Saya merujuk surat Doktor Pakar, "Melayu hanya dapat kerak" (Feb 28). Saya juga ingin memberikan maklum balas kepada Dr Yunos Khan ("Apakah PAS itu adil?" Feb 26-27), bahawa saya adalah seorang rakyat Malaysia berketurunan Cina tetapi saya tidak teragak-agak menyokong PAS. Kenapa?
Pertama, pencapaian bermaruah. Adakah kita berpuas hati dengan cara pemerintahan sekarang? Benar, sememangnya Barisan Nasional telah memerintah negara ini selama 42 tahun dan telah membawa kepada kita pencapaian yang selalu ditonjolkan dalam media arus utama. Adakah itu
pencapaian yang bermaruah? Bolehkah peristiwa yang menimpa bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim - dengan sekelip mata sahaja dipukul dan dihumbankan ke penjara tanpa peluang bersuara hanya kerana kesalahan menegur Dr Mahathir - berulang di bumi tercinta ini?
Peristiwa ini hanya dapat berlaku pada zaman feudal kuno. Malangnya ia berlaku di depan mata kita. Peristiwa itu agak memalukan bagi sebuah negara yang sedang memasuki era teknologi maklumat.
Kedua, sindrom orang asing salah. Cara pemerintahan di bawah Mahathir mengingatkan saya tentang zaman Perang Dunia Kedua, tentang cara pemerintahan negara Jerman dan Jepun. Di negara-negara itu, perpaduan menjadi slogan yang menonjol dan orang asing dikutuk, kesetiaan kepada negara (kerajaan) menjadi perkara yang sangat dipentingkan; segala kesalahan polisi negara dituduh kepada orang asing.
Dapatkah Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan yang lebih berdaya intelek seperti kenyataan Presiden PAS Datuk Fadzil Noor yang dibuat di Parlimen bahawa: "Kalau pun tidak dinafikan peranan serangan spekulator mata wang, tetapi serangan terhadap mata wang negara telah dibuat kerana mereka mengesani kelemahan dan kesempatan, bukan kerana mereka Yahudi atau kita
orang Islam" (Harakah, 28 Februari, 2000).
Ketiga, isu takut kepada Islam. Kenapa saya harus takut terhadap Islam dan sekali gus menolak PAS yang ingin menegakkan kebenaran Islam? Saya beragama Buddha. Lima prinsip asas agama Buddha ialah tidak berjudi, tidak memimun arak, tidak berbohong, tidak berfoya-foya dengan wanita (hubungan seks), dan tidak membunuh. Jadi apakah yang harus ditakutkan apabila kerajaan PAS mengharamkan judi, arak dan sebagainya kerana ia adalah tuntutan semua agama di dunia ini? Yang penting ialah sebuah kerajaan bermoral yang dapat menjamin keadilan dan ketelusan. Dapatkah kerajaan BN berusaha ke arah itu?
Keempat, perundangan yang zalim. Dapatkah kerajaan BN menghapuskan akta-akta zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Universiti dan Kolej Universiti, sekadar beberapa contoh? Dapatkah BN merombak undang-undang dengan memberikan lebih kuasa kepada Badan Pencegah Rasuah untuk mendakwa dan bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukan Perdana Menteri? Dapatkah kerajaan BN memulihkan pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan atau membongkar rahsia di sebalik peristiwa Mei 13 1969 - bukan untuk mencari siapa yang bersalah tetapi mencari sebab-akibat dan seterusnya memberi peringatan kepada generasi muda agar tidak berulang?
PAS dan Barisan Alternatif secara terang menyatakan kesanggupan meraka untuk berusaha ke arah itu. Sebab itu, kenapa saya harus takut kepada PAS dan Barisan Alternatif? Malah saya berbangga kerana dua perkara iaitu saya bersimpati kepada Anwar Ibrahim dan kedua, saya penyokong PAS.
C. L. Yeap
Subang Jaya