telah meletakkan batu asas untuk projek ini sebagai kempen pembangunan BN/UMNO kepada rakyat Kelantan. Selain itu, berbagai projek pembangunan lagi telah diumumkan oleh Ibrahim Ali, Mustafa Mohamad dan Anuar Musa yang bernilai berbilion ringgit seperti Projek Wawasan Pembangunan Pasir Mas berharga RM77 juta termasuk MRSM dan projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Kelantan berharga RM1.5 bilion dan banyak lagi.

Cuma yang menarik perhatian kita ialah projek jambatan ketiga yang dijuarai oleh Ibrahim Ali. Menurut pihak JKR Kelantan, penilaian yang dibuat oleh JKR terhadap kos projek jambatan tersebut sudah termasuk keuntungan kepada pihak kontraktor/pemaju paling tinggi hanyalah sekitar RM80 juta. Namun, dengan campurtangan dan kepentingan orang-orang tertentu (termasuk Ibrahim Ali), projek jambatan 4 lorong itu dianugerahkan kepada kontraktor dengan kos pembinaan sebanyak RM166 juta iaitu dinaikkan kos lebih sekali ganda. Ini bererti keuntungan yang dikaut hasil pembinaan kemudahan infrastruktur ‘untuk rakyat’ ini dianggarkan kira-kira RM100 juta dan melebihi dari kos pembinaan sebenar.

Melihatkan kepada dendam dan amarah Ibrahim Ali apabila rakyat Kelantan menolak BN dan politik ‘pembangunannya’, kita jangka sudah tentu beliau akan ‘kensel’ semua projek yang dijanjikan dalam pilihanraya lepas. Anehnya, seperti yang diumumkan oleh Ibrahim Ali semalam (3/1/2000),projek jambatan itu tetap akan diteruskan. Kononnya menurut beliau, ini semata-mata untuk membuktikan bahawa pemimpin UMNO bukan munafik ‘seperti yang didakwa oleh PAS’ dan juga untuk membuatkan pembangkang hilang modal untuk memutarbelitkan isu. Jelas ada orang-orang yang berkepentingan yang mengharapkan komisyen dan habuan dari projek ‘multi-million’ ini. Mungkin ada yang ingin mendapatkan kembali wang berjuta-juta ringgit yang dihabiskan dalam pilihanraya lepas setelah ‘tertipu’ dengan rakyat Kelantan.

Sekiranya benar seperti yang beliau dakwa pemimpin BN/UMNO bukan dari golongan munafik dan tidak berbohong, kenapa projek-projek lain seperti yang dinyatakan di atas telah beliau batalkan termasuklah projek pembinaan jalan kampung di Parlimen Pasir Mas bernilai RM300 ribu. Katanya,”Baru dua tiga hari lepas kita terima peruntukan itu tetapi saya arahkan supaya dibatalkan”. (BH 3/1/2000).

Kenapa Ibrahim Ali yang lama mendiamkan diri selepas kalah dalam pilihanraya lepas,tiba-tiba berkokok mengenai projek jambatan RM166 juta ini?. Baru nampak kelibat Ibrahim Ali di Taman Mimi yang lama menyepi di Kuala Lumpur.

Meriam Katak Kota Kubang Labu



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com