Kepada:
Tuan Hj Mohd Adnan Bin Seman
Tim. Pengarah Pendidikan Islam
JAIS
Assalamu'alaikum
KEKESALAN TERHADAP PERTUKARAN GURU-GURU DI SELANGOR
Dengan hormatnya saya merujuk kepada satu mesej e-mel (di bawah ini) yang
diedarkan melalui Hizbinetwork. Setelah membaca mesej ini, saya merasa
terpanggil untuk bertemu dengan guru-guru terlibat. Dalam pertemuan dengan
salah seorang guru berkenaan, saya mendapati benarlah bahawa beliau serta
guru-guru lain telah mendapat arahan supaya berkhidmat di tempat yang jauh
dari tempat asal mereka dengan dengan gaji sekitar RM400. Apabila beliau
bertanya kepada pegawai JAIS, beliau menyatakan salah seorang pegawai JAIS
menunjukkan "surat" dari YB berkenaan "mengarahkan" supaya guru-guru
berkenaan ditukarkan.
2. Saya ingin menegaskan bahawa adalah amat malang dan amat memalukan bagi
sebuah institusi agama seperti JAIS yang terlalu mudah dipergunakan oleh
orang-orang politik yang mempunyai agendanya sendiri. Saya menyeru agar
tuan lebih bersikap profesional dalam pengurusan tuan dan tidak dipengaruhi
oleh sentimen dan tekanan politik.
3. Sesungguhnya gaji kakitangan kerajaan dibayar oleh rakyat dan rakyat
mahu melihat kakitangan kerajaan menjalankan kerja secara profesional,
cekap, amanah, dan adil . Malah gaji wakil-wakil rakyat juga dibayar oleh
rakyat dan bukan oleh mana-mana parti politik. Maka rakyat berhak mendapat
pembelaan dan kemudahan bukannya penindasan dan kerumitan. Umumnya
wakil-wakil rakyat yang menang dalam pilihanraya bukanlah wakil kepada
satu-satu parti politik tetapi wakil kepada rakyat seluruhnya bagi kawasan
yang dimenangi. Sesungguhnya wakil rakyat adalah wakil kepada rakyat bukan
wakil parti dan bukan wakil kerajaan semata-mata. Apa yang sedihnya ialah
ada sebahagain wakil rakyat yang tidak memahami bahawa gaji mereka dibayar
rakyat tanpa mengira parti, agama, dan keturunan.
4. Saya menyeru agar pihak JAIS menimbang semula keputusan memindahkan
guru-guru berkenaan termasuklah juga guru-guru di tempat lain dalam negeri
Selangor yang ditukarkan kerana "arahan" orang-orang politik Barisan
Nasional. Sekiranya perkara ini terus berlaku, maka percayalah masyarakat
tidak akan menghormati lagi JAIS serta pegawai-pegawai JAIS serta ahli-ahli
politik terlibat. Masyarakat akan melihat betapa JAIS dan pegawai-pegawai
JAIS serta institusi JAIS tidak profesional dan telus dalam pengurusannya.
Saya ingin mengingatkan diri saya dan diri tuan akan sabda Nabi Muhammad
saw yang bermaksud "Takutlah akan do'a orang yang kena zalim.
Sesungguhnya tidak ada hijab diantara do'a itu dengan Allah."
5. Semuga Allah memberkati pengurusan yang amanah dan adil.
Yang benar,
Supyan Hussin
(t.t. digital)
s.k. Hizbinetwork