Monopoli UMNO ke atas politik orang Melayu sudah dapat dipecahkan. Itulah hakikatnya sekarang. Keputusan pilihanraya umum November lalu sebagai buktinya. Dua negeri yang penduduknya majoriti Melayu iaitu Kelantan dan Trengganu telah dikuasai oleh PAS, sebuah parti Islam yang menjadi saingan terdekat bagi UMNO sejak tahun 1951 lagi. Dewan Undangan Negeri Kedah, Perlis, Pahang, Perak dan Selangor sudah ditembusi oleh PAS. Hakikat ini amat membimbangkan kepimpinan UMNO.
Persediaan Menjelang Perhimpunan
Pada 11 Mei ini UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agungnya. Dalam Perhimpunan ini akan diadakan pemilihan ahli Majlis Tertinggi termasuk Presiden, Timbalan Presiden. Pada tahun 1969 dahulu, Tunku Abdul Rahman terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO kepada Tun Abd Razak apabila UMNO kalah besar dalam pilihanraya 1969. Mahathir menjadi tokoh paling lantang dalam UMNO ketika itu untuk menjatuhkan Tunku. Dalam pilihanraya 10 Mei 1969 itu, Tunku menang di kawasan parlimennya Kuala Kedah dengan majoriti yang kecil sekadar 3,000 undi sahaja. Manakala Mahathir Mohamad yang menjadi calon UMNO di Parlimen Kota Setar kalah kepada Haji Yusof Rawa.
Sejarah Berulang Semula
Tiga puluh tahun kemudian, iaitu pada pilihanraya 29 November 1999, UMNO sekali lagi kalah besar. Apabila UMNO kalah besar maka PAS menang besar. Mahathir menang di Parlimen Kubang Pasu dalam pilihanraya baru-baru ini dengan undi majoriti yang merosot berbanding tahun 1995. PAS yang mempunyai dua orang Ahli Dewan Undangan sebelum itu telah meningkatkan jumlah ADUNnya kepada 12. Jumlah Ahli Parlimen PAS di Kedah melebihi ahli Parlimen UMNO itu sendiri. PAS 8 orang manakala UMNO/BN 7 orang. Ini semua berlaku di Kedah, iaitu negeri yang menjadi tapak atau asas politik Mahathir. Jika di negerinya sendiri, UMNO mulai ditolak rakyat Melayu, di manakah Mahathir dapat meletakkan mukannya.
Mengalihkan Perhatian
Jadi untuk mengalihkan perhatian ahli-ahli UMNO ke Perhimpunan Agung pada Mei depan dari mempersalahkan Mahathir tentang prestasi buruk UMNO dalam pilihanraya yang baru berlalu ini, maka dengan sengaja ditimbulkan isu yang bukan isu iaitu soal perpecahan Melayu. Ahli-ahli UMNO, dan kalau boleh rakyat Melayu keseluruhannya cuba diajak dan dipengaruhi oleh media massa UMNO khususnya Utusan Melayu supaya percaya bahawa PAS adalah parti yang bertanggungjawab tentang perpercahan orang Melayu itu. PAS dituduh membawa politik agama yang melampau, seperti kata Rais Yatim. Dengan adanya isu perpecahan Melayu ini, maka kedudukan Mahathir sebagai Presiden UMNO akan dapat diselamatkan dari kecaman oleh para perwakilan UMNO dalam perhimpunan itu nanti. Mahathir tidak mahu berlaku ke atasnya seperti apa yang terjadi kepada Tunku Abd Rahman 30 tahun lalu. Mahathir telah mengambil langkah menyediakan payung sebelum hujan.
Perhimpunan Membelasah PAS
Lihatlah nanti, PAS akan dijadikan objek yang akan dibalun dan dibelasah oleh Mahathir dalam Perhimpunan Agung UMNO itu. Kemudian para pemimpin UMNO yang lain, besar dan kecil akan mengikut rentak dan tari Mahathir. Apabila semua telah ghairah membelasah PAS maka adalah alasan dan sebab mengapa kerajaan patut bertindak ke atas parti PAS itu, misalnya akan ada desakan supaya PAS dilarang menggunakan nama Islam dalam parti itu. Sekarang Mahathir dan para pemimpin UMNO telah melobi dan mengugut Raja-Raja Melayu supaya turut terlibat bertindak ke atas PAS.
Benarkah Melayu Berpecah
Tuduhan para pemimpin UMNO bahawa orang Melayu berpecah adalah tidak benar. Bukan orang yang Melayu berpecah. Apa yang berlaku ialah sebahagian besar orang-Melayu telah menolak UMNO dalam pilihanraya yang lalu. UMNO yang selama ini selesa dengan sokongan bulat orang Melayu itu menjadi terkejut apabila melihat sokongan kepadanya merosot begitu tiba-tiba. Lalu dikatakan orang Melayu berpecah.
