Daripada `Abdullah bin `Amr bin al-`As (r.a.), beliau berkata Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): "Empat sifat, sesiapa yang memilikinya maka dia adalah munafiq yang sejati. Sesiapa yang memiliki salah satu daripadanya, maka dia mempunyai satu ciri munafiq, sehinggalah dia meninggalkan semuanya, iaitu: apabila diberi amanah dia mengkhianati amanah itu, apabila bercakap dia berbohong/berdusta, apabila berjanji dia mungkiri janjinya dan apabila bertelingkah dia melampau (mahukan kemenangan walau apa keadaan sekalipun)" - Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya Riyadhu al-Salihin pada bab Menunaikan Janji dan bab Pengharaman Berdusta.
Belum pun menunaikan janjinya untuk menyiarkan walau sebuah artikel saya sepenuhnya, Astora telah menamatkan majlis perdebatan (atau pada saya: muzakarah) Utusan Malaysia edisi Jumaat atas alasan ramai pembaca merungut kenapa beliau banyak memberi peluang kepada saya. Seolah-olah alasan ini hanyalah rekaan, kerana majoriti pembaca menunggu dengan penuh minat bilakah Astora akan siarkan rencana sanggahan saya sepenuhnya seperti dijanjikan. Ini berdasarkan berpuluh e-mel yang saya terima menyatakan sokongan dan mengharapkan saya meneruskan muzakarah demi kebaikan umat Islam di Malaysia khususnya. Sehingga ada pengutus e-mel yang mencadangkan agar Astora disiasat dari segi kedudukannya sejak berjaya menjadi pengampu dan pendusta agama nombor satu dalam Utusan, terutama yang berkenaan kehidupan materialnya.
Sebaliknya, walaupun Astora merayu supaya "Para pembaca cubalah jelaskan pandangan anda kepada saudara Ali Muda….. apakah anda bersetuju dengan tuduhan beliau terhadap penulis?", setakat ini hanya seorang pembaca yang menyahut seruan dan rayuan Astora tersebut, memakai nama Nasrul Hadi (hubbulwatan@hotmail.com - harap beliau tidak marah saya menyiarkan alamat ini kerana tiada larangan daripada beliau) yang belum membaca keseluruhan rencana saya dan terpengaruh dengan Astora. Saya telah memberi penjelasan kepadanya dan mencadangkan beliau melawat laman http://members.tripod.com/mindarakyat2 (Debat Cyber) terlebih dahulu (kerana di situ terpapar semua rencana sanggahan terhadap Astora) sebelum membuat keputusan kerana tidaklah adil membaca semua tulisan Astora dan sebahagian kecil daripada tulisan saya, lalu terburu-buru membuat keputusan berdasarkan pengetahuan yang amat cetek tentang muzakarah ini.
Tafsiran tersirat
Astora mendakwa saya hanya mencari tulisannya yang boleh ditafsirkan secara tersirat untuk mengkritiknya, tidak lain daripada itu.
Memang saya hanya membantah tulisannya yang boleh menyesatkan pembaca yang tiada asas agama yang kukuh. Tulisan yang tidak menyesatkan saya biarkan sahaja, tidak mengkritiknya kerana saya sendiri pun mempunyai banyak kerja lain lagi. Pembaca yang tekun akan mendapati tulisan saya adalah objektif, bukan tafsiran. Astora dan pembaca lain boleh mengkaji semula bukti-bukti yang saya kumpulkan untuk mensabitkan dakwaan Astora Pendusta Agama, apakah ia merupakan tafsiran saya sendiri atau ungkapan dan ayat asal yang lengkap dengan tarikh yang ditulis oleh Astora dalam ruang Bicara Agamanya. Dakwaan `pendusta agama' itu tidak akan ditarik balik sehingga Astora menarik balik kenyataannya yang merupakan dusta dan pembohongan terhadap para pembaca Utusan, yang saya kumpulkan dalam sirinya dan meminta maaf daripada pembaca atas pendustaan tersebut.
