Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Yang Didera, Dinaik dan Dipancung Kabinet Menghukum

Perjalanan hidup seorang ahli politik kadang-kala tidak tumpah seperti perjalanan hidup seorang bintang Hollywood-penuh dengan intrik, drama, saspens dan kejutan. Pengumuman Kabinet baru kerajaan Malaysia oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad 10 Disember baru-baru ini menjadi buktinya. la penuh drama, kejutan dan lakonan.

Walau apa sekalipun alasan yang diberikan, namun di belakang pentas para pelakonnya tidak dapat menipu diri mereka sendiri, bahawa ada yang telah dihukum dari menjadi pelakon utama kepada peranan pelakon pembantu sahaja, manakala ada yang mendapati diri mereka tidak lagi popular untuk ditawarkan semula memegang watak utama, dan ada yang tiba-tiba ditawarkan peranan penting walaupun lakonan mereka tidak seberapa.

Di kalangan mereka, siapakah yang jatuh ke dalam ketiga-tiga kategori tadi? Yang paling intrik dan penuh kejutan ialah kedudukan bekas Menteri Besar Perak, Ramli Ngah Talib. Dari seorang yang bergelar Yang Amat Berhormat (YAB) kemudiannya turun kepada Yang Berhormat (YB), hari ini beliau turun setapak lagi menjadi timbalan menteri.

Di manakah selepas ini Ramli hendak meletak mukanya, kita pun tidak tahu. Bagaimana dia hendak berhadapan dengan orang-orang politik dari Perak yang jauh lebih junior daripadanya, seperti Nazri Aziz yang dilantik ke jawatan Menteri Pembangunan Usahawan, dan Tajol Rosli yang mengambil alih tempatnya di Perak. Tiba-tiba Ramli yang pernah bertanding untuk kerusi Naib Presiden Umno mendapati dirinya bukan lagi tergolong di dalam liga perdana, sebaliknya hanya liga kecil.

Bolehkah kita bayangkan Ramli dalam satu kedudukan dengan Aziz Shamsuddin (juga dari Perak) yang dilantik ke jawatan Timbalan Menteri Pendidikan, dan mereka yang lebih junior seperti Khaled Nordin dan Dr Latif Ahmad dari Johor; Zainal Abidin Zin, Zainal Dahlan dan ramai lagi yang jauh lebih muda daripadanya dalam gelanggang politik.

Dalam hirarki protokol dan adat istiadat politik tanahair, hanya terdapat tiga kategori manusia sahaja yang digelar YAB. Mereka ialah Perdana Menteri; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar/Ketua Menteri. Dan dalam sejarah politik moden Malaysia, inilah pertama kalinya seorang Menteri Besar "diturunkan" pangkat menjadi seorang timbalan menteri sahaja. Menurut amalan sebelum ini, keadaan adalah sebaliknya. Terlalu banyak contoh yang dapat dikutip. Antaranya Ghani Othman sebelum dilantik ke jawatan Menteri Besar Johor adalah Timbalan Menteri Kewangan; Mohd Ali Rustam sebelum dilantik ke jawatan Ketua Menteri Melaka adalah Timbalan Menteri Pengangkutan.

Dan bagaimana pula halnya jika beliau menghadiri satu majlis kerajaan di Negeri Perak dan mendapati kerusi yang ditempatkan untuknya iaiah di barisan ketiga? Sudah tentulah beliau akan duduk di belakang Nazri, Rafidah dan Tajol Rosli. Bukankah ini satu perkara yang memalukan, sedangkan sebelum ini beliau berada di pentas utama sebagai YAB? Akhirnya, bagaimana pula beliau hendak berhadapan dengan rakan-rakannya dari kalangan Menteri Besar dan bekas Menteri Besar seperti Khalil Yaakub, yang dari Menteri Besar Pahang beliau dibawa ke pusat sebagai Menteri Penerangan.