Yang berpecah sebenarnya ialah UMNO itu sendiri. Tengku Razaleigh Hamzah yang kembali semula ke dalam UMNO pada tahun 1996 dengan alasan perpaduan Melayu dan sanggup membubarkan Parti Melayu Semangat 46, kini merupakan pencabar utama kepada Mahathir. Orang-orang Semangat 46 yang berada di dalam UMNO cuba menaikkan semula Tengku Razaleigh. Tetapi usaha mereka setakat ini tidak berjaya terutama dengan adanya arahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak ditandingi.
UMNO Marah Kalah di Kelantan dan Trengganu
Sepatutnya dengan kembali semula Tengku Razaleigh Hamzah ke dalam UMNO, parti itu akan dapat merampas semula kerajaan Kelantan dari PAS sebab kekuatan UMNO (Baru) berpadu dengan Parti Semangat 46, secara matematiknya akan melebihi kekuatan PAS. Tetapi kekuatan di atas kertas itu tidak menjadi kenyataan di atas bumi politik yang sebenarnya. Kesemua calon parlimen UMNO di Kelantan kalah, kecuali di Gua Musang yang dipertahankan oleh Tengku Razaleigh. Mustafa Mohamad, Annuar Musa dan Ibrahim Ali, kesemuanya kalah.
Apabila Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO
UMNO menjadi semakin lemah apabila Anwar Ibrahim dipecat dari parti itu dan sekarang dibicara serta dipenjarakan. Penyokong-penyokongnya telah keluar dari UMNO dan bergerak dalam Parti Keadilan Nasional (keADILan). ABIM, semasa Anwar di dalam Kerajaan dan UMNO merupkan badan Islam yang berpengaruh dan bergerak di seluruh negara. ABIM membantu UMNO memberi wajah Islam akan kerajaan UMNO pimpinan Mahathir. Dengan ABIM sekarang terpinggir dari UMNO dan pemimpin-pemimpin serta ahlinya berada di dalam parti Keadilan atau menjadi simpatisan kepada parti itu, jadi UMNO kelihatan telanjang dari sebarang tabir Islam yang dapat membantu membalut tubuh sekularnya.
Keadaan UMNO bertambah buruk
Kezaliman yang dilakukan oleh para pemimpin kanan UMNO ke atas Anwar Ibrahim telah menimbulkan kemarahan rakyat Melayu. Perbuatan Mahathir dan konco-konconya mengaibkan Anwar, mencederakan tubuh badannya, memfitnah dengan segala tuduhan yang jahat dan direka-reka itu menjadikan rakyat Melayu, khususnya hilang kesabaran terhadap UMNO. Parti UMNO yang dipimpin Mahathir itu dilihat oleh rakyat Melayu sebagai sebuah parti politik yang hanya kenal kuasa dan kekuasaan. Segala institusi undang-undang dan kehakiman dijadikan perkakas sahaja untuk menjamin kekuasaan dapat terus dipertahankan.
Dalam masa yang sama para pemimpin UMNO yang lain kelihatan melakukan rasuah demi rasuah dan salahguna kuasa. Mereka ini terlepas dari tindakan undang-undang. Kes-kes rasuah Daim Zainuddin, Rafidah Aziz dan Rahim Thamby Chik menjadikan imej UMNO semakin buruk pada mata rakyat Melayu.
PAS jadi Sasaran
PAS bukan sebuah parti Melayu Islam yang baru ditubuhkan. Sebelum merdeka lagi, PAS telah wujud dan memberi saingan terhadap UMNO. UMNO kalah dalam pilihanraya umum yang lalu bukan kerana fatwa-fatwa yang dikatakan dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin PAS itu. Sebaliknya bersama-sama parti-parti lain (PRM, keADILan dan DAP) dalam Barisan Alternatif, PAS telah menjadikan isu menentang kezaliman, rasuah, nepotisme, kronisme yang dilakukan oleh UMNO dan BN. Kalau itu dikatakan fatwa, maka benarlah memang ada fatwa dikeluarkan iaitu fatwa menentang kezaliman, ketidakadilan dan rasuah yang berlaku dalam kerajaan UMNO dan BN yang dilakukan oleh para pemimpin UMNO dan BN. Apakah fatwa sedemikian salah dari segi agama? Tentu sekali tidak. Islam sebagai contoh, menyeru umahnya berjihad memerangi kezaliman dan juga ketidakadilan. Kebetulannya kezaliman dan ketidakadilan itu dilakukan oleh para pemimpin UMNO. Inilah isu sebenarnya.
Mat Despatch
http://www.egroups.com/group/kini-malaysia/