(Diterima dari saorang rakan melalui E-Mail untuk tolong postkan bagi pihaknya di FGR. Ramai yang takut buat posting sendiri ke laman-laman reformasi. Tak apalah )
Saya ingin menceritakan perbualan di pejabat pada pagi Jumaat yang lepas. Sedang kami seramai 5 orang sedang minum di ‘coffee corner’ Unit kami diwaktu “coffee break”, saorang kakitangan yang bergelar ‘Mat Takbir’ telah lalu dan kami pelawa dia minum bersama. Dia ini selalu melayari internet dan akan menghebuhkan tajuk-tajuk menarik di FGR, Mahazalimtwo, Tranung Kite dan lain-lain laman reformasi. Kami bertanya apa berita hangat di Mahazalimtwo. Jawabnya dia belum lagi menjengok di Mahazalimtwo. Dia berkata Mahazalimtwo sudah tidak berapa menyengat macam dahulu.
Dia terus bersungut mengenai Mahazalimtwo sudah hilang sengat. Macam terlalu berhati-hati dan tidak menyiarkan lagi berita-berita sensasi seperti dahulu. Berita-berita sensasilah yang membuat Mahazalimtwo popular, tegas Mat Takbir.
“Kamu tahu kenapa?” Tiba-tiba suara yang kami semua sangat kenal telah menyampuk. Rupa-rupanya dengan tidak kami sedari boss Unit kami sudah terpacul dimeja tempat jerang air dan membancuh teh/kopi. Dia hendak sedikit gula dan terpaksa datang sendiri kerana secretarynya keluar ke Bank.
Kehadhiran boss secara tiba-tiba dan pertanyaan yang diacukannya memeranjatkan. Tahu juga orang tua ini mengenai Mahazalimtwo. Boss kami ini setahu kami adalah orang UMNO. Dia tersenyum melihat rupa cemas dan kegelisahan yang tertulis di wajah kami.
“Mahazalimtwo dah masuk perangkap UMNO,” tegas boss.
Menurut boss kami, Mahazalimtwo ‘was a very effective reformasi website” (website reformasi yang sangat berkesan). Keberkesanan Mahazalimtwo adalah dengan menyelitkan berita-berita sensasi bersama-sama berita serta analisa politik yang benar dan bernas mengenai kezaliman dan salahguna kuasa pemerintahan Dr Mahathir dan BN. Pelayar web tertarik kepada berita sensasi dalam Mahazalimtwo. Apabila mereka hendak membaca berita-berita sensasi tersebut mereka akan ternampak juga lain-lain tajuk politik. Lazimnya mereka akan juga download topik yang lain-lain itu.
Mithalnya, tambah boss kami, berita-berita sensasi semasa Mahathir sakit masuk IJN sekembalinya dari Mekah. Boss kami akui semasa itu dia sendiri masuk laman Mahazalimtwo dan FGR lebeh sepuluh kali dalam sehari. Sambil dia mengikuti berita sensasi terkini mengenai keadaan Mahathir dalam IJN itu dia ternampak dan download bermacam lagi topik di Mahazalimtwo dan FGR. Sesetengah artikel tinggi pengolahan dan analisanya berhubung dengan perkembangan politik semasa dan berupaya mempengaruhi minda pembaca. Ini yang ditakuti oleh Dr Mahathir dan BN, tambah boss kami.
Oleh kerana itu media yang dikawal kerajaan dan Dr Mahathir sendiri telah berusaha untuk menjejaskan kredibiliti Mahazalimtwo dengan serangan bertubi bahawa Mahazalimtwo dan lain-lain website reformasi menyebarkan berita palsu dan fitnah terutamanya diwaktu Dr Mahathir sakit di IJN dan apabila “kononnya, apa nama,…saya jatuh kuda.” (Kami hendak tergelak mendengar boss kami mengejek cara Dr Mahathir berucap itu).
Sekarang ni, sambung boss kami lagi, nampak jelas Mahazalimtwo menapis dan tidak menyiarkan sangat berita-berita sensasi. Ini yang dikehendakki UMNO. Bila kurang atau tidak ada berita sensasi tersebut, maka daya tarekan Mahazalimtwo menjadi kurang dan pengaruh Mahazalimtwo sebagai jentera propaganda reformasi juga beransur kurang. Mahazalimtwo terlalu berhati-hati sekarang ini kerana hendak menjaga kredibiliti, dan tidak sedar telah termasuk perangkap UMNO. Media aliran utama seperti TV3 tidak mengendahkan langsung soal kredibiliti dan terus menyampaikan bahan-bahan propaganda berupa fitnah dan pembohongan yang meluat kita mendengarnya tetapi dipercayai oleh orang-orang BN sebagai “gospel truth”.
Boss kami pun beredar ke kamar pejabatnya. Kami tercenggang hairan sebab selama ini dia tidak pernah bercakap politik dan kami menjangkan dia orang UMNO.
Sebelum balik dari pejabat kami telah bertanya secretary boss mengenai pendirian politik boss kami itu.
“Boss dah jangka awak semua akan tanya, “jawab secretary boss kami.“Boss suruh bagi tau dia pun ‘tak makan rumput’.”
Wassalam.
"ah chong"