Astora membaca tulisan saya dengan perasaan hendak marah dan tidak bersedia untuk dikritik walaupun beliau mengkritik. Sebab itu beliau tidak nampak nasihat yang kerap kali saya ajukan kepadanya, ("Bilakah saudara menasihati penulis?…") sebaliknya beliau hanya nampak tuduhan, hukuman dan dakwaan saya yang amat tidak boleh diterimanya. Banyak kali saya menasihatinya, seperti jangan menjadi pengampu secara berlebihan sehingga menutup kebenaran, ingatkanlah kematian yang akan datang pada setiap orang, bercakaplah benar, jangan berdusta dan bermacam nasihat dan bimbingan lagi. Tetapi oleh kerana beliau membaca dalam keadaan marah kerana tidak menyangka ada pengkritik tajam sebegitu, maka segala nasihat tersebut tidak lagi termakan oleh hatinya.
Sekali lagi hatinya telah buta dari kebenaran bila bertanya, "Saudara Ali Muda! Bilakah penulis berburuk sangka dengan ulama saudara?" Hujahnya tidak lain daripada isu kafir mengkafir, carut, pangkah P** masuk syurga pangkah U*** masuk neraka, untuk mendakwa penyelewengan ulama yang sebenarnya berkata lain daripada apa yang Astora dakwa. Tetapi setelah ianya diadun, diuli dan dipotong pangkal dan hujungnya, maka jadilah seperti yang Astora dakwa. Apa yang Astora dakwa telah berubah daripada apa yang sebenarnya ulama kata. Setelah itu Astora binalah hujahnya atas dakwaan palsu tersebut. Maka perangai sebegitu sebenarnya akan memperkuatkan lagi sifatnya sebagai `pendusta agama'.
Tentang adu domba yang dibuat Astora tetapi beliau telah lupa itu, pembaca boleh rujuk semula Bicara Agama Utusan 8/8/99 yang antara lain Astora menulis "Tidak perlu kita mengulas panjang lebar mengenai kenyataan Harun Din ini kerana belum mendengar kaset ceramah beliau, tetapi tidak ragu lagi ia merupakan tamparan yang hebat terhadap Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat dan beberapa ustaz yang menyokong beliau yang mendakwa Allah mencarut dalam al-Quran".
Selain daripada itu, siapa tidak sedar perbuatan adu dombanya yang berterusan antara ulama yang tidak dipersetujuinya dengan kerajaan sehinggakan mengatakan lebih 90 (peratus) orang JAKIM adalah pembangkang secara senyap (Ruang Rencana Pilihan, UM 3/3/2000).
Fatwa serong
Namun Astora terus menafikan perangai dan mentaliti buruk sangka serta fi`il menghukumnya walaupun ramai ulama, terutama yang tidak secitra dengannya, dituduh sebagai membuat fatwa menyelewengan dan serong. Lihat apa yang Astora kata tentang Dr Yusuf al-Qaradawi, seorang ulama terkenal yang berasal dari Mesir dan sedang berkhidmat sebagai rektor sebuah universiti Islam di Qatar: "Dr. al-Qaradawi tidak maksum sehingga tidak boleh mengkritik fatwa serong beliau." tanpa menghuraikan apakah fatwa al-Qaradawi yang dikatakan serong itu. Astora marah hanya kerana al-Qaradawi membacakan ayat 4 dan 5 daripada Surah al-Nur (ayat tentang pengharaman perbuatan fitnah muslim yang baik dengan tuduhan zina atau segala hubungan seks haram tanpa saksi), apabila beliau ditanya apakah hukumnya seorang yang menuduh saudaranya dengan tuduhan zina dan liwat tanpa seorang saksi pun yang melihat sendiri perbuatan tersebut. Al-Qaradawi hanya memberitahu hukum Allah s.w.t., tetapi Astora amat marah dan berdendam dengan al-Qaradawi sehingga menfitnahnya mengeluarkan fatwa serong serta berleter dan merungut dalam Bicara Agamanya kerana fatwa al-Qaradawi itu kini telah diterjemahkan ke Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dalam internet sehingga tersebar ke seluruh dunia.