Sebelum itu, pada tahun 1995, Muhyiddin Yassin kembali ke pusat juga sebagai menteri penuh, iaitu Menteri Belia dan Sukan. Dan barang diingat bahawa Ramli bukan baru sepenggal menjadi Menteri Besar. Beliau sudah memimpin Perak sejak 18 tahun yang lalu tanpa putus. Jadi di manakah silapnya? Apakah Ramli telah dihukum kerana pergolakan dalaman Umno? Rasanya kita sudah tahu di mana silap Ramli. Silap Ramli ialah beliau usik anak emas Mahathir, Megat Junid Megat Ayub, pada pilihan raya yang lalu sehingga kalah teruk. Yang sepatutnya bertanding di Parit bukan Megat Junid, tetapi Ramli sendiri; manakala Megat Junid kekal di kawasan asalnya di Pasir Salak. Megat telah pun mencetak posternya yang berjumlah berpuluh-puluh ribu tetapi terpaksa dihumban ke dalam Sungai Perak apabila mengetahui dia tiba-tiba diubah kawasan.

Khabarnya Ramli telah mengubah kerusi dan meletakkan Megat di Parit apabila laporan sampai ke telinganya kawasan tersebut tidak selamat. Hendak ditakdirkan, Megat tewas di Parit pada tangan calon PAS, dan Ramli menang di Pasir Salak. Apa akan jadi jika Ramli yang bertanding di Parit? Jadi, Ramli menarik nafas lega, tetapi segala-galanya belum berakhir bagi Megat. Hasilnya kita sama-sama saksikan dalam pengumuman barisan baru Kabinet Mahathir. Ramli telah "dihukum" di atas kekalahan Megat Junid.

Nasib yang sama bukan sekadar menimpa Ramli, malah rakan sejawatannya dari Melaka, Abu Zahar Isnin juga mendapati tiba-tiba dirinya "diturunkan" ke posisi yang begitu tercorot sekali. Dari seorang YAB Ketua Menteri Melaka beliau kini diberi jawatan Setiausaha Parlimen sahaja-satu jawatan yang paling junior dalam hirarki Kabinet Malaysia.

Khabarnya Abu Zahar menerima nasib yang sama seperti Ramli kerana isu Ghafar Baba. Nama Ghafar pada mulanya tidak disenaraikan oleh Abu Zahar, tetapi atas arahan Perdana Menteri, Ghafar masuk gelanggang semula pada saat-saat akhir. Semua orang Melaka tahu bahawa Abu Zaharlah yang meranapkan kedudukan Ghafar di Jasin pada pemilihan Umno bahagian Dan orang juga tahu bahawa Abu Zahar adalah saki baki soldadu Anwar yang masih bertahan dalam hirarki Umno.

Sepertimana juga Ramli, di manakah Abu Zahar hendak letak mukanya apabila pulang bertandang ke Melaka nanti? Kedudukannya lebih rendah daripada seorang timbalan menteri. Mungkin selepas ini jika ada majlis kerajaan di Melaka yang melibatkan beliau, Abu Zahar tidak akan kembali. Malah kedudukannya jauh lebih teruk daripada penggantinya, Mohd Ali Rustam. Ali sebelum dinaikkan pangkat menjadi Ketua Menteri adalab seorang timbalan menteri, sedangkan Abu Zahar apabila dibawa ke pusat hanya diberi jawatan Setiausaha Parlimen.

Orang juga terkejut dengan pelantikan Nazri Aziz. Mengenali beliau dari dekat, Nazri adalah seorang yang low-profile. Beliau tidak suka menjadi ketua, tetapi lebih selesa jika menjadi orang nombor dua sahaja. Itu adalah sifat semulajadinya. Beliau telah tunjukkan sikapnya itu apabila enggan dicalonkan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, sedangkan beliau telah memegang jawatan Naib Ketua selama tiga penggal dan menjadi Exco Pemuda Umno paling kanan dan paling lama berkhidmat.

Dan bagaimana pula dengan pengaruh Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi? Ramai yang melihat, tidak seperti Anwar ketika menyandang jawatan tersebut, amat nyata sekali bahawa Pak Lah tidak memiliki pengaruh yang besar ke atas Mahathir. Jika dahulu Pulau Pinang diwakili oleh dua menteri dan seorang timbalan menteri, kali ini pulau mutiara itu hanya diwakili oleh seorang menteri (Pak Lah sendiri) dan seorang timbalan menteri.

