Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Kini 107 - 7 Pejuang Kebebasan Akhbar

Tujuh orang didakwa kerana menyertai himpunan di Masjid Negara pada 11 Mac lalu. Mereka ialah R Sivarasa, Zulkifli S M Anwaralhaque (Zunar), Abd Malek Hussain, Tan Soi Kow, Hishamuddin Rais, Monashofian Putra Zulkarnain Putra dan Norazinah Mohamad Nor. Mereka didakwa menyertai perhimpunan haram bagi membantah arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya Harakah dikeluarkan dua kali sebulan dan bukan lagi dua kali seminggu seperti sebelum ini.

Ramai orang boleh menulis atau bercakap tentang kebebasan akhbar. Tetapi tidak ramai orang sanggup ke depan mempertahankan kebebasan akhbar. Kerana hukumannya denda atau penjara. Jadi apa yang berlaku ke atas tujuh orang yang didakwa itu besar maknanya. Kecuali Zunar yang menjadi pelukis kartun di akhbar Harakah, dan tidak dipastikan sama ada beliau seorang anggota PAS, tetapi yang jelasnya enam orang lain yang turut didakwa itu bukannya anggota PAS. Antara mereka itu ada yang terdiri daripada ahli Parti Keadilan Nasional, PRM dan ada yang tidak menganggotai mana-mana parti politik. Tetapi kerana prinsip kebebasan bersuara, mereka tampil mempertahankan kebebasan Harakah, akhbar terbitan PAS.

Apa yang berlaku ke atas Harakah, bukan masalah PAS sendirian. Arahan KDN itu jelas sekali bertentangan dengan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan negara ini. Dalam keadaan media arus perdana semuanya dikongkong dan dikuasai oleh UMNO dan BN maka Harakah menjadi satu-satunya akhbar yang dapat berperanan sebagai media alternatif.

Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi bertindak licik seperti kancil. Dia tidak mengharamkan terus Harakah. Pengharaman Harakah secara total akan membangkitkan kemarahan rakyat secara lebih meluas, seperti marahanya rakyat Indonesia apabila majalah Tempo dan Detik diharamkan Suharto di Indonesia dulu. Jadi Harakah dibenarkan terbit sebulan dua kali sahaja. Kesannya sudah nampak sekarang. Rakyat tidak dapat mengikuti perkembangan semasa seperti sebelumnya. Akhbar-akhbar lain kebanyakannya membawa pandangan UMNO dan BN sepihak sahaja. Selain itu, ruangan Diari di dalam Harakah sebelum ini sangat popular kerana ia menyenaraikan segala aktiviti terutama ceramah Pas dan Barisan Alternatif di seluruh negara. Sekarang banyak aktiviti Barisan Alternatif ataupun PAS tidak mendapat siaran publisiti terkini seperti sebelumnya. Kehadiran di dalam sesuatu ceramah sekarang terjejas kerana ramai yang tidak mendapat makluman. UMNO dan BN berjaya dalam hal ini sekurang-kurang untuk menggangu rentak aktiviti Barisan Alternatif dan PAS.

Jadi, mereka bertujuh yang didakwa di bawah Seksyen 27(8) Akta Polis 1967 yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun dan denda minimum RM 2000 dan maksimum RM 10000 adalah pejuang sebenarnya. Mereka memperjuangkan satu prinsip penting dalam masyarakat bertamadun dan demokratik iaitu kebebasan akhbar.

Malam Wartawan dan Penyampaian Hadiah

Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah berucap di malam Wartawan dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan anjuran Institut Akhbar Malaysia di Kuala Lumpur pada Jumaat 17 Mac. "Kerajaan tidak pernah mengarahkan media negara ini supaya tidak mengkritiknya kerana menyedari pemerintah yang tidak dapat menerima kritikan akhirnya akan terpisah daripada realiti dan hati rakyat," kata Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi apa yang TPM cakap itu berbeza sekali dengan apa yang beliau lakukan. Sekatan demi sekatan ke atas Harakah adalah satu contoh bahawa kerajaan tidak dapat menerima kritikan. Setiap kritikan dianggap fitnah.

Dalam isu sekatan ke atas Harakah, amat mendukacitakan kerana akhbar-akhbar arus perdana kelihatan seolah-olah berdiam diri apabila Harakah dikenakan tindakan yang tidak demokratik itu. Kalangan wartawan keseluruhannya tidak menunjukkan sikap solidariti dengan Harakah. Masing-masing "seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing". Malah lebih teruk kerana ada yang bersekongkol dengan pihak pemerintah menekan Harakah.

Melan Tokoh Wartawan Negara?

Tan Sri Melan Abdullah telah dianugerahkan Tokoh Wartawan Negara 1998. Hadiah disampaikan oleh Abdullah Ahmad Badawi. Melan 81 tahun adalah bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Beliau memegang jawatan pada tahun 60-an dan bersara pada 1974.

Ketika Abdullah Ahmad Badawi menyekat kebebasan akhbar dengan tindakan ke atas Harakah, TPM menghina terus prinsip kebebasan akhbar itu dengan menyampaikan anugerah kepada Melan Abdullah. Siapa Melan itu? Beliau adalah tokoh UMNO yang terlibat pada pertengahan tahun 60-an dalam satu konspirasi kerajaan UMNO/Perikatan untuk menguasai akhbar Utusan Melayu. Akhbar Utusan Melayu adalah sebuah akhbar yang ditubuhkan oleh tokoh-tokoh wartawan Melayu dengan sokongan masyarakat Melayu. Utusan Melayu itu pada asalnya adalah sebuah akhbar yang bebas yang sejak penubuhannya meniupkan semangat perjuangan untuk kemerdekaan tanahair dari penjajahan Inggeris. Utusan Melayu yang dipelopori oleh Ishak Hj Muhmaad, Abd Samad Ismail, Abd Rahim Kajai, Yusuf Ishak dan lain-lain mempunyai iltizam untuk membangunkan bangsa Melayu dan membebaskan Malaya termasuk Singapura dari penjajahan. Selepas merdeka, Kerajaan UMNO/Perikatan yang dipimpin oleh Tunku Abd Rahman telah melancarkan kempen untuk mengambilalih pengurusan Utusan Melayu. Tindakan itu telah ditentang oleh wartawan-wartawan dan pekerja di Utusan Melayu seperti Said Zahari yang menjadi Ketua Pegarang, Usman Awang, Tajuddin Kahar dan ramai lagi. Satu mogok besar-besaran oleh pekerja Utusan Melayu yang panjang dan heroik telah dilancarkan selama 100 hari. Tetapi akhirnya perjuangan mereka untuk mempertahankan kebebasan Utusan Melayu menemui kekalahan di tangan kerajaan yang berkuasa ketika itu.

Kerajaan UMNO/Perikatan pimpinan Tunku berjaya mengambilalih Utusan Melayu. Sejak itu Utusan Melayu dikuasai oleh UMNO hingga sekarang. Orang yang diangkat oleh Tunku untuk menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu menggantikan Said Zahari sebaik sahaja ia dikuasai oleh UMNO ialah Melan Abdullah. Sejak itu Utusan Melayu berkhidmat untuk segolongan mereka yang berkuasa di dalam UMNO dan kerajaan BN. Utusan Melayu tidak lagi berkhidmat kepada seluruh kepentingan masyarakat Melayu seperti sebelumnya ketika ia diasaskan.

Mat Despatch
http://www.egroups.com/group/kini-malaysia/



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com