Dalam keadaan sentiasa mengadu domba, menfitnah dan menghukum itu pun, Astora masih tidak sedar diri lalu mendakwa orang lain sahaja yang menfitnah dan menghukumnya, bukan menasihatinya. Kalau benar al-Qaradawi mengeluarkan fatwa serong, kenapa Astora tidak berdebat saja dengan al-Qaradawi dan siarkan terjemahannya dalam Utusan. Ini tidak, asyik mengata sahaja di belakang dalam bahasa yang tidak difahami oleh al-Qaradawi. Tunjukkan di mana serongnya fatwa al-Qaradawi…! Kita tidak pernah kata al-Qaradawi itu maksum dan tidak boleh dikritik langsung, tetapi kritikan hendaklah tidak berunsur fitnah dan hendaklah berlandaskan niat menegakkan hukum Allah s.w.t.
Dalam keadaan Astora marah orang lain berburuk sangka kepadanya dan menafikan sikap buruk sangkanya sendiri, beliau membuka pekung dadanya yang penuh buruk sangka dan prejudis yang jahat apabila menulis dalam ruangan Salam, UM 10/3/2000 sebuah rencana kotor bertajuk `Apa erti pope bersalam dengan Sheikh Al-Azhar'.
Fitnah ulama, sahabat dan rasul
Tentang penafian Astora terhadap fitnah mengatakan Saydina `Umar mengubah dan menamatkan hukum hudud potong tangan dan fitnah mengatakan Nabi s.a.w. tidak melaksanakan perintah yang terkandung dalam al-Quran berkenaan hukum hudud zina, para pembaca dan Astora sendiri boleh merujuk rencana saya bertajuk `Umar pelaksana hudud, bukan pengubah' dan rencana `Astora melakukan perkara yang merosakkan aqidah''dalam laman http://members.tripod.com/mindarakyat2 (Debat Cyber) untuk mendapat penjelasan lanjut, sama ada dakwaan saya itu merupakan tafsiran tersirat atau dakwaan berlandaskan kenyataan Astora sendiri yang lengkap dengan tarikh bila kenyataan itu dibuat. Oleh kerana sanggahan saya dalam rencana-rencana tersebut adalah objektif dan berdasarkan hujah yang kukuh, maka Astora menangguh untuk menyiarkannya kepada waktu yang tidak diketahui. Agaknya Astora belum mendapat ilham bagaimana hendak menjawabnya. Tentang isu sumpah dengan al-Quran pun, Astora telah berhempas-pulas untuk menjawab dan selalu melarikan diri ke arah soal-soal pinggiran, apatah lagi hendak mempertahankan pembohongan dan pendustaannya yang telah dibongkar dalam isu-isu yang lain.
Hadis murtad
Tentang penafian terhadap dakwaan saya bahawa beliau menfitnah mengatakan Imam al-Awza`ie orang yang mula-mula mereka hadis murtad, penjelasannya telah siap ditulis oleh seorang yang bernama Abu Mishkat untuk disiarkan dalam sebuah majalah nanti. Tunggulah keluarannya.
