KUALA LUMPUR, 1 Mac (Hrkh) - Harakah edisi Jumaat ini tidak dikeluarkan berikutan permohonan permit penerbitan Harakah masih belum diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Pengarah Urusan Harakah, Dato' Hishamuddin Yahya berkata, permit Harakah berakhir pada 28 Feb lepas dan Harakah masih belum mendapat apa-apa keputusan daripada KDN mengenai permit itu.
"Walaubagaimanapun, kami akan mencetak Harakah sekiranya permit penerbitan diberikan petang ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dua hari lepas, Harakah menghantar surat kepada KDN yang ditandatangani oleh Hishamuddin mengenai keputusan permohonan itu.
"Kami kesal dengan tindakan KDN kerana tidak memberikan apa-apa keputusan yang menyebabkan kesukaran kepada Harakah dan ahli-ahli PAS yang membeli Harakah," katanya.
Beliau menjelaskan, Harakah dinasihatkan oleh pegawai KDN agar tidak mencetak akhbar itu sehingga permit diluluskan oleh pihak mereka.
Ketika ditanya oleh pemberita samada Harakah akan mengambil apa-apa tindakan sekiranya permit akhbar itu tidak diluluskan, Hishamddin berkata, "itu terserah kepada Jawatankuasa (PAS) Pusat".
"Kami memohon maaf kepada pembaca Harakah dan pengedar berikutan kesukaran yang dihadapi ini," ujarnya.
Menurutnya, beliau tidak menjangka permit tidak dikeluarkan kerana kebiasaannya permit akan dikeluarkan pada saat-saat akhir.
"Kami tidak pasti samada ia sengaja dilewatkan atau ia disebabkan oleh pengurusan yang tidak efisien oleh KDN," katanya.
Harakah edisi Jumaat akan terus dikeluarkan di http://www.harakah.net atau http://www.harakah.com/ selepas ini.