Kini Edisi 99
Terdapat kira-kira 250,000 pekerja ladang di Malaysia. 180,000 daripada mereka bekerja di estet-estet di Semenanjung Malaysia. 39% daripada pekerja-pekerja ladang itu ialah kaum India, 38 % Bumiputera, manakala selebihnya warga asing (terutamanya dari Indonesia) dan pekerja kontrak. Pekerja-pekerja ladang itu sekarang menyuarakan tuntutan mereka untuk mendapat gaji tetap bulanan. Perjuangan ini telah dimulakan sejak bertahun-tahun.
Pada tahun 1986, Mahkamah Perusahaan telah menolak tuntutan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW) bagi pihak pekerja-pekerja ladang untuk mendapatkan skim gaji bulanan. Kerajaan Barisan Nasional sehingga sekarang sentiasa memihak kepada pihak majikan iaitu Persatuan Pengeluar Pertanian Malaysia (MAPA). Isu gaji bulanan pekerja ladang ini hanya dapat diselesaikan sekiranya kerajaan yang memerintah mempunyai keazaman politik. MAPA dan majikan-majikan ladang lainnya yang bukan ahli MAPA memang lebih suka sistem gaji harian yang bersifat semi-feudal dan semi-perhambaan itu diteruskan sampai bila-bila. Kerana sistem itu mendatangkan keuntungan besar kepada mereka.
MIC berada dalam keadaan genting sekarang. Dalam pilihanraya umum yang lalu calon-calon BN dari MIC telah menang di semua kawasan. MIC telah memberi sumbangan kepada kemenangan BN, terutama ketika UMNO kalah di banyak kawasan. Sekiranya kerajaan kali ini masih enggan menerima tuntutan para pekerja ladang itu bermakna kewibwaan MIC di kalangan pekerja-pekerja ladang itu khususnya kaum India akan terjejas.
Berbanding BN, Barisan Alternatif (BA) lebih bersikap prihatin dalam masalah gaji bulanan pekerja ladang. Barisan Alternatif berjanji akan menetapkan gaji minima bulanan yang menasabah untuk pekerja estet dan melaksanakan skim perumahan untuk pekerja estet secara serius. (muka surat 35, Manifesto Bersama BA)
Jadi BN sekarang dalam keadaan terdesak. Beratus ribu pekerja ladang di seluruh negara sekarang sedang melihat sejauh mana kejujuran Mahathir, Samy Vellu, MIC dan BN untuk membela nasib pekerja ladang yang bergaji harian sejak lebih seratus tahun, (sejak penjajah Inggeris lagi sehinggalah negara sudah merdeka lebih 42 tahun). Jika kerajaan BN kali ini tidak memenuhi tuntutan adil pekerja ladang itu, maka pekerja-pekerja itu perlu mencari alternatif lain pada pilihanraya umum yang akan datang.
Pekerja estet telah menyumbangkan tenaga mereka untuk membangunkan ekonomi negara sejak lebih seabad lamanya, dari satu generasi ke satu generasi . Kemajuan ekonomi Malaysia sekarang sebenarnya telah ditegakkan di atas kesengsaraan dan kemiskinan para pekerja ladang yang sampai kini masih ada yang berpendapatan sebulan kira-kira RM 350, yang jelas berada di bawah garis kemiskinan.
Jadi isu pekerja ladang menunut gaji tetap bulanan itu adalah penting. Tetapi gaji minima bulanan itu mestilah menasabah. Gaji itu mestilah mengambil kira tentang harga barang makanan dan keperluan yang tinggi sekarang ini akibat inflasi. Selain itu masalah perumahan, persekolahan anak-anak di estet-estet serta kesihatan juga perlu diatasi sama.
Tidak ada maknanya negara Malaysia dikatakan moden kerana ada bangunan pencakar langit yang tinggi, lapangan terbang yang besar dan canggih, litar lumba kereta laju F1, Putrajaya dan Cyberjaya, projek MSC dan sebagainya tetapi dalam masa yang sama masih ada hampir suku juta rakyat negara ini di estet-estet masih hidup mundur dan miskin dengan gaji harian sejak zaman-berzaman.
Sistem semi-feudal dan semi-perhambaan yang membayar upah gaji harian ini sebenarnya adalah warisan tinggalan penjajah Inggeris. Sistem itu hendaklah ditamatkan sekarang dengan apa cara sekalipun. Malaysia kini adalah sebuah negara yang telah merdeka dan membangun. Biarlah pekerja-pekerja ladang itu turut sama menikmati hasil pembangunaan dan kekayaan negara ini.