Cuma di sini saya ingin tegaskan bahawa buku yang Astora minta saya cari dan baca baik-baik itu (Hadd al-Riddah Dirasat Usuliyyah Tarikhiyyah tulisan Dr. Ahmad Subhi Mansur) telah wujud dalam milikan saya sejak tahun 1993 lagi. Bukan cara saya hendak mengkritik Astora atau sesiapa saja secara semborono tanpa sebarang rujukan dan sandaran. Saya miliki dan telah baca buku itu, yang ditulis oleh seorang sekularis besar Mesir, yang amat bersetuju dengan idea sekularisme Dr. Farag Fouda yang mati terbunuh itu. Perlu disebut bahawa Dr. Mansur tidak dapat dipastikan sebagai sarjana al-Azhar, yang pasti beliau adalah orang Mesir, yang semuanya bersekolah rendah dan menengah di bawah sistem pendidikan al-Azhar (Ma`ahid al-Azhar) jika bersekolah kerajaan. Saya berpendapat Dr. Mansur adalah seorang sarjana Mesir berpendidikan Barat berdasarkan idea sekularismenya. Namun seperti biasa, Astora bercakap seolah-olah beliau pasti Dr. Mansur itu sarjana al-Azhar walaupun beliau sendiri tidak pasti. Samalah dengan kenyataannya bahawa Ab. Jalil Aboo Backer (yang mengatakan hukum murtad tiada dalam Islam) kononnya seorang pensyarah di Univ. Malaya. Rupanya, berdasarkan sumber yang mengenalinya secara dekat, Ab. Jalil Aboo Backer itu hanyalah seorang budak yang mengaji dalam bidang media di UM, tiada kena mengena dengan pengajian Islam, cuma dia galak untuk berbicara tentang hukum Islam dan lagak melebihi para ulama. MasyaAllah… saya pun hampir tertipu dengan pendustaan Astora tentang Ab. Jalil itu, beliau berlagak macam tahu secara pasti walaupun sebenarnya beliau tidak tahu. Tapi itu sudah memang perangainya yang suka berdusta. Apa kita boleh buat? Katakanlah sahaja `Astora Pendusta Agama Dan Dunia'.
Berbalik kepada buku Dr. Mansur tadi, sebenarnya ia hanyalah buku picisan yang dijual di tepi-tepi jalan di Kaherah, bukanlah buku atau kitab rujukan muktamad dan berautoriti. Tebalnya hanya 106 muka surat dengan ukuran kecil, lebih kurang 5 x 6 inci. Tetapi Astora bukan mengira itu semua, asalkan sahaja ia buku yang menepati citra pendustaannya, dia sapu saja. Bayangkan betapa rendahnya nilai akademik Astora bila beliau pernah menggunakan sebuah majalah liar bercampur lucah dalam Bahasa Arab, Rose el-Yousef, (yang kadang-kadang lebih teruk daripada URTV, Mangga, Hai dan sebangsanya di Malaysia ini) untuk dijadikan bahan rujukannya dalam rencana Bicara Agamanya. Jadi tidak hairanlah dia boleh gunakan buku Dr. Mansur itu untuk diterjemahkan ke dalam Bicara Agama Utusan sebagai penyambung fitnah Dr. Mansur terhadap Imam al-Awza`ie sebagai pereka hadis murtad yang amat sahih (riwayat al-Bukhari dan Muslim) itu.
Astora hanya memakai cakap orang dalam memperkatakan keburukan Imam al-Awza`ie, bukan menyelidik sendiri. Kalau menyelidik sendiri pun, apakah boleh kita menuduh seseorang ulama yang telah meninggal dunia sejak hampir 1300 tahun dahulu hanya berdasarkan beberapa buah kitab? Astora tidak mendalam ilmunya dalam kaedah al-Jurh wa al-Ta`dil, (kaedah untuk mengetahui sama ada seseorang itu dianggap tercela atau amanah dalam riwayatnya, bukan al-Jarh…, seperti disebut secara salah oleh Astora) sebab itu dia cepat menuduh seseorang yang dilaporkan sebagai tercela oleh sebahagian pengarang kitab.
Adalah wajib menyelidik laporan-laporan daripada ulama pengarang kitab yang lain, barulah hukum yang akan diberikan ke atas seseorang periwayat hadis itu merupakan hukum yang adil dan saksama. Ini kerana terlalu banyak faktor seseorang itu digambarkan sebagai tercela. Contohnya apabila ditanya Astora tentang Dr. Harun Din atau Dato' Nik Aziz atau Dato' Fadhil Nor, sudah tentu Astora melaporkan mereka itu sebagai tercela kerana mengeluarkan `fatwa yang menyeleweng'. Tetapi cuba tanya orang lain yang lebih ramai, nescaya mereka akan melaporkan sebaliknya, amanah, jujur, bertakwa dan kuat memperjuangkan Islam. Begitulah juga cara kita hendak mengetahui latar belakang orang zaman dahulu, tidak cukup sekadar beberapa buah kitab sebagai rujukan. Untuk mendapat penjelasan lanjut, tunggulah keluaran sebuah majalah yang mengandungi sebuah rencana menyanggah Astora dan Ab.Jalil Aboo Backer tentang hukum murtad nanti.
