Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Berita Ringkas Tentang Terengganu

Pinjaman tanpa faedah

BESUT: Kerajaan PAS Terengganu mengulangi kesediaannya untuk menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada kakitangan kerajaan, bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan sistem riba.

Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berkata langkah itu selaras dengan manifesto PAS yang mahu menghapuskan amalan riba dalam semua bentuk kegiatan ekonomi dalam pemerintahannya.

Bagaimanapun, katanya, kakitangan kerajaan perlu bersabar kerana proses pertukaran kaedah pinjaman daripada sistem konvesional kepada sistem baru berasaskan syariah Islam, memakan masa.

"Kita akan memulakan pinjaman tanpa faedah ini bagi kenderaan serta perumahan dan kemudiannya diikuti dengan pinjaman bagi tujuan lain," katanya ketika berucap di majlis perjumpaan beliau dengan kakitangan jabatan kerajaan di Dewan Majlis Daerah Besut, Khamis lalu.

Ahli PAS bertambah

SETIU: Kejayaan PAS membentuk kerajaan negeri Terengganu selepas pilihan raya umum lalu telah menyemarakkan semangat penduduk kampung yang belum ada cawangan PAS untuk membuka cawangan baru.

Pengerusi Jawatankuasa Penaja PAS Cawangan Tasik, Sulaiman Ismail, berkata pelbagai golongan telah memberi kesanggupan mereka untuk meneruskan perjuangan parti itu dan Barisan Alternatif (BA) bagi memastikan matlamat perjuangan mereka tercapai.

"Dengan adanya lebih banyak cawangan baru seperti yang kita tubuhkan hari ini, sudah tentu parti kita dan Barisan Alternatif dapat bergerak dengan lebih lancar," katanya ketika berucap di majlis pembentukan jawatankuasa penaja cawangan itu di sini, Jumaat lalu.

Di majlis itu, Sulaiman menyerahkan 45 borang permohonan keahlian PAS kepada Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Setiu, Ustaz Abdul Ghani Muda.

Tingkat khidmat kepada masyarakat

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan Kesihatan negeri, Ustaz Abu Bakar Abdullah berharap Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) meningkatkan usahanya untuk memberi pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat tempatan, terutamanya golongan miskin.

Beliau berkata, ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menyediakan pelbagai keperluan hidup yang lebih selesa kepada rakyat dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

"Saya juga berharap semua kakitangan YPKT dapat bekerja dengan lebih gigih tanpa perlu rasa takut dan bimbang dengan pertukaran pucuk pimpinan kerajaan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas mendengar taklimat daripada Timbalan Pengarah YPK, Mohd Zainuddin A Rahim mengenai YPKT, sempena lawatannya ke pejabat yayasan itu, Selasa lalu.

Perubahan besar di alaf baru

HULU TERENGGANU: Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Encik Abdul Aziz Yaakob menaruh keyakinan yang tinggi kemampuan kerajaan baru PAS mentadbir negeri.

Katanya, kemenangan Barisan Alternatif (BA) yang diterajui oleh PAS dalam pilihan raya umum lalu merupakan kehendak rakyat.

"Saya yakin kemenangan BA di Terengganu akan membawa perubahan besar di alaf baru tahun 2000," ujarnya di Majlis Sambutan Aidilfitri dan Beramah Mesra bersama kakitangan kerajaan, di dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, empat perubahan besar yang dilakukan oleh kerajaan PAS iaitu Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Hisbah, Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Antara Kaum.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri, Ustaz Harun Taib.

Hubungan baik kerajaan, pegawai

HULU TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri, Ustaz Harun Taib mahukan kerjasama yang baik antara kerajaan dengan pegawainya.

Katanya, kerjasama dua hala yang baik perlu dijalinkan antara para pegawai dengan kerajaan negeri yang memerintah.

"Pegawai dan pemimpin negeri harus berganding bahu memikul amanah dan tanggungjawab mentadbir sebuah kerajaan," ujarnya di satu majlis sambutan Aidilfitri bersama pegawai dan kakitangan kerajaan, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, kerajaan negeri bersikap terbuka dalam soal politik yang boleh ditegur oleh semua rakyat tanpa sekatan.

Menurutnya, sebarang teguran serta kritikan tersebut hendaklah yang membina dan bukan bertujuan meruntuhkan kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS.

Umat mulia dengan Islam

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam bahawa kemuliaan mereka hanya dengan pegangan Islam yang sebenar (syumul).

Malang sekali katanya, nasib yang menimpa umat Islam di seluruh dunia hari ini kerana mereka meninggalkan ajaran dan pegangan Islam tersebut.

"Umat Islam hari ini dihinggapi penyakit cintakan dunia serta takut kepada mati," ujarnya ketika berkhutbah di Masjid Sultan Zainal Abidin, di sini Jumaat lalu.

Menurutnya, jumlah umat Islam di seluruh dunia lebih 1,000 juta tetapi menjadi hina serta dipermainkan oleh musuh-musuh Islam.

Oleh itu, katanya, kekuatan umat Islam bergantung kepada pegangan akidah yang benar melalui roh (agama) dan jasad.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com