Akhirnya, selepas kami merayu berkali-kali, bukan merayu agar permit DETIK dihidupkan semula, tetapi merayu agar Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, membatalkan segera permit yang telahpun diberikan pada 9 Disember lalu, dan bukannya menggantung tak bertali begitu saja, maka hayat DETIK secara rasmi telahpun berkubur.
Melalui surat kami sampaikan hasrat terpendam agar Abdullah jangan takut-takut menggunakan segala kuasa mutlak di tangannya, haramkan saja jika tidak sanggup kerajaan Umno-BN menghadapi sedikit kritikan dan pandangan yang berbeza dengannya. Dengan KDN, selain surat, setiap dua tiga hari sekali, kami bertanya khabar DETIK.
Bagaimanapun kami langsung tidak menerima apa-apa respons, walau sebaris ayat daripada surat-surat yang kami hantar termasuk surat tunjuk sebab mengapa DETIK tidak boleh diharamkan. Benar sekali kritikan selama ini, KDN bersikap seperti pekak badak! Apa salahnya surat-surat kami itu dibalas dan memberikan alasan munasabah mengapa kami dilayan sebegitu rupa. Boleh juga kami tahu kesalahan besar yang telah kami lakukan selama ini.
BN sudah menang besar dalam pilihan raya lalu. Majoriti rakyat bersamanya. Lalu, apa ditakutkan lagi dengan kritikan daripada majalah yang cukup terhad pengedarannya seperti DETIK, dan diterbitkan hanya dua kali sebulan (lebih tepat lagi tiga kali dua bulan). Tapi, begitulah sikap orang yang takutkan bayang-bayang sendiri. Mereka bimbang jika rakyat mendapat maklumat dan fakta yang tepat, kedudukan BN agak tergugat. Suara rakyat yang bersendikan kebenaran dan keadilan cukup dibimbangi oleh kerajaan yang zalim dan rakus.
Kementerian Dalam Negeri, di bawah Abdullah Badawi, akhirnya secara sah mengharamkan penerbitan majalah dua kali sebulan itu tanpa sebarang alasan. Dan ini bukannya mengejutkan kami. Manakan tidak, sejak permit terdahulu tamat pada 30 November 1999, dan dihidupkan semula pada 9 Disember 1999, kami dihalang secara lisan daripada menerbitkan majalah berkenaan atas alasan nombor permit penerbitan (PP) belum diberikan. Sedangkan wang sebanyak RM500 seperti disyaratkan telahpun dibayar dan telah ditunaikan oleh KDN sendiri.
Ya, apa lagi mahu dikesalkan dan ditangiskan. Kezaliman bertindan-tindih menutup ruang untuk kami berbicara seperti biasa. Kebebasan akhbar dan menyuarakan pendapat dicabul semahu mungkin. Menteri Dalam Negeri mungkin mahu menunjukkan taring memberitahu dunia bahawa dia tidak selembik disangka. Konsep mesra-rakyat hanya pemanis kata bagi melindungi tindakan bacul dan penakutnya untuk menghadapi suara rakyat.
Jika melalui saluran yang sah kami dihalang, apakah KDN mahu memaksa kami menggunakan jalan belakang?
Kami akan membuat kenyataan rasmi mengenai pengharaman DETIK pada petang ini.
AHMAD LUTFI OTHMAN
Bekas Ketua Editor DETIK
Kunjungi kami di Laman Detik daily
http://detik.daily.tripod.com/
menggantikan Majalah Detik yang diharamkan !!!!