Dalam menyebut beberapa nama kitab yang kononnya menjadi rujukan untuk membuat tuduhan bahawa Imam al-Awza`ie adalah pereka hadis murtad yang pertama, Astora menyebutnya secara longgar dan tidak muktamad tentang apakah yang sebenarnya diperkatakan oleh para ulama pengarang kitab-kitab itu. Apatah lagi, terdapat kesalahan dalam menisbahkan sesuatu kitab kepada pengarangnya seperti kitab Mizan al-I`tidal dikatakan oleh al-Zuhri sedangkan ia adalah karangan al-Zahabi. Beberapa kitab lain yang disebutkan itu juga meragukan dari segi penisbahan kepada pengarangnya. Saya akan menyelidik untuk memastikan kebenarannya atau sebaliknya. Perlu disebut bahawa para ulama yang mengkritik al-Awza`ie tidak sekali-kali menuduhnya sebagai pereka hadis murtad yang sahih dan masyhur itu, tetapi orang yang mula-mula membuat tuduhan itu ialah Dr. Mansur dan diikuti secara membuta tuli oleh Astora.
Bermazhab
Akhir sekali Astora mengkritik saya menisbahkan Ibn Qudamah (yang kononnya saya pandang lekeh walaupun saya telah tegaskan sebaliknya) kepada mazhab Maliki sedangkan katanya Ibn Qudamah itu bermazhab Hanbali.
Ini adalah isu yang amat jauh terpinggir daripada persoalan asal. Tetapi Astora memang suka melarikan diri daripada persoalan asal untuk menyelamatkan dirinya. Apa yang sebenar saya nyatakan tetapi tidak disiarkan oleh Astora ialah "Siapalah Ibn Qudamah jika dibandingkan dengan imam mazhabnya (Malik) yang mengatakan, "Setiap orang diterima cakapnya atau ditolak melainkan al-Maksum (Nabi s.a.w.)". Ini saya nyatakan untuk menempis pendirian Astora yang bermatian-matian berpegang dengan pendapat Ibn Qudamah yang difahaminya secara salah, kononnya berkata sah dan harus bersumpah dengan al-Quran, walaupun terdapat banyak nas (hadis) yang terang-terangan melarang bersumpah dengan selain Allah s.w.t. Jadi kalaulah betul Ibn Qudamah berkata begitu, apalah sangat nilai kata-kata Ibn Qudamah jika bertentangan dengan hadis. (Setelah diselidik, ternyata Ibn Qudamah tidak berkata seperti yang difahami Astora seperti yang telah saya jelaskan dalam rencana `Awas! Astora anti-hadis?')
Memang Ibn Qudamah tersohor dengan mazhab Hanbali, tetapi bolehkah Astora pasti dan muktamadkan bahawa beliau tidak bermazhab selain Hanbali dalam persoalan-persoalan lain? Apakah berdosa berkata Ibn Qudamah bermazhab Maliki seperti berdosanya berkata harus bersumpah dengan al-Quran? Ibn Taimiyyah tersohor dengan mazhab Hanbali, tetapi apakah salah berkata beliau bukan bermazhab Hanbali sebaliknya bermazhab sendiri kerana beliau sampai ke darjat ijtihad seperti Ibn Qudamah juga? Salahkah kalau saya katakan bahawa Imam al-Shafi`ie itu bermazhab gurunya Maliki kerana beliau pernah bermazhab itu dalam banyak persoalan ketika beliau tinggal di Iraq? Sebenarnya isu-isu seumpama itu hanyalah terlalu remeh untuk untuk mengambil tempat persoalan sebenar yang lebih patut dibahaskan.
Sekian, wassalam `ala man ittaba`a al-huda.
alimuda@hotmail.com