Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

MENCARI HIKMAH DI SEBALIK SEKATAN HARAKAH

Sila lawat : Laman Minda Rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan apa jua hukuman yang dikenakan ke atas Harakah memang sudah dijangka oleh akhbar itu kerana 'kununnya' ia berkali-kali melanggar peraturan dan undang-undang.

Malah kata beliau, penerbit Harakah telah dipanggil dan diberitahu sebelum ini supaya jangan melanggar undang-undang seperti mengedarkannya kepada bukan anggota parti tetapi mereka terus menjualnya kepada orang ramai terutama semasa pilihan raya.

"Apabila seseorang atau sesuatu pihak melanggar undang-undang, ia seharusnya menjangka yang ia akan dihukum. Orang lain yang tidak melanggar undang-undang tidak dihukum. Undang-undang mesti dipatuhi sama ada seseorang itu daripada pembangkang atau kerajaan," kata beliau.

Dr Mahathir mendakwa hukuman itu tidak mencerminkan kerajaan bersikap berat sebelah kerana di Malaysia anggota kerajaanpun dihadapkan ke mahkamah, dituduh dan dihukum jika mereka melanggari undang-undang.

Demikianlah satu lagi episod kezaliman kerajaan BN di bawah pimpinan Dr. Mahathir. Jika tidak kerana kezaliman itu beliau tidak dipanggil Mahafiraun oleh rakyat di negaranya sendiri.

Berbalik kepada soal pengharaman Harakah, PAS kini perlu kembali merenung dan menilai di manakah kekuatan dan kelemahannya tanpa Harakah. Jika diimbas kembali menjelang pilihanraya umum lalu, Harakah begitu popular kerana liputan yang tepat dan ikhlas terhadap sesuatu berita. Larisnya jualan Harakah sehingga mencapai 300,000 naskah setiap keluarannya jika diukur masih belum cukup untuk menampung jumlah keahliannya yang kini mencecah 1 juta orang.

Dakwaan kerajaan BN dan Kementerian Dalam Negeri bahawa Harakah dijual kepada orang ramai tidak begitu tepat. Malahan tuduhan itu dibuat secara 'sembrono' dan disifatkan oleh ahli PAS peringkat bawahan sebagai alasan 'tangkap muat' untuk menyekat pengedaran Harakah.

Pengharaman pasti tidak akan dilakukan oleh KDN sebagai bukti mereka mengamalkan sikap tidak berat sebelah. Justeru itu UMno mengambil kesempatan di sebalik keizinan penerbitan Harakah 2 kali seminggu untuk menambahkan 'koleksi fitnah dan pembohongannya' dengan menerbitkan akhbar parti itu. Ertinya Umno mempunyai kekuatan dari segi bilangan akhbar.

Namun suratkhabar UMno seperti sampah dan layak dibuat bungkus nasi lemak kerana 'fitnah dan pembohongannya'. Rakyat alaf ini memiliki kemampuan daya fikir yang lebih terbuka dari terburu-buru menerima sesuatu berita tanpa menyelidikinya.

Kepada Harakah sudah pasti setiap rintangan dan cabaran yang ditempohinya itu ada jalan penyelesaiannya sendiri. Barisan Alternatif mesti bergerak kembali secara cergas, secara kolektif. Jika PAS diberi keizinan mengeluarkan akhbarnya secara dwi bulanan, UMno mengikut jejak itu. Namun bagaimana pula Parti KeADILan Nasional, DAP dan PRM? Sesuatu mesti difikirkan untuk kebaikan bersama.

Empat parti yang bergabung dalam Barisan Alternatif sudah semestinya mempunyai caranya tersendiri untuk mengatasi masalah pengeluaran, penerbitan dan pengedaran akhbar parti masing-masing. Sementelahan dalam satu aliran perjuangan Harakah nampaknya mesti mengetuai satu misi baru dalam jalinan informasi bagi ke empat-empat parti itu.

Kemerosotan sambutan akhbar PRM dan DAP mungkin kali ini akan bertukar hangat semula jika satu gabungan jalinan informasi diwujudkan antara sesama mereka. Bilangan 300,000 naskah mungkin akan menjadi lebih yang bakal menampong keperluan ahli BA yang kini melebihi 4 juta orang. Ketika ini Harakah memerlukan lebihan pengeluaran kerana sambutan terhadap akhbar itu pasti kembali hangat.

Selain itu PAS juga mesti mengorak langkah dengan mengembangkan unit ITnya sendiri. Mewajibkan setiap cawangan memiliki satu unit komputer dengan multimedia adalah langkah positif ke arah ini. Berkongsi akaun internet bagi beberapa cawangan dalam setiap kawasan juga adalah penyelesaian 'segera' bagi menampong jalinan maklumat sementara Harakah dalam proses pemulihannya.

Sekatan hanya berupa hukuman singkat yang terdaya dilakukan oleh kepimpinan UMno dan BN bagi menyekat penyebaran maklumat di antara kepimpinan dan para ahlinya. Usaha merenggangkan kepimpinan dengan para ahli memang sudah menjadi agenda kotor kerajaan BN yang berselindung di sebalik KDN sejak sekian lama.

Bagaimana pun sesebuah akhbar yang jelas dasar perjuangannya akan sentiasa dirindui oleh rakyat marhain negara ini. Sekatan itu juga bukan bermakna mereka mampu menyekat kebebasan berfikir rakyat tentang segala dasar yang zalim lagi menzalimi. Sebaliknya sekatan merupakan satu 'ledakan' pencetus semangat jihad yang kadangkala dingin bersama runtunan tuntutan katogeri iman seseorang.

Justeru itu usahlah mengeloh dan berdukacita mengenangkan tragedi yang menimpa. Mari kita bersyukur melafazkan kerendahan budi dan ketinggian iman kita kepada Ilahi, mudah-mudahan yang hilang akan berganti dengan sesuatu yang lebih baik lagi.

Minda Rakyat

Sila lawat : Laman Minda Rakyat



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com