Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Kini 106 - Ancaman Terbaru Kerajaan BN

Tidak lama dahulu pelajar universiti, profesor dan pensyarah IPT, guru sekolah, imam, pendakwa bebas dan ulamak menjadi musuh pemimpin-pemimpin UMNO dan BN. Sekarang pekerja bank pula menjadi ancaman.

Jadi apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Melaka pimpinan Ali Rustam sungguh memalukan. Kerana beberapa orang pekerja bank menyokong parti pembangkang, maka Kerajaan Melaka bertindak sewenang-wenang mengeluarkan wang simpanan tetapnya di dua buah bank berkenaan. Yang jadi mangsa bank tersebut. Politik sudah menyerap ke sektor perbankan. Begitu juga, mana-mana kontraktor, jurukur, dan firma guaman di Melaka yang menyokong pembangkang, mereka akan disenaraikan oleh Ali Rustam. Kemudian, segala kontrak dengan mereka akan ditamatkan. Yang amat membimbangkan Mahathir membayangkan bahawa kerajaan Pusat mungkin mengikut contoh buruk yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Hang Tuah itu.

Nampaknya kerajaan BN zaman Mahathir bermusuh dengan semua golongan. Dulu kerajaan berlawan dengan golongan komunis. Apabila Kerajaan BN telah berdamai dengan Parti Komunis Malaya (PKM), BN mencari musuh baru pula. Sekarang Kerajaan BN bergaduh dengan golongan Islamis, reformis, aktivis, para pelajar universiti, dan pejuang-pejuang hak asasi. Pada awal tahun 80an, Mahathir menjadi sedikit progresif apabila bergadung dengan golongan feudalis tradisi. Tetapi kini Mahathir pula yang menjadi kepala feudalis baru.

Politik Momok dalam UMNO

Kerajaan BN selalu menggunakan Peristiwa 13 Mei 1969 untuk menakutkan rakyat. Tujuannya supaya rakyat terus menyokong BN. Ia digunakan lagi dalam pilihanraya umum yang lalu. Tetapi dalam UMNO, Peristiwa 13 Mei tidak digunakan. Mungkin tidak relevan. Sebab UMNO juga didakwa bertanggungjawab mencetuskan tragedi huruhara itu.

Jadi pemimpin UMNO menggunakan peristiwa tahun 1987 di mana Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Mahathir dan akhirnya UMNO pecah dua dan diharamkan di mahkamah. Kisah Parti Semangat 46 yang sudah jadi arwah itu pun ditayangkan semula. Peristiwa itu dihidupkan semula oleh TV3. Tujuannya untuk menakut-nakutkan atau memomok-momokkan ahli-ahli UMNO. Muslihatnya supaya ahli-ahli UMNO jangan mencalonkan Ku Li bagi mencabar jawatan Presiden UMNO yang disandang orang nombor satu sekarang. Hal ini disiarkan dalam Buletin Utama TV 3 pada malam 16hb Mac. Ia sengaja ditayangkan kerana pada har Ahad ini berpuluh bahagian UMNO di seluruh negara akan mengadakan mesyuarat masing-masing.

Di Indonesia dulu, selama hampir 30 tahun Suharto juga menggunakan politik momok macam UMNO. Suharto mengggunakan momokan Partai Komunis Indonesia (PKI) untuk menakut-nakutkan 200 juta rakyat Indonesia. Sesiapa sahaja yang menentang atau mengkritik Suharto lalu sewenang-wenang dituduh bersubahat dengan PKI atau cuba menghidupkan PKI. Tetapi akhirnya rakyat Indonresia tidak peduli. Reformasi dilancarkan seperti gelombang dan Suharto tumbang.

Politik dwi-standard dalam UMNO

Kasihan Muhyiddin Yassin. Dia mahu mengadu kepada Mahathir kerana dakwaannya ada golongan di Johor telah mengarahkan 16 daripada 20 bahagian UMNO di negeri Darul Takzim itu supaya menghalang pencalonannya sebagai Naib Presiden UMNO. Sebaliknya hanya nama Ghani Osman dicalonkan.