Shariff Omar, ayam tambatan Pak Lah di Pulau Pinang yang pernah menyandang jawatan Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, sekadar menduduki kerusi timbalan menteri sahaja, dan itupun kembali ke kementerian lamanya semula. Jika Pak Lah ada pengaruh di sisi Mahathir dan mahu memastikan orang-orangnya menduduki posisi yang lebih selesa menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti tahun depan, sudah tentulah Shariff Omar akan dilobi untuk dilantik ke kerusi menteri penuh. Jika sekadar menjadi timbalan menteri, tidak ada sebabnya mengapa beliau perlu mengubah haluan bertanding kerusi Parlimen sedangkan kedudukannya di negeri cukup selesa selepas tamatnya era kegemilangan Dr Ibrahim Saad yang tewas di tangan isteri sahabat karibnya sendiri, Dr Wan Azizah Wan IsmaiL Jika Shariff Omar kecewa tidak terlantik ke kerusi menteri penuh, apatah lagi orang kanan baru Pak Lab, bekas Ketua Pemuda Umno, Ahmad Zahid Hamidi. Menurut cerita dari Bagan Datoh, Zahid bergegas pulang ke Kuala Lumpur di ma1am kemenangannya atas arahan Pak Lah. Ini memberi harapan bahawa tempoh edahnya setelah "bercerai" dengan Anwar telah tamat dan sekaligus mernbuka ruang untuk kembali ke persada arus perdana politik tanahair. Panggilan telefon daripada Pak Lah itu seolah-olah menberi harapan bahawa sesuatu akan berlaku dan Mahathir cukup gembira dengan proses pemulihan semula Zahid Hamidi.

Malah pemilihan semula Zahid sebagai calon BN cukup memeranjatkan jika diambil kira nasib yang menimpa rakan-rakan seangkatannya dalam kem Anwar, seperti Affifuddin Omar, Abu Zahar Ujang dan ramai lagi yang telah disembelih lebih awal. Jadi kemenangan Zahid memberi harapan bahawa Mahathir akan mengampunkan dosa-dosanya setelah terpalit dengan reformasi tahun lalu, dengan melantiknya ke kerusi Kabinet setelah kemenangan besarnya di Bagan Datoh, lebih-lebih lagi mengenangkan kemenangannya adalah "hadiah istimewa" untuk PM. Malangnya angan-angan ini tidak menjadi, dan nasib malang yang menimpa Zahid seperti tiada penghujungnya. Sekali lagi, jika Pak Lah benar-benar berpengaruh, sudah tentu Zahid dan Shariff Omar lekat pada salah satu kerusi.

Sebaliknya pelantikan Musa Mohamad sebagai Menteri Pendidikan bukan sekadar mengejutkan semua pihak, malah memberi signal awal kepada Zahid bahawa kedudukannya dalam Umno Bahagian tidak lagi selesa seperti dahulu. Untuk tujuan rekod, perlu disebut di sini bahawa Musa adalah anak Sungai Sumun, Bagan Datoh; dan mengambil kira komen Mahathir pada sidang akhbarnya, sesiapa pun boleh membuat tafsiran mudah bahawa Musa telah "ditunjuk" oleh Presiden Umno dan Perdana Menteri sendiri bahawa dia (Musa) bakal menjadi anak emas baru Mahathir di Perak selepas ketiadaan Megat Junid.

Dan Musa pula, mengenangkan bahawa dia telah dilantik secara langsung oleh Mahathir, bakal menjadi pengikut yang setia. Mahathir berkata: "Jika hendak diikutkan proses biasa dalam parti iaitu dari cawangan naik ke bahagian dan kemudian negeri, sudah tentulah lambat untuk melantik seseorang itu mengisi satu kekosongan yang penting, sedangkan keperluan untuk itu telah ada." Jelas menunjukkan bahawa pelantikan Musa ke kerusi menteri juga adalah jalan pintas untuk beliau mendaki hirarki politik Umno selepas ini. Jika ini ditakdirkan berlaku dan Musa kembali ke kampung halamannya untuk menjadikan Bagan Datoh sebagai medan politiknya, di manakah kedudukan Zahid ketika itu? Ini merupakan satu percaturan yang menarik untuk dilihat dalam tempoh yang terdekat.

Yang pasti, politik Malaysia bukanlah politik Amerika, di mana jawatan Kabinet diisi oleh sebahagian besarnya golongan professional. Tetapi realiti politik Malaysia ialah sama ada seseorang menteri itu asalnya bukan orang politik, akhirnya dia akan terjun dalam gelanggang politik juga, kerana situasi kepartian menguasai kerajaan. #



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com