KUALA TERENGGANU, 20 Feb - Kerajaan PAS Terengganu hari ini menafikan dakwaan yang peruntukan royalti minyak bagi tahun 2000 telah dihabiskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negeri itu sehingga pilihan raya lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia negeri Mustafa Ali berkata, dakwaan itu adalah tidak benar kerana peruntukan tahun 2000 masih belum diberikan oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri.
"Itu (peruntukan) tahun 2000, dia (BN) tak boleh sentuh, cuma peruntukan tahun `99 sepatutnya habis Disember tapi belum habis bulan (Disember) dia (BN) tak tinggal baki...," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil daripada Institut Penyelidikan Mitsubishi di pejabatnya di sini, hari ini.
Beliau berkata sepatutnya kerajaan BN perlu meninggalkan sedikit baki peruntukan bagi bulan Disember untuk kerajaan PAS menguruskan bantuan kepada mereka yang memerlukan terutama musim bermulanya persekolahan.
"Ada khabar angin mengatakan kerajaan (BN) dahulu telah ambil `pendahuluan' daripada peruntukan royalti tahun 2000, itu tidak benar...(peruntukan itu) belum bagi lagi," katanya.
PAS berjaya menawan Terengganu daripada BN selepas memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum yang diadakan November lepas.
Mengenai pelaburan pula, Mustafa berkata sehingga ini Kerajaan Negeri menerima banyak cadangan daripada syarikat-syarikat yang ingin melabur di negeri ini dan ia perlu diteliti dahulu.
Menurut Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) sejak PAS ambil alih pemerintahan Terengganu lima cadangan pelaburan telah diterima.
Mengenai tindakan beberapa syarikat multinasional di negeri ini berpindah ke Kuantan, Pahang, beliau berkata perpindahan itu bukan disebabkan oleh pertukaran kerajaan sebaliknya adalah kerana kemudahan pelabuhan yang ada di Kuantan.
"Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk meningkatkan lagi kemudahan di Pelabuhan Kemaman dan antaranya dengan pembinaan landasan keretapi dari Paka, Kemaman ke Kuantan yang sedang dijalankan oleh Petronas," katanya.
Sementara itu Mustafa berkata Kerajaan Negeri tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan tanah yang dilakukan melalui penerokaan haram selepas pilihan raya umum lepas, bagaimanapun, permohonan lama (sebelum pilihan raya) akan dipertimbangkan.
"Kita dah nasihat dan mereka faham, kerajaan akan bagi kalau mereka benar-benar tak ada tanah tapi bukanlah di tempat yang mereka diami sekarang atau mungkin di situ tetapi bukan keluasan seperti yang dipunyainya sekarang," katanya.
Ditanya mengenai rancangan pertemuan antara Menteri Besar Abdul Hadi Awang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, beliau berkata kerajaan negeri sedang mencari masa yang sesuai kerana perjumpaan itu perlu juga dihadiri oleh beberapa Menteri lain.
Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan apa yang akan dibincangkan dalam pertemuan itu nanti.