Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

Kuli gagal membawa reformasi dalaman - Masa depan UMNO dibawah Mahathir tidak menentu

Tidak ramai yang menjangkakan pemilihan Umno 11 Mei depan akan menyaksikan satu persaingan sengit bagi dua jawatan tertinggi parti itu. Malah, pencalonan yang dibuat oleh Umno Tanah Merah dikira tindakan terpencil yang hanya tersudut di Kelantan, kubu kuat tokoh yang diramal membuat kejutan, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tiga lagi bahagian Umno di Kelantan, yang bermesyuarat minggu lalu, Jeli, Peringat dan Kuala Krai, berpegang teguh dengan nasihat Majlis Tertinggi Umno supaya jawatan Presiden dan timbalannya dikhususkan buat Mahathir dan Abdullah Badawi.

Ku Li terpaksa menunggu hujung minggu ini untuk mengutip pencalonan seterusnya, juga daripada bahagian-bahagian di Kelantan, itu pun sekiranya ada sisa-sisa keberanian perwakilan Umno berbuat demikian. Untuk mengharapkan ketua bahagian lain di luar Kelantan menuruti jejak Hashim Safin, ketua Umno Tanah Merah, ia sudah terlewat.

Johor yang dikatakan masih menerima tempias pengaruh Musa Hitam (yang sejak akhir-akhir ini lantang mengkritik Mahathir) juga akur dengan "nasihat" MT. Walaupun ada percubaan untuk mencalonkan Ku Li dan Musa menentang Mahathir di Pontian dan Segamat, ia gagal menghidupkan kembali semangat April 1987, yang menyaksikan dua tokoh itu bergabung menentang Mahathir. Dikatakan orang-orang Musa hanya berminat untuk menjatuhkan Mahathir, tetapi tidak Abdullah.

Bekas Timbalan Presiden Umno, Anwar Ibrahim, sejak awal lagi menduga, adalah tidak munasabah mengharapkan perubahan besar dapat dilakukan melalui pemilihan parti Mei depan. Dengan peraturan demi peraturan dipinda, budaya takut terus mengongkong dan amalan politik cantas terus subur, Umno akan membeku daripada melakukan reformasi dalaman.

Sokongan terhadap Ku Li tidak berakar. Malah mood penentangan terhadap Mahathir khususnya di kalangan penyokong Anwar Ibrahim tidak dapat diserapkan sepenuhnya sehingga dapat diterjemahkan kepada pencalonan buat Ku Li menyanggah Mahathir.

Selepas meninggalkan Umno lebih sepuluh tahun, berbekalkan imej "pengkhianat parti", peluang Ku Li membuat kejutan baru tidak semudah bersama Team B dulu. Malang bertindan-tindih buatnya apatah lagi apabila bekas pemimpin Semangat 46 yang pernah menjadi teman akrabnya, seperti Rais Yatim, Zainal Abidin Zin dan Tengku Azlan, dilantik Mahathir ke Kabinet, manakala bekas tokoh-tokoh penting Team B dulu lebih selesa dengan Abdullah, satu-satunya wakil Team B yang menang kerusi Naib Presiden.

Di peringkat awal, lobi pendokong Ku Li lebih tertumpu ke bahagian-bahagian Umno yang ketuanya, sama ada tidak terpilih sebagai calon dalam pilihan raya umum lalu, mahupun yang kalah kepada calon-calon PAS atau keADILan. Difahamkan hampir 70 ketua bahagian terbabit. Ia ditambah dengan ketua-ketua bahagian Umno yang cenderung dan simpati terhadap Anwar.

Kempen menentang Mahathir dikatakan lebih mudah kerana ramai pimpinan Umno bahagian yang sepakat meletakkan faktor Mahathir sebagai punca kemerosotan undi Umno dalam pilihan raya lalu. Maknanya, masa depan Umno semakin terancam sekiranya Mahathir terus kekal sebagai Presiden parti, apatah lagi jika beliau mengetuai jentera BN dalam pilihan raya ke-11 akan datang.

Bagaimanapun, strategi Ku Li dikira tersasar apabila Ketua Perhubungan Umno Kelantan itu tidak menggerakkan jentera kempennya bermula daripada pemilihan cawangan lagi. Banyak pihak melihat tindakan Ku Li tidak mengumumkan jawatan yang mahu ditandinginya sebagai langkah yang silap. Malah membiarkan mesyuarat cawangan-cawangan berlalu begitu sahaja adalah lebih silap lagi.

Ku Li mengharapkan mood anti-Mahathir sebagai asas sokongan kepadanya. Harapannya pasti tidak kesampaian apabila ahli-ahli Umno yang bersikap anti-Mahathir tidak lagi berminat untuk hadir ke mesyuarat cawangan. Malah sebahagiannya sudahpun menyertai parti-parti Alternatif. Walhal wakil-wakil dari mesyuarat cawangan inilah yang akan menjadi perwakilan di peringkat bahagian nanti.

"Sebenarnya Anwar dan PAS telah menyelamatkan kedudukan Mahathir dalam Umno. Kebanyakan penentang Mahathir dan penyokong Anwar telahpun keluar Umno. Kalaupun masih ada segelintir kecil bersama Umno, mereka ini tidak lagi hadir ke mesyuarat cawangan Umno. Sebab itu banyak mesyuarat yang tidak ada korum," kata seorang penyokong Ku Li.

Mahathir buat kali kedua, selepas hampir tewas kepada Ku Li dengan perbezaan 43 undi pada 1987, melakukan penyaringan terhadap ahli-ahli Umno sekali lagi. Kalau dulu, Umno terpaksa diharamkan bagi menghalang pemilihan semula dijalankan, yang kemudiannya menyaksikan semua pemimpin utama Team B tidak diterima sebagai ahli Umno Baru. Kini, penentang dalamannya sudahpun dikendurkan melalui proses penyaringan calon-calon pilihan raya umum lalu dan ahli-ahli biasa melompat keluar parti menyertai PAS dan keADILan.

Mungkin Mahathir selamat sebagai Presiden Umno selama mana yang beliau mahu, namun tidak dipastikan apakah selepas ini -- setelah ramai ahli-ahli Umno keluar parti dan imejnya di kalangan pengundi Melayu terus menjunam -- Presiden parti itu boleh kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia dalam pilihan raya akan datang.

Ahmad Lutfi Othman
Detik Daily Internet Edition


Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com