Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

KEADILAN SERAH PERMOHONAN TERBITKAN LIDAH RASMI

KUALA LUMPUR, 15 Mac - Parti Keadilan Nasional (Keadilan) hari ini menyerahkan permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menerbitkan lidah rasmi parti itu "Berita Keadilan."

Presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata borang permohonan serta dokumen berkaitan bagi mendapatkan permit percetakan diserahkan oleh anggota editorial yang diketuai Ketua Penerangan parti Ruslan Kassim.

Ketika bercakap pada persidangan media di ibu pejabat parti itu di sini, beliau berharap permohonan itu akan diluluskan sesuai dengan jaminan kerajaan baru-baru ini bahawa semua parti politik akan dibenarkan menerbit lidah rasmi parti masing-masing sebanyak dua kali sebulan.

Katanya selain pelbagai kegiatan parti, lidah rasmi itu juga akan memperuntukkan ruang bagi berita dalam dan luar negara serta artikel yang disumbangkan oleh pelbagai pihak.

Dr Wan Azizah berkata buat permulaan Berita Keadilan yang akan diterbitkan secara dwi-bahasa -- bahasa Melayu dan bahasa Inggeris -- akan dicetak antara 25,000 dengan 30,000 naskhah.

Katanya ia akan dijual pada harga RM2.50 senaskhah di pejabat Keadilan di seluruh negara dan secara langganan.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com