Parti Nasionalis yang telah memerintah Taiwan selama 50 tahun akhirnya tewas dalam pilihanraya Presiden Sabtu lepas. Calon Parti Nasionalis, Lien Chan menduduki tempat ketiga dengan 23 peratus. Pilihanraya itu dimenangi oleh calon pro-kemerdekaan Chen Shui-bian daripada Parti Progresif Demokratik (PPP) dengan 39 peratus. Tempat kedua, calon bebas, James Soong.
Punca kekalahan Parti Nasionalis pimpinan Lee Teng-hui itu banyak. Tetapi antara sebab terbesar ialah kerana rakyat Taiwan sudah bosan dengan pemerintahan Parti Nasionalis. Pemimpin-pemimpin parti itu ramai yang terlibat dengan rasuah, skandal seks dan kegiatan jenayah. Selain itu berlaku perpecahan di dalam Parti Nasionalis itu sendiri.
Di Malaysia, UMNO juga sebuah parti nasionalis. UMNO dan 13 buah parti lain telah bergabung di dalam Barisan Nasional(BN). Pada asalnya gabungan itu dipanggil Perikatan yang mempunyai tiga parti komponen sahaja iaitu UMNO, MCA dan MIC. Sejak tahun 1974 Perikatan dibesarkan menjadi Barisan Nasional.
BN telah memerintah negara ini hampir 43 tahun, sejak merdeka. Banyak parti di dunia ini walau sekuat dan sebesar mana pun, akhirnya pada satu hari akan dapat ditumbangkan oleh rakyat sekiranya rakyat bangun menuntut perubahan atau reformasi. Isu kemarahan rakyat sepeti rasuah, penyalahgunaan kuasa, nepotisme dan kronisme berleluasa di Malaysia.
Rakyat tidak memaafkan begitu sahaja akan sikap Peguam Negara, Mohtar Abdullah yang menutup kes Rafidah Aziz sedangkan Peguam Negara yang sama telah menyatakan pada tahun 1995 bahawa terdapat kes "prima facie" atau bukti kukuh bahawa Rafidah telah melakukan perbuatan rasuah berhubung kes saham kepada menantunya. Begitu juga rakyat tidak dapat memaafkan rasuah yang berlaku dalam kes Perwaja dan kes-kes melibatkan Menteri Kewangan, Daim Zainuddin berhubung dia menerima sumbangan wang dan saham daripada tiga orang tokoh korporat (Tajuddin Ramli, Halim Saad dan Wan Azmi). Begitu juga, biar BPR tidak mahu mengambil tindakan ke atas kes rasuah Rahim Thamby Chik, tetapi itu tidak bermakna kes itu tutup begitu sahaja pada mata rakyat.
Fail rasuah BPR boleh ditutup. Tetapi fail di hati rakyat tetap terbuka selama-lamanya selagi keadilan undang-undang tidak ditegakkan.Ini isu moral bukan legal semata-mata. Akan sampai masanya rakyat Malaysia akan bertindak seperti rakyat di negara lain juga iaitu menolak sebuah pemerintahan yang rasuah dan kotor.
Parti Kongres di India tumbang selepas berkuasa lebih 40 tahun sejak India merdeka. Parti Liberal Demoktarik Jepun (LDP) juga tumbang dalam pilihanraya beberapa tahun lalu setelah memerintah Jepun lebih 40 tahun sejak tamat perang Dunia Kedua. Kemudian menyusul kekalahan Parti Nasionalis di Taiwan yang telah memerintah selama setengah abad.
Jadi ini adalah satu peringatan kepada Barisan Nasional bahawa sekiranya tidak ada perubahan atau reformasi di dalam parti itu, khususnya UMNO yang menjadi tunggak BN, maka akan sampai pada satu ketika rakyat akan menolak UMNO bersama-sama BN sekaligus. Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi tidak berminat membuat reformasi di dalam UMNO.
Mat Despatch
http://www.egroups.com/group/kini-malaysia/