Mahathir minta bukti dari Muhyiddin kalau ada arahan seperti itu. Muhyiddin Yassin kata arahan seumpama itu tidak demokratik. Bekas Menteri Besar Johor itu mahu mengadu pada Mahathir. Tetapi masakan Muhyiddin telah lupa, Mahathir sendiri yang jadi ketua UMNO telah keluarkan satu arahan yang tidak demokratik. Arahan lebih jelas telah dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi UMNO yang menghalang bahagian-bahagian mencalonkan nama lain kecuali Mahathir sebagai Presiden UMNO. Jadi UMNO pakai berapa standard atau piawaian? Yang mana satu Muhyiddin boleh percaya? Bagi jawatan Naib Prseiden sebarang bentuk larangan atau arahan menyekat pencalonan tidak dibenarkan tetapi bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden boleh.

Rafidah, Imelda dan Tutut

Rafidah mendapat pencalonan yang terbanyak setakat ini berbanding pemegang jawatan Ketua Wanita, Zaharah Sulaiman. Ruangan kartun "Senyum Kambing" di Utusan Malaysia berkata Rafidah bangkit mencabar sebagai Mike Tyson, peninju ganas itu. Orang masih ingat pada Mike Tyson. Dia telah menggigit telinga Hollyfield apabila kalah bertinju. Kita harap Rafidah tidak ikut jejak Mike Tyson menggigit telinga lawan ketika bertanding.. Kalau Zaharah hulur salam kali ini, harap Rafidah sambut salam itu. Jangan buat macam dulu.

Jika Rafidah menang jadi Ketua Wanita UMNO, maka UMNO akan semakin dibenci. Jika Mahathir membawa imej autokrasi dan kuku besi, Rafidah Aziz pula membawa imej rasuah (kes saham menantu). Imej Rafidah pada mata rakyat umum ialah angkuh. Dia juga dilihat sebagai kroni kepercayaan Mahathir. Ini meningatkan orang kepada Imelda Marcos dan Tutut Suharto. Imelda adalah isteri Persiden Marcos. Dia merupakan wanita yang dibenci oleh rakyat Filfina kerana rasuah, membazir dan bermewah-mewah. Imelda juga dijadikan menteri oleh Marcos. Manakala Tutut pula adalah anak perempuan Suharto yang mengaut banyak kontrak penswastaan di Indonesia. Dia juga diangkat menjadi menteri oleh Suharto. Manakala, Rafidah Aziz, walaupun bukan isteri atau anak perempuan Mahathir tetapi dia adalah menteri wanita yang paling lama dan berpengaruh di dalam kabinet Mahathir.

Rahim Noor, Pribowo, Fabien Ver

Rahim Noor bekas Ketua Polis Negara Malaysia pukul bekas TPM Malaysia Anwar Ibrahim ketika berada dalam tahanan polis. General Pribowa, menantu Suharto terlibat dalam kes-kes penculikan dan pembunuhan para pejuang dan aktivis di Indonesia. Wiranto, bekas Panglima ABRI Indonesia dituduh menindas rakyat Timor Timur. Manakala General Fabien Ver, Ketua Turus Tentera Filipina dikatakan terlibat dalam pembunuhan tokoh pembangkang, Ninoy Aquino. Di tiga buah negara Asean ini (Filipina, Indonesia dan Malaysia ) nampaknya ketua polis atau tentera masing-masing melakukan pelbagai kesalahan jenayah (pukul, culik dan membunuh) ke atas penentang-penentang para diktator yang sedang berkuasa. Marcos telah tumbang. Di Indonesia, Suharto telah jatuh. Sekarang tinggal Mahathir sahaja yang sedang berpaut di dahan rapuh.

Mat Despatch
http://www.egroups.com/group/kini-malaysia/



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com