Bekas Timbalan Presiden arwah Parti Semangat 46, Datuk Rais Yatim, mengugut raja-raja Melayu supaya tegas membantu kerajaan membenteras apa yang didakwanya sebagai “kemaraan politik agama melampau yang memecahbelah umat Islam”. Ugutnya, jikalau raja-raja berpeluk tubuh, golongan ini akan sampai ke pintu istana mereka. Apa yang berlaku pada Shah Iran boleh berlaku kepada mereka di sini.
Baru-baru ini PM Cek Det menyeru raja-raja supaya menganjurkan pertemuan di antara pihak kerajaan dengan pihak pembangkang untuk mengatasi kononnya perpecahan orang Melayu. Sebelum itu ada beberapa orang tokoh UMNO mengajak pemimpin PAS berdebat dengan mereka. Tok Guru Nik Aziz menjawab debat tidak sesuai, lebih sesuai muzakarah. Tidak ada jawapan dari UMNO. Tup-tup, lepas itu timbul seruan Cek Det. Malang baginya, tidak ada sambutan daripada raja-raja. Agaknya mereka pun sudah bosan dengan telatah Cek Det.
Semalam, di Sanggang, anak Yatim itu membuat ugutan pula, menjelang Mesyuarat Raja-Raja di Istana Negara hari ini. Cili Api lihat ugutannya celupar sedikit. Barangkali itu caranya. Banyak kenyataan celupar yang telah dikeluarkannya sejak menjilat ludah dan diupah menjadi Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri. Kini beliau bertanggungjawab tentang soal undang-undang. Beliau mengambil tempat ini daripada Datuk Ibrahim Ali, bekas Timbalan Menteri.
Ibrahim, yang khabarnya meraung apabila kalah dalam pilihanraya bau-baru ini, dikenali oleh setengah-setengah golongan sebagai Al-Kataki, kerana suka melompat dari satu parti ke satu parti. Berbeza dengan Ibrahim, Rais ada ijazah kedoktoran dalam bidang undang-undang dan berjawatan menteri penuh. Cuma celuparnya kurang sedikit saja daripada Ibrahim. Tetapi sudah cukuplah untuk melayakkan dirinya mula digelar oleh sesetengah orang sebagai Al-Kataki Kedua.
Cili Api ingin tahu, apa dan di manakah “politik agama melampau” itu? Cuba sebutkan nama dan tempat mereka? Apakah yang mereka lakukan? Cili Api cabar Rais memberikan bukti-bukti yang konkrit bahawa mereka itu pelampau. Kemudian Rais serta bosnya memfitnah bahawa golongan yang dituduh melampau ini kononnya memecahbelahkan orang Melayu atau umat Islam di negeri ini. Kalau kita tengok sejarah UMNO dalam tempoh 20 tahun yang lalu, sejak Cek Det mengetuainya, siapakah yang memecahbelah UMNO? Cuba Rais terangkan siapa yang mengakibatkan perpecahan UMNO yang menimbulkan parti mendiang 46 itu?
Sekarang ini apakah faktor paling besar yang sebenarnya menyebabkan perpecahan lebih besar? Bukankah, antara lain, tindakan zalim ke atas Anwar Ibrahim dan perbuatan menghina Islam dan Rasul-Allah? Orang Melayu, terutama di kampung-kampung naik berang. Mereka bersatu menentang UMNO untuk mejatuhkan Cek Det dalam pilihanraya lalu, tetapi gagal. Siapa bertanggungjawab ke atas perpecahan itu? Kalau tidak Cek Det serta konco-konconya siapa lagi? Mengapa hendak salahkan orang lain?
Cili Api nampak kini Cek Det serta Rais cuba hendak memperalatkan raja-raja. Cili Api harap raja-raja tidak layan. Siapakah dalam tempoh 10 tahun yang lalu paling banyak menghina dan memalukan raja-raja? Kalau tidak Cek Det siapa lagi? Beliau tuduh raja-raja membazir untuk menghias istana mereka. Lepas itu beliau dirikan mahligai untuk diri sendiri. Lebih hebat daripada semua istana raja-raja. Kata dulang paku serpih, kata orang awak yang lebih.
Cili Api lihat Cek Det dan Rais tidak bermaruah sama sekali. Selepas pujuk rayu tidak jalan, hendak ugut pula. Tidak cukup memperalatkan orang lain, sekarang hendak memperalatkan raja-raja pula. Sangat memalukan.
Cili Api
http://www.prm.tsx.org/