Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

GAPENA ALAHAI GAPENA

  1. Dalam era politik negara yang serba songsang, serba korap dan mabuk kuasa sekarang ini, satu aspek yang cukup menarik untuk mempertajamkan daya kreativiti dan daya sensitiviti para pengarang, khususnya sasterawan ialah realiti kehidupan yang setiap detik membelit pinggang dan membalut kepala kita. Tapi bila kita cuba menjenguk langkah dan lagang GAPENA - sebuah badan gabungan persatuan penulis-penulis seluruh negara yang anggotanya berjumlah ribuan dengan ketajaman pena masing-masing, ternyata GAPENA kini begitu tumpul penanya, bacul tekadnya dan sering diserang penyakit sindrom bisu kecuali asyik berdendang sayang dengan idealisme-idealisme utopia yang tidak berpijak dibumi nyata.

  2. Seindahnya para pengarang di mana-mana perlu tajam sensitivitinya , terutama sensitiviti yang mempersoalkan keadilan, kebenaran, kesejahteraan insan, kepimpinan yang jujur lagi ikhlas, keharmonian dalam urusan hak asasi manusia dan sebagainya. Dan seperti realiti politik yang rancak dan gila membelenggui rakyat sekarang ini yang mencakup perihal kezaliman yang melampau, kebatilan yang huduh-huduh di luar tabii, korapsi para pemimpin yang tak bertanggungjawab, kecabulan hak asasi manusia secara terang-terangan, kekacauan demi kekacauan semata-mata bermatalamat menjaga kuasa puak-puak tertentu, konspirasi licik di kalangan para oligarki , penjajahan baru lagi tersirat terhadap bangsa Melayu dan bagaimana mudahnya memesungkan budaya orang Melayu kepada Budaya Pesona Benda, kita terkejut yang GAPENA sampai hati dan tergamak membisu seribu bahasa dan pena mereka menjadi begitu tumpul dan berkerutu tentang realiti yang membelit bangsa kecuali berirama dan berdendang sayang perihal-perihal yang mengkhayalkan,

  3. Khalayak terasa bingung dan ingin menyoal: gerangan jenis apakah pengarang-pengarang ini? Apakah jiwa mereka tidak rasa tertekan dan terharu terhadap apa yang sedang berlaku sekarang ini yang terang-terang mencabuli hak-hak asasi manusia sehingga sebagian besar bangsa Melayu menjadi begitu bacul dan kecut untuk bersuara atau menulis.

  4. Sudahlah bahasa Melayu dikotakkatikkan, jauh sebelum itu pun status kesultanan dan keulamaan dimain-mainkan sehingga segala martabat dan muruah mereka tercemar dengan begitu huduhnya. Kini kepimpinan yang wujud sekarang sudah begitu berani lagi sehingga mulut-mulut rakyat ini pun hendak dikuncinya habis-habisan, demokrasi yang sering dilaung-laungkan juga diperlecehkan dengan tindakan-tindakan yang mencemarkan demokrasi itu sendiri. Bukan itu saja. Harta dan kekayaan negara dan rakyat juga sedang diboloti sehingga melimpahruah dan hanyut kepada para kroni, nepotis dan sukusakat masing-masing atau menjelma dalam projek-projek mega dan ekstravaganza yang dahsyad-dahsyad. Dan yang anihnya masih sampai hati lagi sebagian bangsa Melayu yang tak malu-malu menghidu dan menjilat tangan-tangan para pemimpin yang kontra dan anti makna Melayu ini.

  5. Kini keadaan menjadi semakin gawat lagi kerana dari kajian dan renungan pihak yang berkuasa, memang bangsa Melayu ini tak boleh berbuat apa-apa. Mulut mereka terkunci tapi mereka cuba bertindak tapi hanya hangat-hangat tahi ayam saja kerana seminggu dua kemudian mereka rancak mencakung di kepala bendul lagi. Ambil umpamanya tindakan terhadap pembatasan pengeluaran HARAKAH atau pembatalan penerbitan DETIK sekarang ini. Masyarakat tidak melihatnya sebagai usaha menyekat masyarakat bersuara . Yang bising hanya pihak-pihak yang terlibat tapi kebisingan itu hanya sehari dua saja kerana rata-rata orang tahu bahwa orang Melayu ini hanya sekejap saja panas punggungnya. Kemudian punggung menjadi dingin dan yang panas ialah yang lain pula.

  6. Khalayak sekarang tertanya-tanya juga tentang kemanakah larinya pena-pena para penulis dan para sasterawan tanah air yang umumnya bergabung dalam GAPENA? Apakah GAPENA telah memberi arahan supaya para anggotanya jangan menyentuh hal-hal politik yang sedang menentukan nasib hidup matinya bangsa Melayu kita sekarang ini? Apakah GAPENA takut kepada pihak-pihak yang berkuasa sehingga sudi menggadai jiwa penulis dan hati nurani para sasterawan? Atau pun mungkin jiwa dan hati nurani para penulis dan para sasterawan sudah mempunyai paradigma yang baru iaitu paradigma Budaya Pesona Benda seperti yang sedang dihayati oleh sebagian besar orang-orang UMNO sekarang ini. Apakah budaya yang asal yang mempertajamkan sensitiviti dan kreativiti mereka seperti pembelaan nasib Bumiputera, pendaulatan Bahasa Melayu dan memartabatkan Agama Islam serta memperlihatkan wawasan keharmonian hak asasi manusia dan terus mentatangkan fitrah manusia sudah lama putus; dipupuskan oleh kepimpinan baru yang selama ini memang beriya-iya benar hendak menjual secara lelong Budaya Pesona Benda ini?

  7. Para penulis dan sasterawan perlu kembali kepada tonggak penulis dan kesasterawanan yang sebenar iaitu mematuhi pada realiti dalam penanggukan ilham dan cuba meleraikan realiti itu mengikut tuntutan yang sahih dan benar tanpa diganggui oleh rasa takut dan rasa bebal. Sekiranya para penulis dan para sasterawan tidak patuh kepada realiti dan cuba pula lari masuk ke dalam kepompongan idealisme-utopia masing-masing , maka lebih manislah kalau bukan lagi menggelarkan diri sebagai penulis dan sasterawan yang sebenar. Kelak generasi mendatang akan ketawa terbahak-bahak seperti mana sekarang ini pun khlayak kontemporari sedang ketawa terkekeh-kekeh kepada para wartawan jalanan yang begitu mudah pasrah diri untuk diperkakaskan oleh pihak-pihak yang berkuasa. Para penulis dan para sasterawan bukan perkakas sesiapa, kecualilah kalau para penulis dan para sasterawan dalam zaman Budaya Pesona Benda ini sudah mengisytiharkan makna diri sebagai para penulis dan para sasterawan perkakasan. Perkakasan memang ada peranannya tapi tak lebih sebagai perkakas saja. Dan perkakas di mana-mana pun akan dibuang bila tak berdaya menjadi perkakas lagi. Sejarah tidak pernah merakamkan kewujudan perkakas di mana-mana pun. Sekian.

    Sasterawan Negara Shahnon Ahmad



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com