Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

PILIHANRAYA KECIL SANGGANG: PENGUNDI CINA PENENTU MASA DEPAN NEGARA

Malaysian Chinese Students Association (MACSA) yang mewakili penuntut-penuntut Cina Malaysia di United Kingdom dan Ireland ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua pengundi-pengundi Cina di Dewan Undangan Negeri Sanggang supaya bertindak bijak dengan melakukan perubahan pada pilihanraya kecil ini dengan memberikan undi kepada calon Pas iaitu Dato Hishamuddin Yahaya dari Barisan Alternatif.

Pendirian dan seruan kami ini adalah bersandarkan kepada perkembangan-perkembangan yang berlaku akhir-akhir ini terutamanya pada ketika hari penamaan calon tempohari. Perbuatan dan tingkah laku biadap yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Pahang iaitu Dato Seri Adnan Yaakob sudah cukup untuk kita menolak kepimpinan Barisan Nasional di negeri Pahang ini. Aksi dan isyarat lucah itu bukan sahaja menggambarkan betapa rendahnya akhlak dan sikap pemimpin-pemimpin UMNO bahkan mendedahkan lagi betapa rosaknya akal fikiran mereka. Memberikan undi kepada Barisan Nasional adalah sama seperti kita memberikan mereka kebebasan melakukan kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral yang telah pun berleluasa di negeri Pahang ini.

Kami merasa amat bimbang perbuatan tidak senonoh Dato Seri Adnan itu akan menjadi ikutan anak-anak muda dan generasi kita yang akan datang. Kaum Cina amat dikenali sebagai suatu kaum yang sangat berakhlak dan tinggi budi pekerti. Kita harus bersama-sama mempertahankan kedudukan ini sebagaimana nenek moyang kita menjaga dan memelihara kita semua.

Kami sekali lagi menyeru dan merayu kepada semua kaum kerabat kami pengundi-pengundi Cina di Sanggang agar jangan menghampakan harapan kami. Masa depan kami bergantung kepada kebijaksaan anda semua. Berikanlah undi anda kepada calon Pas dari Barisan Alternatif demi untuk menyelamatkan masa depan generasi muda kita yang akan datang.

GAN SIEW LIM
Presiden,
Malaysian Chinese Students Association (MACSA),
United Kingdom & Ireland.


Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com