Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Dollah badawi pyla beri Amaran !

Selepas PM Cek Det, TPM Dollah Badawi pula mengekori, seperti pak-pak lang berbuntut-buntut, memberi sokongan kepada KM Melaka si Ali Rustam. Si Ali ini mula-mula bertindak ke atas 21 buah klinik dan kemudian ke atas dua buah bank pula, yang dituduh menyokong pembangkang. Dollah bermadah bahawa khidmat orang yang tidak profesional, iaitu yang mencampuraduk tugas profesional mereka dengan politik, tidak ada tempat dalam perkhidmatan awam ataupun swasta. Tersirat di belakang kata-katanya ialah amaran bahawa tidak lama lagi kerajaan akan bertindak terhadap mereka yang senang-senang boleh dituduh sebagai tidak profesional.

Cili Api bersetuju bahawa orang profesional mesti bertindak secara profesional. Ini tidak bermakna pula mereka tidak boleh mempunyai sikap politik sendiri atau mesti disekat daripada bersuara atau bertindak dalam bidang politik. Kebebasan bersuara dan berpersatuan adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Cili Api setuju juga politik mereka tidak harus menjejas tugas profesional mereka. Misalnya, doktor tidak profesional apabila ia menolak seorang peskit tenat semata-mata kerana dia dari parti pembangkang. Pensyarah tidak profesional jikalau ia memberi perhatian istimewa hanya kepada mahasiswa yang sealiran politik dengannya. Pentadbir tidak profesional sekiranya ia memberikan khidmat hanya kepada penyokong parti pemerintah saja. Begitu juga pemimpin politik tidak profesional seandainya ia pendendam dan menafikan hak rakyat untuk dapat biasiswa, lesen atau rumah murah, semata-mata atas alasan politik.

Jikalau ada doktor, pensyarah, pentadbir atau tokoh politik yang tidak profesional dan terdapat pula pengaduan terhadap mereka, maka hendaklah disiasat perkara ini oleh badan berwibawa. Selepas itu tindakan disiplin harus diambil. Jikalau ada alasan membawanya ke mahkamah, mesti dibawa. Seseorang itu tidak boleh dengan sesuka hati saja dibuang semata-mata kerana ia disyaki tidak melakukan tugasnya secara profesional. Cili Api sangat bersetuju dengan pendapat Presiden PRM, Dr Syed Husin Ali, dalam akhbar internet Malaysia Kini, bahawa perbuatan seumpama itu bukan saja tidak adil, bahkan bodoh. Kesanya kepada moral atau semangat pekerja, bahkan juga perpaduan di kalangan rakyat akan terancam. Ada pula unsur seperti membakar kelambu kerana nayamuk seekor dua. Jadi, kenalah bertindak secara hati-hati, adil dan bijaksana.

Sejauh yang Cili Api perhatikan, mereka yang mula-mula dan banyak sekali mencampuradukkan tugas profesional dengan kepentingan politik ialah anggota, pemimpin dan pemerintah BN sendiri. Anggota dan pemimpin BN sering sekali menggunakan kedudukan untuk kepentingan parti dan diri sendiri sehingga mengabaikan tugas profesional mereka. Sekarang ini, pegawai-pegawai pemerintah dari kategori A sudah dibenarkan memagang jawatan dalam politik. Tentu senang jikalau jawatan yang dipegang itu ialah dalam UMNO atau parti-parti komponen BN yang lain. Tetapi lainlah ceritanya jikalau dengan parti-parti alternatif. Halangannya sudah tentu banyak.

Cili Api diberitahu bahawa semasa Mahathir Khir menjadi pensyarah dulu, dia selalu ponteng atau datang lambat untuk memberi kuliah. Kurang persediaan pula selalunya. Ramai siswa lanjutan untuk MA terbengkali di bawah penyeliaannya, sebab beliau tidak mengambil berat sangat terhadap kerja penyeliaan itu. Ada yang sampai tiga empat tahun tak selesai tesis MA. Khabarnya beliau sendiri tidak habis Ph.D., walaupun dihantar ke luar negeri. Tetapi beliau rajin menulis artikel-artikel mengampu pemimpin-pemimpin tertentu BN, terutama sebelum dipilih menjadi calon dalam pilihanraya baru-baru ini. Sekarang beliau mejadi Setiausaha Parlimen Pendidikan pula. Allah selamatkan beliau dan pendidikan negara!

Jikalau kita naik ke atas kepada orang senama dengannya, yang menjadi bosnya dalam kerajaan, iaitu Cek Det, kita dapati Cek Det sendiri pun sering tidak profesional dan tidak adil. Beliau bukan saja lebih cepat bertindak keras terhadap pembangkang, bahkan juga terhadap tokoh dan golongan dalam UMNO sendiri yang tidak sebulu dengannya. Kalau tidak percaya, cuba tanyalah Ku Li dan Mahyuddin Yasin. Tak usah cuba tanya Anwarlah. Nanti, nak jumpa dia terpaksa masuk penjara Sungai Buluh pula.

Cili Api suka ulangi pendapat Presiden PRM, cara tindakan yang diambil oleh si Ali Rustam itu memang zalim dan bodoh. Lebih zalim dan bodoh lagi pemimpin-pemimpin besar yang menyokong tindakannya. Sebanyak 90 peratus daripada 21 klinik yang diberhentikan sebagai klinik panel melibatkan doktor-doktor Melayu yang sudah lama memberikan khidmat profesional mereka. Dua bank yang menjadi mangsa penarikan simpanan tetap kerajaan, kerana kononnya pekerja mereka pro-pembangkang, merupakan bank milik Bumiputera/Islam.

Cili Api lihat ada unsur dendam kesumat yang jelas dalam hati hitam si Ali, Dollah dan Cek Det itu. Mereka hendak membalas dendam kepada orang Melayu, kerana tidak menyokong UMNO/BN dalam pilihanraya dulu. Cili Api rasa, dengan tindakan ini juga mereka sekaligus mahu memberi amaran kepada masyarakat Tionghua juga. Seolah-olah mereka hendak menghantar mesej: “Kalau lu tak sokong sama BN, wa tak caya sama lu. Bila tak caya, wa tak beri lesen, permit dan kontrak. Lebih teruk, wa tarik semula semua yang wa sudah beri.” Jikalau beginilah caranya, apa guna Cek Det mengulang-ulang cakap supaya semua pihak lupakan persengketaan lama untuk mengelak pecah-belah? Cek Det dan knco-konconya sendiri adalah punca menyebabkan pecah-belah. Cili Api harap raja-raja tidak akan membenarkan diri mereka jadi alat Cek Det pula.

Ciliapi
http://www.prm.tsx.org/



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com