Parti KeADILan Nasional ingin menarik perhatian rakyat Malaysia dan
pihak berkuasa perihal pengalaman dan layanan buruk yang dialami oleh
sebilangan rakyat Malaysia yang ditahan dan dihantar pulang dari Mekah
kerana didakwa tidak mempunyai visa haji yang sah. Peristiwa ini
berlaku pada bulan Februari 2000.
Sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap
kebajikan rakyat Malaysia yang merantau demi tujuan agama terutamanya
golongan warga tua, kami merasa amat sedih dan bersimpati di atas
layanan buruk terhadap rakyat Malaysia yang ditahan oleh pihak
Imigresen Arab Saudi di Jeddah.
Parti KeADILan Nasional ingin mengemukakan fakta dan pengalaman buruk
yang amat menyedihkan yang dialami oleh 264 orang warga tua lelaki dan
perempuan di Kem Tahanan Imigresen Arab Saudi di Jeddah selama lebih
dari 3 minggu:
1.. Semasa operasi penangkapan yang dilakukan oleh pihak berkuasa
Arab Saudi di kawasan Darul Salam, Mekah, telah dilaporkan bahawa ada
rakyat Malaysia yang diikat, dipukul dengan cotar, ditendang sehingga
cedera parah di bahagian mulut, hidung dan muka
2.. Warga tua rakyat Malaysia yang ditangkap dalam operasi tersebut
telah dipaksa dan dibebankan untuk membayar kos pengangkutan sebanyak
Ry40 seorang dan bayaran Ry10 untuk setiap beg bagi perjalanan dari
Mekah ke Kem Tahanan di Jeddah
3.. Beg dan barangan warga tua Malaysia yang diangkut dari Mekah
tidak dikembalikan kepada tuan punya sesampai di Jeddah dan dilaporkan
hilang menyebabkan mereka kehilangan wang dan barangan berharga yang
disimpan di dalam beg-beg tersebut. Ada di kalangan mereka yang pulang
ke Malaysia sehelai sepinggang.
4.. Di dalam Kem Tahanan, warga tua Malaysia telah menerima layanan
yang buruk yang boleh dikatakan sebagai "pelarian" di negara orang lain:
a.. Warga tua Malaysia tidak mendapat makanan yang cukup kerana
mereka tidak berdaya untuk berebut mendapatkan makanan yang disediakan
yang sememangnya tidak cukup untuk semua yang ditahan. Ada di kalangan
mereka yang tidak makan lebih dari sehari
b.. Bekalan air di Kem Tahanan adalah terhad dan cuma disalurkan
selama sehari dan terputus selama 2 hari kemudian. Begitulah setiap
minggu, warga tua Malaysia terpaksa melalui keadaan yang menyeksakan
tanpa air yang mencukupi.
c.. Keadaan tandas yang cukup jijik dan tidak berpintu. Hanya 10
buah tandas untuk menampung lebih dari 600 orang
d.. Warga tua yang kebanyakannya dalam keadaan yang tidak sihat dan
tidak berupaya terpaksa tidur di atas simen yang sejuk dan dengan
nyamuk yang banyak pada malam hari
e.. Tiada bekalan ubatan diberikan kepada warga tua yang menghadapi
masalah kesihatan yang amat membimbangkan seperti lelah dan sesak nafas
f.. Ada di kalangan warga tua yang hilang ingatan, menangis
sepanjang hari dan sebagainya kerana tidak tahan menanggung penderitaan
di kem tersebut.
1.. Pihak Konsulat Malaysia Arab Saudi dilaporkan oleh rakyat
Malaysia yang tidak bernasib baik ini sebagai tidak bertanggungjawab
untuk menjaga hal-ehwal rakyat Malaysia di Kem Tahanan Jeddah. Beliau
dikatakan cuai dalam menjalankan usaha bagi mempercepatkan proses
penghantaran balik warga tua Malaysia yang ditahan.
2.. Setelah 11 hari berada di Kem Tahanan, barulah pihak Konsulat
memberi borang imigresen "hantar-balik" untuk diisi oleh warga tua
Malaysia. Ramai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tersebut menyatakan
bahawa borang imigresen "hantar-balik" yang sepatutnya diberikan
percuma telah dikenakan bayaran Ry50 seorang. Mengapa begitu lambat
pihak Konsulat menjalankan tugas atau mengambil tindakan? Mengapa
dibiarkan warga tua melalui penderitaan sedemikian rupa di Kem Tahanan?
Mengapa warga tua dieksploitasi dengan mengenakan bayaran bagi
borang-borang kosong yang sepatutnya diberikan percuma?
3.. Ramai rakyat Malaysia yang bernasib malang itu mengadu bahawa
tiket asal untuk pulang yang dimiliki oleh mereka telah diminta oleh
pihak Konsulat untuk urusan imigresen tetapi tidak diserahkan kembali
malah dilaporkan kepada mereka sebagai hilang. Mereka percaya bahawa
kemungkinan ada pakatan jahat untuk menjual balik tiket-tiket asal,
menipu jemaah warga tua dan mengaut keuntungan untuk pihak tertentu.
4.. Borang imigresen "hantar-balik" yang telah diisi oleh warga tua
yang telah diserahkan kepada pihak Konsulat telah disimpan dan tidak
diserahkan terus kepada Jabatan Imigresen Arab Saudi untuk
mempercepatkan proses penghantaran pulang.
5.. Jemaah warga tua terpaksa mendapat pertolongan dari Konsulat
negara jiran yang bukan Islam dan pihak Saudi Air untuk berurusan
dengan pihak Imigresen Arab Saudi agar mendapat penerbangan balik
secepat mungkin.
10) Menurut warga tua tersebut, pihak Konsulat yang datang mengunjungi
mereka adalah sekadar bertanya kosong serta memarahi mereka dan tidak
mengambil sebarang tindakan susulan untuk membawa pulang dengan segera
jemaah yang ditahan.
11) Sehingga kini terdapat 28 orang warga tua yang kesemuanya perempuan
yang masih lagi ditahan di Jeddah dan tidak diketahui bila mereka ini
akan dihantar pulang ke tanahair.
Dengan ini Parti KeADILan Nasional melancarkan Memorandum Bantahan di
atas penganiayaan yang dialami oleh rakyat Malaysia yang telah dihantar
pulang oleh Kerajaan Arab Saudi semasa musim haji tahun 1420 H.