Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

MAHASISWI ASING JADI PELACUR ?

Sebuah akhbar tabloid melaporkan bahawa ada mahasiswi asing yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menjadi pelacur. Adakah secara sukarela atau terpaksa? Jika berita ini benar, apakah ada sindiket yang menguruskan aktiviti mereka ini?

Baru-baru ini memang banyaklah berita tentang pelacur yang ditangkap di beberapa pusat maksiat. Di antaranya terdapat ramai juga wanita asing yang berkulit putih. Adakah di antara mereka ini tedapat juga mereka yang terbukti menjadi mahasiswi di mana-mana pusat pengajian tinggi? Belum ada pula Cili Api mendengar pengesahan dari mana-mana pihak berkuasa.

Cili Api sendiri tidak dapat mengesahkan sama ada berita ini benar atau tidak. Rangkaian penyiasat Cili Api tidak sampai ke sana. Sebenarnya, sebelum dari ini pun Cili Api sudah mendengar banyak dakwaan dan cerita yang sama terhadap siswi tempatan juga. Tetapi tidak seorang pun telah ditangkap atau dihadapkan ke mahkamah. Adakah mereka pandai mengelak diri daripada tangkapan? Atau adakah mereka semata-mata menjadi mangsa berita fitnah saja?

Sekiranya benarlah cerita kononnya ada sebilangan kecil siswi asing sekarang yang memperdagangkan diri mereka, Cili Api hendak tahu juga mengapakan mereka berbuat demikian. Adakah mereka menghadapi kesempitan hidup? Adakah mereka tidak mendapat biasiswa atau bantuan kewangan yang lain? Mengapa? Atau adakah mereka sengaja hendak mencari kehidupan yang lebih selesa pula.

Cili Api rasa soalan-soalan seperti ini perlu mendapat jawapan. Akan tetapi sangat sulit, walaupun melalui penyelidikan yang teliti. Lebih penting, sebelum itu perlulah disiasat dan disahkan dulu sama ada betul atau tidak cerita asal yang dibawa oleh tabloid itu.

Jikalau ceritanya tidak betul dan tidak dapat dipastikan, Cili Api rasa tidak patutlah ceritanya terus dibesar-besarkan. Cili Api tidak mahu mana-mana akhbar atau media hidup dengan dusta atau fitnah. Cili Api mahu mereka kemukakan fakta yang konkrit. Baru lepas itu orang akan lebih percaya kepadanya.

Cili Api
http://www.prm.tsx.org/


Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com