Perbicaraan rayuan kes Anwar sudah tamat. Tiga orang hakim yang mendengarnya telah menangguh membuat keputusan. Seorang peguam yang membela Anwar menjangkakan bahawa keputusan akan dibuat dalam masa satu hingga dua bulan.
Sebenarnya, Cili Api sudah tahu apa keputusannya. Tak payah tunggu begitu lama. Sudah tentu rayuan Anwar akan ditolak. Memandang kepada korupsi yang menular dalam sistem perundangan di negeri ini dan tiga orang hakim yang mendengar kesnya, memang susah bagi Anwar hendak mendapat keadilan sebenar. Apatah lagi apabila Perdana Menteri sendiri sudah berkali-kali menuduhnya sebagai bersalah. Sungguhpun dengan berbuat demikian PM Cek Det menghina mahkamah, akan tetapi tiada siapa berani mengambil tindakan ke atasnya.
Pendedahan tentang korupsi di kalangan setengah-setengah hakim telah dilakukan oleh seorang hakim juga dalam satu surat layang yang panjang lebar beberapa tahun lalu. Tidak ada penyiasatan dilakukan mengenainya. Tetapi hakim itu telah diberhentikan. Cili Api tidak berapa ingat kandungan surat layang itu sepenuhnya. Akan tetapi satu perkara masih jelas dalam ingatan. Surat layang itu menceritakan tentang seorang hakim yang sangat korup. Kebetulan, hakim ini adalah salah seorang yang mendengar kes Anwar. Cili Api diberitahu, selain daripada beliau, seorang lagi daripada tiga hakim kes rayuan ini mudah saja boleh dibeli. Jadi, di mana harapan Anwar?
Cili Api tahu hakim-hakim yang mendengar kes Anwar itu sudah tahu apa keputusan yang mereka hendak buat. Sekarang ini mereka cuma mahu masa untuk mengumpul dan menulis hujah-hujah cukup kukuh, untuk meyakinkan diri sendiri dan juga orang awam. Cili Api kesian pada Anwar. Hanya boleh berdoa untuknya saja.
Cili Api