Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

‘PAS SAMBUT BAIK PELAN INDUK K-EKONOMI’

Arus globalisasi dan cabaran dunia tanpa sempadan yang kian merubah corak pemikiran dan peradaban manusia adalah arus dan cabaran yang semakin kuat melanda negara. Menyedari hakikat kepentingan dan perlunya negara Malaysia mempunyai halatuju dan panduan tersendiri dalam menghadapi cabaran-cabaran tersebut, Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyambut baik hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk merangka Pelan Induk K-Economy bagi Malaysia.

Namun begitu, PAS juga ingin mengingatkan kerajaan bahawa aplikasi ‘knowledge’ ataupun ilmu pengetahuan tidak hanya terhad kepada bidang ekonomi semata-mata. Ilmu sebenarnya tidak asing dengan Islam sepertimana firman Allah dalam Surah Al-Iqra' (1-5). Kegemilangan Tamadun Islam pada zaman dahulu juga adalah hasil penghayatan ilmu dan telah membuktikan betapa Islam amat menekankan aspek ilmu dalam segenap aspek kehidupan termasuklah bidang ekonomi, sosial dan politik. Hasil daripada penghayatan ilmu secara komprehensif ini jugalah, telah melahirkan ramai cendekiawan agung seperti Ibnu Khaldun, Tabari dan Mas'udi yang mahir dalam bidang-bidang teknologi, falsafah, sains, ekonomi, kenegaraan dan sebagainya.

Persidangan Ilmu Sedunia Ke-dua (Second Global Knowledge Conference) yang diadakan baru-baru ini membincangkan jurang perbezaan antara negara-negara maju dan negara-negara membangun yang dikhuatiri akan lebih membesar jika langkah-langkah untuk mengatasinya tidak diambil. Di dalam konteks Malaysia, PAS amat prihatin tentang jurang perbezaan antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera. Jurang perbezaan ini dikhuatiri akan terus membesar sekiranya kerajaan tidak memberi perhatian yang sewajarnya. Sehubungan dengan itu, PAS mencadangkan agar kerajaan Malaysia melaksanakan kajian tentang natijah revolusi digital terhadap kaum bumiputera di Malaysia dan mengadakan program-program yang bertepatan agar jurang perbezaan yang sedia ada tidak terus melebar.

Pihak PAS juga mengesyorkan agar kerajaan Malaysia mengkaji bagaimana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat merapatkan lagi jurang antara manusia dan penciptanya (Al-Khaliq). Bukan sekadar menekankan elemen spiritual di dalam masyarakat, tetapi melihat dan menerima Islam sebagai satu sistem cara hidup yang komprehensif yang boleh membantu Malaysia mencapai matlamat untuk mencapai status negara maju dan mewujudkan masyarakat madani yang lebih seimbang nilai hidupnya.

Pihak PAS turut mengalu-alukan tema persidangan GKII iatu “Building Knowledge Societies” yang membincangkan elemen-elemen asas berkaitan ICT iaitu access, empowerment dan governance. Dari sudut kemudahan dan penyediaan akses kepada ICT, PAS meminta kerajaan agar memberikan tumpuan kepada masyarakat luar bandar yang rata-rata kurang berkemampuan serta kepada golongan-golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan orang-orang kurang upaya. PAS yakin bahawa teknologi maklumat dan komunikasi boleh menjadi alat untuk membantu golongan tersebut untuk menikmati status hidup yang sama seperti orang lain.

PAS juga berharap agar sistem pemerintahan akan menjadi lebih telus dan teratur melalui penggunaan ICT. Penglibatan sektor awam, swasta dan masyarakat umum dalam proses membuat keputusan adalah penting dan ia boleh dilaksanakan melalui ICT. Ini akan menjamin ketelusan dan keberkesanan di dalam usaha kerajaan membina masyarakat yang maju dan bijaksana (wise).

PAS turut menyambut baik resolusi daripada forum media yang menyebut tentang perlunya kebebasan media dalam menyiarkan berita-berita yang tepat dan bebas daripada pengaruh kerajaan. Sehubungan itu, PAS menggesa agar kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula keputusan membenarkan penerbitan akhbar Harakah hanya dua kali sebulan dan mengembalikan kekerapan asalnya iaitu dua kali seminggu.

Adalah diharapkan agar segala resolusi yang diputuskan di dalam persidangan tersebut dapat dilaksanakan demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia dan umat sejagat. PAS sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan demi mencapai matlamat yang dicitakan.

DATO’ HAJI FADZIL MOHD. NOOR
Presiden PAS / Ketua Pembangkang



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com