BERITA RINGKAS TERENGGANU
Ceramah sempena 100 hari
KUALA TERENGGANU: Urusetia Penerangan Negeri Terengganu
menganjurkan ceramah perdana sempena 100 hari pemerintahan PAS di negeri
ini pada 8 Mac ini bertempat di Padang Permint Perdana, Seberang Takir.
Pengarahnya, Zakaria Dagang berkata, penceramah pada majlis itu terdiri
daripada Menteri Besar, Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Exco kerajaan negeri,
Haji Mustafa Ali; Senator Haji Hassan Shukri dan Ahli Parlimen Kuala
Kedah, Haji Muhamad Sabu.
Katanya, majlis yang bermula pada jam 9 malam itu turut diserikan
dengan persembahan nasyid Kumpulan Shoutul Amal.Sehubungan itu, beliau
mempelawa orang ramai hadir di majlis itu bagi mengikuti penjelasan isu
semasa daripada para pemimpin kerajaan negeri dan pemimpin PAS Pusat.
Hidupkan syiar 'Darul Iman'
KUALA BERANG: Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,
berkata kerajaan negeri mahu menghidupkan semula syiar 'Darul Iman' dalam
melaksanakan tanggungjawabnya memerintah negeri ini.
Sehubungan itu, beliau turut meminta semua kakitangan kerajaan supaya
menghidupkan syiar tersebut dalam diri mereka sewaktu menunaikan
tanggungjawab dan kewajipan harian masing-masing.
"Kami (kerajaan negeri) akan berusaha sedaya upaya supaya perkara yang
utama dan penting untuk rakyat didahulukan," katanya ketika berucap di
majlis perjumpaan dengan kakitangan jabatan dan agensi kerajaan di dewan
Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini Khamis minggu lalu.
Tidak iktiraf teroka tanah
DUNGUN: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum,
Perindustrian dan Sumber Manusia negeri, Haji Mustafa Ali berkata,
kerajaan negeri tidak mengiktiraf mana-mana tanah yang diterokai selepas
pilihan raya ke-10 lalu.
Katanya, walaupun terdapat peneroka tanah selepas pilihan raya umum
lalu yang telah menanda kawasan masing-masing, ia tidak diiktiraf oleh
kerajaan negeri.
"Yang ini (tidak iktiraf teroka tanah selepas pilihan raya) tidak kira
sama ada orang PAS atau orang Umno," ujarnya ketika berucap merasmikan
Majlis Kesyukuran dan Dialog Bersama Exco di Kompleks Perikanan Dungun di
sini, Sabtu lalu.
Tegasnya, kerajaan memberikan tanah kepada mereka yang layak
berdasarkan kepada keadilan.
Berpersatuan lebih mudah
DUNGUN: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan dan Ternakan
negeri, Ustaz Abu Bakar Chik berkata, bantuan lebih mudah disalurkan
melalui persatuan.
Sehubungan itu, katanya, mereka yang terlibat dengan aktiviti nelayan
seperti peniaga ikan, dagangan dan lain-lain perlu menubuhkan persatuan
bagi memudahkan berurusan.
"Buat persatuan dan sertai supaya urusan lebih mudah," ujarnya ketika
menjawab pertanyaan peserta pada Majlis Dialog yang diadakan di Kompleks
Perikanan Dungun, di sini, Sabtu lalu.
Katanya, bantuan lebih mudah disalurkan melalui persatuan daripada
individu.
Begitu juga, katanya permasalahan yang timbul lebih mudah diselesaikan
melalui persatuan daripada hanya melibatkan individu sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil dan Hal
Ehwal Pengguna, Haji Mohd Azbul Wahid Endut yang menjawab persoalan
peserta juga menekankan perkara yang sama terutama yang melibatkan para
peniaga.
Kaji semula pemberian tanah
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan mengkaji semula kedudukan
tanah di kawasan industri yang telah diserahkan kepada syarikat swasta,
tetapi gagal diusahakan dalam tempoh yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian
dan Sumber Manusia negeri, Haji Mustafa Ali, berkata siasatan pihaknya
mendapati ada syarikat yang diberi tanah untuk melaksanakan pelbagai
projek, masih gagal meneruskan cadangan mereka.
"Kerajaan perlu mengkaji semula sama ada syarikat berkenaan masih
berminat meneruskan projek yang dirancang atau membeli tanah di kawasan
berkenaan untuk tujuan spekulasi semata-mata," katanya ketika ditemui di
Wisma Darul Iman, Rabu lalu.
Cegah kemungkaran masyarakat
HULU BESUT: Ahli Parlimen Hulu Besut, Hassan Mohamed, mengajak
ahli masyarakat di daerah itu turut membantu mencegah pelbagai
kemungkaran, termasuk gejala sosial, yang berlaku di kawasan mereka.
Beliau berkata, mereka tidak sepatutnya menyerahkan tugas berkenaan
kepada pihak berkuasa semata-mata kerana masyarakat juga turut
bertanggungjawab menghalang kemungkaran yang berlaku di depan mereka.
Menurutnya, ibu bapa juga turut berperanan dalam membentuk anak-anak
mereka menjadi insan yang baik dan dihormati oleh semua orang.
"Pembentukan generasi akan datang bermula dari dalam diri dan rumah
tangga seseorang itu," katanya ketika berucap di majlis perhimpunan
pemimpin bersama rakyat di Kampung Belaoh, baru-baru ini.
|