KUALA TERENGGANU, 12 Feb - Menteri Besar, Haji Abdul Hadi Awang dan exco kanan kerajaan PAS Terengganu, Mustafa Ali akan mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini.
Hadi yang juga Timbalan Presiden PAS adalah anggota Parlimen Marang dan Mustafa, naib Presiden parti itu pula merupakan anggota Parlimen Dungun.
Mustafa yang ditemui di rumahnya hari ini berkata, beliau dan Hadi akan mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen Selasa ini di hadapan Speaker Dewan Rakyat Tun Mohamed Zahir Ismail.
Hadi dan Mustafa merupakan dua anggota Parlimen yang belum mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat semasa majlis itu diadakan pada mesyuarat pertama penggal ke-10 persidangan Dewan Rakyat 20 Dis lepas.
Mustafa berkata, mereka tidak dapat mengangkat sumpah pada masa itu kerana terpaksa menghadiri mesyuarat pertama penggal ke-10 persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu selama tiga hari yang turut membentangkan belanjawan 2000.
Hadi yang juga Persuruhjaya PAS Terengganu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang dan dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu selepas parti itu berjaya memperolehi 28 daripada 32 kerusi DUN Terengganu pada pilihan raya umum, 29 Nov lepas.
Mustafa, Setiausaha PAS negeri yang juga memenangi kerusi DUN Pengkalan Berangan pada pilihan raya itu pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia negeri.