Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

RAYUAN ZAINUR ZAKARIA DIDENGAR PADA 2 MAC INI

KUALA LUMPUR, 21 Feb - Mahkamah Rayuan akan mendengar pada 2 Mac rayuan peguam Zainur Zakaria terhadap sabit kesalahan dan hukuman yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi kerana kesalahan menghina mahkamah.

Zainur, peguambela pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dihukum penjara tiga bulan oleh Hakim Datuk S. Augustine Paul pada 30 Nov, 1998 selepas enggan memohon maaf kepada mahkamah kerana mengemukakan permohonan Anwar meminta supaya Timbalan Kanan Pendak Raya Datuk Abdul Gani Patail dan Datuk Azahar Mohamed menarik diri daripada menjalankan pendakwaan pada perbicaraan kes Anwar yang menghadapi tuduhan rasuah.

Anwar, dalam permohonannya mendakwa bahawa kedua-dua pendakwa raya itu terbabit dalam usaha untuk memalsukan bukti tentang kesalahan seksual terhadapnya.

Anwar membuat dakwaan itu berdasarkan perakuan berkanun peguam Manjeet Singh Dhillon yang menyebut tentang pertemuannya dengan Abdul Gani, serta surat Manjeet Singh kepada peguam negara yang mengadu mengenai perakuan Abdul Gani.

Hakim Augustine Paul bagaimanapun menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan juga menjejaskan kemuliaan mahkamah.

Zainur, bekas pengerusi Majlis Peguam, dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan mendengar rayuannya.

Pada 4 Dis, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Lamin Yunus membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan mengarahkan ikat jamin dilanjutkan.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com